Sekeluarga cemas berdepan perompak – Sinar Harian


Sekeluarga cemas berdepan perompak
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2012
KUANTAN – Tiga perompak bertopeng dipercayai warga asing menjadikan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun sebagai tawanan sebelum bertindak menyamun sebuah keluarga dalam satu kejadian di Kampung Pandan 1, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang ahli keluarga terbabit berusia lingkungan 30-an diikat perompak manakala yang lain diugut akan dicederakan jika cuba melawan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM8,000 apabila sejumlah barang kemas dan wang tunai RM600 dikebas perompak yang bersenjatakan pisau.

Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa termasuk satu keluarga yang datang dari Johor sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari bahagian tengah rumah.

“Tiga perompak yang memakai penutup muka dipercayai memecah masuk rumah itu melalui pintu belakang yang diumpil sebelum ke bahagian dapur mengambil pisau untuk dijadikan senjata.

“Kebetulan seorang kanak-kanak yang tidur di bahagian tengah rumah terjaga dan terkejut dengan kehadiran lelaki asing tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Jasmani berkata, penjenayah membawa kanak-kanak itu bersama mereka sebelum memecah masuk bilik tidur utama dan mengikat salah seorang penghuninya.

“Perompak kemudiannya bertindak menggeledah rumah sebelum melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

“Selepas mendapat habuan mereka, perompak melarikan diri dan keluar menggunakan laluan sama,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang diikat berjaya melepaskan diri dengan bantuan ahli keluarga yang lain sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis kira-kira jam 4.30 pagi.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kes tersebut masih dalam siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.