Sekat ancaman siber – Metro


Sekat ancaman siber

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini pernah terdedah kepada perkara negatif ketika melayari Internet menyebabkan mereka berisiko dipengaruhi unsur tidak sepatutnya seperti buli dan pornografi.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan rangka kerja dasar dan perundangan bagi melindungi golongan terbabit daripada ancaman dunia siber.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementerian komited bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan mengenai rangka kerja itu yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Antara organisasi terbabit adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu.
“Pelan mewujudkan rangka kerja dasar ini sejajar dengan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), September lalu yang mana merangkumi aspek perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak.
“Sudah tiba masanya keperluan perundangan, peraturan dan polisi dikaji secara lebih terperinci dalam usaha memastikan generasi ini dilindungi sekali gus menjadi pelengkap Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara,” katanya pada Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini, semalam.

 

 

Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Ke Arah Pengalaman Internet Mesra Keluarga khusus untuk ibu bapa dalam memacu penggunaan Internet oleh anak mereka secara lebih terkawal.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

 

Shahrizat berkata, laporan Norton Online Family 2010 menyatakan hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini mengawasi kandungan laman web dilayari anak mereka.
“Secara purata, kanak-kanak dan remaja Malaysia berusia lapan hingga 18 tahun menghabiskan masa selama 19 jam setiap minggu untuk melayari Internet sedangkan ibu-bapa beranggapan anak mereka hanya menggunakan 11 jam,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui pelan strategik bagi menganjurkan program advokasi bertujuan memberi pengetahuan kepada ibu-bapa mengenai keadaan itu.
”Justeru, melalui pelancaran buku panduan ini, ia dilihat sebagai permulaan bagi pelan strategik sebelum kita melakukannya secara menyeluruh, “ katanya.