3 bulan tak ke sekolah – Metro


3 bulan tak ke sekolah

 33  4 Google +0  2  0

Oleh Adnan Mohamad

Bachok: Meskipun tidak hadir ke sekolah selama tiga bulan kerana mengalami kemurungan dan tekanan yang sukar diramal dikenali sebagai ‘panic disorder’ ia tidak menghalang seorang pelajar untuk meraih 6A dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.

Mohamad Hakimi Mamat, 18, meraih keputusan A dalam Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik manakala B dalam Biologi serta dua C dalam Bahasa Inggeris dan Kimia.

Katanya, disebabkan masalah itu, dia hanya belajar bersendirian di rumah sambil ditemani ibunya Mek Kiah Mat Daud, 55, sementara bapanya Mamat Abdullah, 56, keluar bekerja sebagai pencari barang lusuh.

“Selepas mengalami masalah tekanan, saya akui tidak boleh berada di sesuatu tempat yang ramai orang kerana menyebabkan saya menjadi cepat panik dan berpeluh.

FotoMOHAMAD Hakimi mencium ibunya selepas memperoleh 6A dalam SPM.

“Ekoran keadaan itu, saya tidak boleh belajar di sekolah bersama rakan lain. Namun begitu, setiap kali peperiksaan guru akan mengirimkan kertas soalan melalui rakan supaya saya menjawabnya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, di sini, semalam.

KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM – Bernama


KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM

14 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran hari ini menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

“Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, kecuali mata pelajaran teras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

“Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual,” kata Abdul Ghafar.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk ‘SPM 10-Subject Limit Stays’ yang disiarkan 10 Mac lalu. – Bernama