Pengurus resort didakwa rogol gadis bawah umur – Utusan


Pengurus resort didakwa rogol gadis bawah umur

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang pengurus sebuah pusat peranginan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 12 tahun, tahun lalu.

Mohd. Zaini Zainal Abidin, 31, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik No. 405, Hotel Petaling, Jalan Petaling di sini kira-kira pukul 4 petang, 2 April 2012.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Hakim Emilia Kaswati Mohd. Khalid tentang perkenalan antara tertuduh dengan mangsa, dia memberitahu mangsa merupakan kawannya.

“Bagaimana kamu yang telah berusia 31 tahun boleh berkawan dengan budak perempuan umur 12 tahun?” tanya Emilia.

Menurut lelaki yang mempunyai dua anak itu, dia mengenali mangsa melalui telefon dan ketika itu mangsa telah melarikan diri dari rumahnya.

“Saya ambil dia dan bawa dia kepada keluarganya namun saya hanya hantar dia ke rumahnya di Bandar Baru Ampang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana dia menyara kedua-dua anaknya setelah bercerai dengan isterinya selain turut menanggung ibunya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh serta keluarga dilarang berhubung dan mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Selain itu, tertuduh diperintah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis berhampiran tempat tinggalnya setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 28 Februari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130124/ma_03/Pengurus-resort-didakwa-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz2J85Urvyb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kekal hukuman rogol anak jiran – Sinar Harian


Kekal hukuman rogol anak jiran

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Kekal hukuman rogol anak jiran
Mahkamah Tinggi menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 16 tahun, 18 sebatan terhadap Zulkefly selepas didapati bersalah sebelum ini merogol anak jirannya berusia 9 tahun 8 bulan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki terpaksa akur apabila rayuannya agar diringankan hukuman selepas didapati bersalah merogol anak jirannya sendiri yang baru berusia 9 tahun 8 bulan semasa kejadian, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman 16 tahun dan 18 sebatan terhadap tertuduh, Zulkefly Salleh, 44, dari Kampung Wakaf Baharu, Kelantan.

Terdahulu, Zulkefly yang berdepan tiga pertuduhan merogol mangsa pada tahun 2001 telah didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 12 Mei 2010.

Bagi pertuduhan pertama, Zulkefly didapati bersalah telah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun 8 bulan di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 4 November 2001.

Selain itu, Zulkefly juga didapati bersalah bagi pertuduhan kedua melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di rumah sama pada 16 November 2001 dan mengulangi perbuatan sama empat hari kemudian iaitu pada 20 November 2001.

Dengan itu, dia didapati bersalah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, Zulkefly yang sememangnya rapat dengan kedua orang tua mangsa meminta izin kononnya ingin membawa mangsa bersama seorang adiknya berusia tiga tahun bersiar-siar di kawasan kampung dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, dia telah mengambil kesempatan merogol mangsa sebanyak tiga kali pada hari berasingan di rumah lamanya itu, semasa mangsa tertidur di dalam bilik rumah berkenaan.

Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan – Sinar Harian


Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Mahkamah Sesyen Sungai Petani menetapkan 4 Februari 2013 sebagai sebutan semula kes liwat membabitkan seorang pekerja kilang besi terhadap mangsa yang juga merupakan anak angkatnya.

Lelaki berusia 45 tahun itu dituduh meliwat seorang budak perempuan berusia 11 tahun antara tarikh 24 November hingga 30 November 2012.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya sendiri di Kampung Kilang Sago, Kulim, Kedah.

Akibat tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Tertuduh merayu wang jaminan RM15,000 dikurangkan dengan alasan mempunyai dua anak dan pendapatannya sebagai pekerja kilang besi hanya kira-kira RM1,000 sebulan.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin dihadapan Pendaftar Mahkamah, Balkhis Abdul Halim.

Tertuduh kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Tiga sekawan dituduh rogol, cabul gadis – Sinar Harian


Tiga sekawan dituduh rogol, cabul gadis

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 November 2012
3 sekawan - rogol
Tertuduh ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan merogol dan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun, pertengahan bulan ini.

Mohd Nordin Mohd Noor, 25; Suhaimi Ibrahim, 24, dan Mohd Farieq Che Ali, 20, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa merogol mangsa di rumah di Taman Daya di sini antara jam 1 hingga 3 pagi, 12 November lalu.

Dakwaan terhadap tiga sekawan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar mengikut Seksyen 376 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nua’aman menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, adik kepada Mohd Nordin, Muhammad Azman, 23, juga tidak mengaku salah atas pertuduhan mencabul gadis terbabit di lokasi, tarikh serta masa sama.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Azman didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan mencabul kehormatan pelajar terbabit dengan cara memegang buah dada dan punggungnya.

Tertuduh yang merupakan seorang mekanik itu didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Mohd Ali. Majistret Mohd Isa Mohamed mengarahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua mereka diwakili oleh peguam bela Izzat Muhtar dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember depan.

Penghidap tibi dipenjara, sebat akibat culik dan cabul – Bernama


Penghidap tibi dipenjara, sebat akibat culik dan cabul

22 November 2012

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mendakwa penghidap tibi dihukum penjara empat tahun dan dua sebatan atas pertuduhan menculik dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, lima hari lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap G.Jagajasen, selepas dia mengaku bersalah.

Bagi pertuduhan menculik, Siti Shakirah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap Jagajasen dan bagi pertuduhan mencabul, dia dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan.

Bagaimanapun, Siti Shakirah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula dari tarikh kejadian iaitu pada 17 Nov lepas.

Jagajasen, 35, didakwa menculik seorang pelajar tahun dua daripada penjagaan ibunya, di tepi Jalan Raja Laut, di sini, pada 9.45 pagi, 17 Nov lalu, dan didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang dihukum mengikut Seksyen 363 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi tuduhan mencabul, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kanak-kanak itu, di susur pejalan kaki di tepi sebuah sungai yang juga di bawah landasan sebuah stesen transit aliran ringan (LRT), di sini pada 10.45 pagi, hari yang sama.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya.

Terdahulu, Jagajasen memohon mahkamah agar meringankan hukuman yang dijatuhkan kerana menghidap penyakit tibi dan sedang menjalani pemeriksaaan di Hospital Kuala Lumpur.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  – Bernama

Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun – Bernama


Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun

16 November 2012

KUALA LUMPUR – Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.

Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 Nov hingga 5.30 pagi, 8 Nov.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.- Bernama

Pekerja Pusat Snuker Mengaku Bersalah Rogol Adik Perempuan Bawah Umur – Kosmo


Pekerja Pusat Snuker Mengaku Bersalah Rogol Adik Perempuan Bawah Umur

Oleh QISHIN TARIQ

AMPANG: Seorang pekerja pusat snuke berusia 18 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis kerana merogol adik perempuannya.

Dia didakwa kerana merogol adik perempuannya berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Cahaya pada pukul 6.30 petang pada 1 November.

Tertuduh, yang memakai kemeja-T hitam, mengangguk beberapa kali ketika ditanya sekiranya dia mengaku bersalah terhadap kesalahan itu, di mana hukuman penjara 30 tahun maksimum dan sebatan.

Bagaimanapun, hukuman ditangguhkan sementara bagi menunggu laporan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Aliza Ab Kadir meminta supaya mahkamah tidak memberi ikat jamin kerana tertuduh merupakan saudara kandung mangsa.

Hakim, Manira Mohd Nor tidak memberikan ikat jamin dan menetapkan 7 Disember ini untuk hukuman.

Mekanik dipenjara 14 tahun, tiga sebatan rogol remaja – Bernama


Mekanik dipenjara 14 tahun, tiga sebatan rogol remaja

22 Oktober 2012

PETALING JAYA – Seorang mekanik dihukum penjara 14 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan seks oral terhadap seorang remaja lima bulan lepas.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hairi Hamzah selepas dia menukar pengakuan bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hairi, 25, dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan, empat tahun dan satu sebatan untuk pertuduhan kedua serta hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun, Balqis Aini memerintahkan supaya hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 5 Jun lalu. Ini bermakna Mohd Hairi hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hairi didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah pangsapuri di Puchong antara 9 malam hingga 12 tengah malam pada 24 Mei lepas, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan seks oral terhadap mangsa sama di tempat dan waktu sama, mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Hairi didakwa merogol mangsa tersebut di kawasan yang sama pada 22 Mei lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan mempunyai tanggungan ibu, isteri dan anak.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon supaya hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran terhadapnya. – Bernama

Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat – Sinar Harian


Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Oktober 2012
Rogol budak 12 tahun: Buruh dipenjara, disebat
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam, sebaik dijatuhi hukuman kerana merogol.

TEMERLOH – Seorang buruh warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah merogol pelajar berumur 12 tahun tujuh bulan pada 18 Julai lalu.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Dasuki Ali, selepas tertuduh dikenali dengan nama Kabit, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca ke atasnya, semalam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pekerja di alamat nombor 27 D-1, Ladang Bukit Senorong, Kemayan, Bera, sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 18 Julai lalu.

Dasuki memutuskan tertuduh dihukum 12 tahun penjara dan empat sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru bahawa anaknya tidak hadir ke sekolah selama empat hari.

Selepas siasatan mendapati, anaknya berada di rumah tertuduh pada hari kejadian dan ibu mangsa mengesyaki sesuatu berlaku sebelum bertindak membuat laporan polis.

Laporan perubatan mengesahkan ada kesan koyakkan baru dan lama pada kemaluan mangsa dan mangsa turut disahkan mengandung 11 minggu.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustafa.

Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat – Bernama


Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat

3 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lepas.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A. Kalaivanan, 29.

“Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum ‘bir’,” kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada 6.30 petang, 23 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.

“Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

“Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah  mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M. Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah
penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. – Bernama