Kanak-kanak 6 tahun maut dihempap van – Bernama


Kanak-kanak 6 tahun maut dihempap van

2012/01/25

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam kemalangan di KM254.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi itu, Danish Abdul Latif, mati di tempat kejadian apabila Toyota Joylong yang dinaiki bersama lapan lagi anggota keluarganya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di tepi lebuh raya itu.

“Danish mati akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dan dihempap van berkenaan,” kata jurucakap polis.

Lapan lagi termasuk bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, ibunya, Zurina Omar, 36, bersama enam lagi anggota keluarga mereka cedera ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Jurucakap polis berkata, van yang dipandu Abdul Latif itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di longkang lebuh raya itu.

“Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Johor selepas bercuti di Langkawi sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan punca kejadian.
“Jenazah Danish dihantar ke HTJ untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya untuk di bawa pulang ke Segamat, Johor untuk dikebumikan petang ini,” katanya. – BERNAMA