Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun – Bernama


Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun

28 September 2012

KUANTAN – Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 13 tahun pada Julai lalu.

Sauruddin Anuar Mohidin, 39, dari Endau, Rompin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Bazilla, B 244, Jalan Bypass-Kuantan pada 9 pagi, 27 Julai lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika  sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar kemudian memohon wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Azhar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan empat anaknya masih bersekolah, isteri tidak bekerja dan  pendapatannya sebagai pemandu bas hanya RM1,000 sebulan.

Mohd Azhar menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Polis KL pandang serius kes ragut membabitkan pelajar – Bernama


Polis KL pandang serius kes ragut membabitkan pelajar

12/09/2012 – 16:22:58 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memandang serius kes ragut di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang didalangi remaja sekolah berumur antara 14 dan 18 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kebiasaannya mereka akan berkeliaran secara berkumpulan dengan memakai pakaian biasa pada waktu persekolahan.

Mohmad berkata, terbaru seorang pelajar kolej berumur 21 tahun bukan saja diragut telefon bimbitnya malah dicabul tiga remaja di Stesen LRT Hang Tuah kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

“Wanita itu dihampiri tiga remaja dan ditolak menyebabkan beliau cedera di lutut sebelum dicabul serta iPhone dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan remaja terbabit dilihat anggota polis yang meronda sebelum seorang daripada mereka yang berumur 15 tahun berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan padanya menemui telefon bimbit yang diragut dari wanita berkenaan serta sebilah pisau berukuran lapan inci berserta sarung di dalam poket seluarnya,” katanya sambil menambah remaja terbabit mengaku pernah menyamun seorang wanita di Desa Tasik, di sini pada Mac lalu.

Remaja terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 354 kanun yang sama kerana mencabul yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Justeru itu, Mohmad meminta orang ramai jika melihat kumpulan remaja berkumpul di stesen LRT dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi balai polis berhampiran. – BERNAMA

Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat – Utusan


Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 5 Sept. – Seorang pengutip kelapa sawit terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 tahun dan dikenakan sebatan 12 kali atas dua kesalahan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus ketika menolak rayuan akhir lelaki itu terhadap sabitan manakala rayuan terhadap hukuman dibenarkan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan mengurangkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 24 kali yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya.

Panel itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Pada 6 November 2009, Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi setiap tuduhan yang diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Tinggi pula mengekalkannya pada 14 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba manakala lelaki berusia 47 tahun itu diwakili oleh peguam V. Aravindhakshan. – UTUSAN

Pekerja kilang dituduh rogol – Sinar Harian


Pekerja kilang dituduh rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Julai 2012
AYER KEROH – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, tahun lalu.

Shahruddin Ramli, 37, dari Pengkalan Rama Pantai membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Shahruddin didakwa merogol seorang perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Duyong pada jam 9.10 malam, awal April 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung keluarga. Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.

Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis – Utusan


Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis

JOHOR BAHRU 13 Julai – Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah asrama dekat Masai, di sini bulan lalu.

Norizam Bahri, 22, didakwa atas enam pertuduhan, Mohammad Fauzi Rahmad, 20, empat pertuduhan dan Abdul Halim Rahamat, 20, dua pertuduhan.

Ketiga-tiganya yang bekerja sebagai pembantu kedai dituduh merogol dan meliwat remaja tersebut di asrama pekerja Armour Security, Nombor 59A, Jalan Sena 9, Taman Rinting, Masai antara pukul 2 petang, 29 Jun lalu dan pukul 2 petang keesokan harinya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Penjara 20 tahun – Metro


Penjara 20 tahun
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

MELAKA: Padah merogol anak sendiri empat tahun lalu, seorang bapa enam anak dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Hukuman itu, dijatuhkan Hakim Abu Bakar Katar terhadap tertuduh berusia 39 tahun dari Batu Gajah, Melaka.

Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam perbicaraan bermula 15 Februari lalu, 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan melakukan persetubuhan dengan anaknya berusia 15 tahun tiga bulan di Batu Gajah, Merlimau, Jasin kira-kira jam 1 pagi, 28 Mac 2008.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan ia kesalahan pertamanya.

“Saya mempunyai tanggungan isteri dan anak yang ramai dan selepas dibebaskan, mahu menyara mereka,” katanya.
Bagaimanapun, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan alasan perlakuan itu memberi mudarat kepada mangsa dan tertuduh yang melarikan diri lebih dua tahun selepas laporan dibuat, tidak menunjukkan keinsafannya.

“Kesalahan tertuduh tidak boleh dimaafkan kerana sebagai ketua keluarga, tertuduh sepatutnya menjadi pemimpin dan membimbing keluarga bukannya memperkosa anak sendiri.
“Malah, hukuman berat yang ditetapkan Parlimen dalam jenayah seperti ini menunjukkan hasrat kerajaan melindungi kanak-kanak daripada ahli keluarga yang bersifat kebinatangan,” katanya.
Abu Bakar yang mendengar hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Oktober 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05

Mengaku salah rogol remaja – Sinar Harian


Mengaku salah rogol remaja
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Jun 2012
KUANTAN – Seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam diperintah menjalankan kerja kemasyarakatan selama empat jam sehari selama tiga bulan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merogol remaja bawah umur pada 2008.

Hakim, Fathiyah Idris menetapkan hukuman tiga bulan perintah kehadiran wajib dan kerja kemasyarakatan berkuat kuasa semalam terhadap tertuduh, Raja Faez Raja Ngah, 20, dari Tanah Putih, di sini.

Sebelum itu, tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh merogol mangsa bawah umur berusia 14 tahun 4 bulan di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, pada Julai 2008, kira-kira jam 6 hingga 7 petang.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Nor Nordin.

Lega terlepas tuduhan noda gadis – Metro


Lega terlepas tuduhan noda gadis
SHAH ALAM: Seorang penyelia kilang mampu menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, daripada tuduhan merogol rakan facebook berusia 13 tahun yang baru seminggu dikenalinya, di sini, tahun lalu.

Difahamkan, mangsa sudah mengandung 18 minggu pada masa kejadian.
Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Fairuz Md Shariff, 33.

Slamat pada penghakimannya berkata, mahkamah menolak keterangan mangsa yang tidak konsisten dan saling tidak menyokong pertuduhan terutama berhubung masa kejadian rogol itu didakwa berlaku.
Sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, seramai enam saksi tampil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fairuz didakwa merogol mangsa di bilik tidur di sebuah rumah di seksyen 24, di sini, pada tengah malam 5 Februari 2011. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Umpan kad prabayar rogol gadis – Kosmo


Umpan kad prabayar rogol gadis
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my
AMPANG JAYA – Taktik seorang kerani penghantar surat dan ejen insurans mengumpan kad prabayar tambah nilai untuk mendapatkan imbuhan seks daripada dua gadis bawah umur memakan diri apabila masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Roszianayati Ahmad menyabitkan tertuduh Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36, atas dua tuduhan rogol setiap seorang selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau mengarahkan hukuman mereka berjalan serentak mulai semalam.

Aidil didakwa merogol gadis pertama berusia 14 tahun antara Mei dan Jun 2010 di sebuah rumah pangsapuri di Lembah Jaya di sini pada pukul 3 dan 3.30 petang dan mengulangi perbuatan serupa terhadap mangsa kedua berusia 13 tahun antara April dan Jun 2010 di tempat sama.

Kwong Mun juga didakwa merogol kedua-dua gadis yang sama di pangsapuri tersebut antara Ogos 2009 dan Jun 2010 dan pada Mei 2010 pukul 9 dan 9.30 malam.

Kedua-dua tertuduh tinggal berjiran di kawasan itu.

Hukum anak tanpa guna rotan – Sinar Harian


Hukum anak tanpa guna rotan
FARUSH KHAN
Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: “Saya serah anak saya pada cikgu. Hukumlah dia jika salah; janji jangan sampai cacat, sudahlah.”

Saya bertuah mendapat Cikgu Miah sebagai guru besar. Selama empat tahun di awal persekolahan, Cikgu Miah tidak pernah lupa membawa rotan panjang ketika melawat setiap darjah. Beliau merenung tajam pada setiap murid yang dihampirinya, tetapi ironinya, belum pernah sekali pun saya lihat rotan yang diayun ke hulu ke hilir itu singgah ke badan mana-mana murid.

Semua murid suka dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Masuk kelas Special Malay, saya berhadapan dengan guru matematik, Mr Lim. Orangnya gempal dan berperawakan menarik, tetapi ketika mengajar tiada tolak-ansur.

Semua murid gerun dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Setiap kali ujian, semua murid berusaha melepasi 50 markah, kerana jika kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung dan seterusnya.

Saya kena 16 sebatan; peristiwa yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Ibu bapa saya tanya mengapa saya kena rotan, tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi di depan saya, tetapi saya percaya di belakang saya, mereka tentu gelak pecah perut.

Apa tidaknya, sakitnya kesan sebatan tidak terperi. Untuk beberapa hari saya, terpaksa bertinggung atau duduk atas bantal waktu makan dan meniarap untuk tidur. Selepas itu, saya tidak pernah lagi dapat kurang daripada 50 markah.

Di kampung, saya berhadapan dengan Pak Leman, guru al-Quran. Mirip wajah arwah Ahmad Nesfu, pelakon zaman awal perfileman Melayu, Pak Leman sering tersenyum, tetapi ketika
mengaji, murid lelaki kena jaga-jaga; silap bacaan, rotannya hinggap ke betis macam kilat. Dirotan di sekolah atau di kelas mengaji, saya tidak pernah mengadu, sebab di rumah, bukan lagi rotan.

Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, hukumannya kayu bakau. Hari ini penggunaan rotan di sekolah sering kali menjadi isu kontroversi hingga diharamkan pada 2004, walaupun guru besar dibenarkan merotan murid di dalam darjah di hadapan saksi.

Beberapa pihak meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes disiplin murid dan mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah itu. Kebimbangan mereka tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian Pelajaran melaporkan 16,000 kes ponteng di sekolah rendah antara 2010 dan 2011. Di sekolah menengah bilangannya 11,000 pada 2010 dan 10,488 tahun sebelumnya. Banyak tindakan telah diambil bagi menangani masalah disiplin murid; peraturan dikuatkuasakan, kempen dan pemeriksaan mengejut dilancarkan, talian panas dan badan pencegah jenayah diperkenalkan.

Itu tidak masuk bantuan pengawasan polis dan guru kaunseling, namun kesannya tidak seberapa. Jadi apakah rotan dapat membantu menukar anak-anak kita yang kurang berdisiplin kepada insan yang lebih baik?

Yang ketara rotan barangkali boleh menimbulkan perasaan takut, tetapi tidak semestinya hormat dan sesuatu yang dipatuhi tanpa hormat biasanya tidak bertahan lama.

Kerana malu dan marah, tindakan merotan boleh wujudkan sikap memberontak dan akibatnya lebih buruk. Apa lagi di zaman sekarang apabila remaja lebih terdedah kepada pelbagai anasir melalui Internet dan pergaulan, dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dan guru yang kurang komited.

Sebab itu, pakar psikologi selalu mengingatkan ibu bapa supaya menjaga tindakan dan amalan supaya menjadi tauladan kepada anak-anak, mendidik anak supaya menjadi matang, tidak mudah marah dan stres.

Sekiranya ibu bapa tidak dapat mendidik anak menjadi insan baik dan berguna, janganlah salahkan guru jika tidak dihormati murid. Ibu bapa yang terlalu melindungi anak daripada tindakan guru hingga tidak boleh dijentik dan dimarahi mengundang bahaya.

Kes-kes di mana ibu bapa bertindak melaporkan hukuman guru yang agak tegas terhadap murid hanya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan guru untuk terus menanamkan disiplin dalam kalangan murid. Mereka mengajar hanya untuk memenuhi tugas, tidak lebih daripada itu.

Ada pakar psikologi yang berasa sebenarnya rotan bukan satu-satunya cara untuk menjaga disiplin. Disiplin juga perlu ditanam melalui kaedah hadiah. Maknanya mereka yang tidak berdisiplin dihukum, sementara yang baik diberi hadiah.

Tidak memberi benda yang mereka suka seperti ais krim, menonton TV, makanan segera, main permainan di komputer juga dikira sejenis hukuman. Ia membuat mereka ‘sakit’ dan menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan.