PERMOHONAN KE SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA, SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DAN KELAS ALIRAN AGAMA TAHUN 2014


PERMOHONAN KE SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA, SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DAN KELAS ALIRAN AGAMA TAHUN 2014

01 September 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Kelas Aliran Agama Tahun 2014, boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 01 September 2013 (Ahad) sehingga 15 Oktober 2013 (Selasa).

RM1.79 juta untuk 9 sekolah – Sinar Harian


RM1.79 juta untuk 9 sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 April 2013
RM1.79 juta untuk 9 sekolah
Mohd Puad (dua, kiri) menyampaikan sijil kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR bagi sekolah agama daerah Batu Pahat.

BATU PAHAT – Kerajaan memperuntukkan RM1.79 juta kepada sembilan sekolah di Batu Pahat bagi menambah baik prasarana dan infrastruktur sedia ada.

Antara kemudahan yang bakal diterima semua sekolah berkenaan menerusi peruntukan itu adalah dewan terbuka dan asrama pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, lapan sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Busiah, SMA Jawahir Al Ulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Budi, SK Seri Rengit, SK Seri Merlong, SK Merlong, SK Ser Perpat dan SK Rengit menerima bantuan sebanyak RM200,000.

Manakala Sekolah Agama Bersepadu Bukit Pasir menerima sebanyak RM190,000.

“Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan pusat kepada semua sekolah termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi memperbaiki kemudahan yang ada.

“Menerusi bantuan yang diterima, setiap sekolah boleh membaiki atau menaik taraf bangunan kelas, asrama atau kantin kerana ia penting untuk keselesaan murid ketika berada di sekolah.

“Bagi negeri ini, kementerian mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana membenarkan kesemua sekolah menjadi sekolah bantuan kerajaan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada SMA Jawahir Al Ulum, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Puad turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar aliran agama di Batu Pahat.

Sementara itu, Pengetua SMA Jawahir Al Ulum, Salihin Mohd Salih berkata, pihaknya akan menggunakan bantuan tersebut bagi menaik taraf asrama yang menempatkan kira-kira 260 pelajar.

Katanya, pengurusan sekolah memikirkan kerja naik taraf itu sebagai perkara paling penting kerana keselesaan prasarana itu, selain kelas yang mampu memberi manfaat kepada pelajar.

“Pembaikan fizikal yang dijalankan dijangka dapat menambah keselesaan 260 daripada 340 pelajar di sekolah ini. Baki pelajar yang tidak menginap di asrama tinggal berdekatan di kawasan Senggarang.

“Pembaikan yang akan dilakukan merupakan masalah yang ingin diselesaikan pihak sekolah sebelum ini, tetapi kami menghadapi masalah kewangan. Oleh itu saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

“Saya berharap dengan penambahbaikan ini akan membuatkan setiap pelajar akan rasa selesa serta mampu mengikuti sesi pembelajaran dengan baik seterusnya keputusan yang diberikan juga adalah terbaik,” katanya.

KENYATAAN AKHBAR KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012


KENYATAAN AKHBAR KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012

18 March 2013

KENYATAAN AKHBAR

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM)

TAHUN 2012

 

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diadakan pada hari Khamis, 21 Mac 2013 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat UtamaAras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Peperiksaan bertulis SPM 2012 telah diadakan dari 5 November hingga 6 Disember 2012. Seramai 472,541 orang calon telah menduduki SPM di 3,590 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Seramai 30,239 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan.

Butiran calon adalah seperti jadual di bawah:

Bil

Jenis Calon

Jumlah Calon

1.

Calon Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan

415,530

2.

Calon Sekolah di bawah Agensi Kerajaan selain Kementerian Pelajaran (contoh : MRSM)

7,708

3.

Calon Sekolah Menengah Agama Negeri

7,946

4.

Calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran

11,309

5.

Calon Sekolah Menengah Agama Rakyat

28,148

6.

Calon Persendirian

1,900

Jumlah Besar

472,541

 

Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2012 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi21 Mac 2013 dan akan ditamatkan pada 11.59 malam27 Mac 2013.

 

 

 

Lembaga Peperiksaan

Kementerian Pelajaran Malaysia

14 Mac 2012

 

36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah – Utusan


36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 10 Mac – Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima peruntukan Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah hampir RM4 juta untuk para pelajar di 68 buah sekolah di bawah kelolaannya.

Timbalan Pengarah YIK (Bahagian Sekolah), Mohamed Ya berkata, jumlah tersebut tidak termasuk kepada pelajar di 20 buah sekolah lagi yang sudah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mana telah menerima bantuan lebih awal.

Beliau berkata, pihaknya amat bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan sekolah-sekolah YIK daripada agihan bantuan tersebut yang akan memberi manfaat kepada lebih 36,000 pelajar YIK secara keseluruhannya.

“Keprihatinan Kerajaan Persekutuan ini sekali gus menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada sekolah-sekolah agama di negeri ini yang mengamalkan sistem pembelajaran bersepadu antara kurikulum Kementerian Pelajaran dan sukatan YIK yang memfokus kepada Bahasa Arab dan agama.

“Soal duit datang daripada mana tidak penting tetapi yang jelas ia adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang mana kita mesti bersyukur dan pelajar mesti manfaatkan.

“Para pelajar tidak boleh membazir membeli bahan bacaan tidak berkaitan sebaliknya hendaklah membeli buku untuk kepentingan pendidikan mudah-mudahan rezeki akan bertambah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan BB1M kepada 2,296 pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi (P) berjumlah RM213,000 di dewan sekolah itu di sini hari ini.

Turut hadir menyampaikan bantuan adalah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130310/dn_32/36000-pelajar-YIK-nikmati-BB1M-bantuan-awal-sekolah#ixzz2N8oM5cwq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kaji subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan – Utusan


Kaji subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan

BATU PAHAT 18 Jan. – Kementerian Pelajaran sedang dalam kajian mengiktiraf subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan pada masa akan datang bagi menarik minat pengendali sekolah agama rakyat (SAR) berdaftar dengan kementerian.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian bahagian kurikulum itu bertujuan mengangkat dan mengiktiraf Tahfiz sebagai subjek kebangsaan supaya pengendali SAR yang sebelum ini enggan berdaftar berubah fikiran.

“Kementerian kini berusaha membuat kajian mengenai modul subjek Tahfiz yang akan menjadi mata pelajaran kebangsaan untuk digunakan oleh SAR dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) pada masa akan datang.

“Dengan pengiktirafan itu, kementerian menjangkakan banyak SAR akan berdaftar dan menjadi SABK atau sekolah menengah kebangsaan yang akan mendapat pelbagai keistimewaan daripada kerajaan,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_23/Kaji-subjek-Tahfiz-sebagai-mata-pelajaran-kebangsaan#ixzz2IO59ZR1e
© Utusan Melayu (M) Bhd

HEBAHAN URUSAN TEMU DUGA KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN BAGI CALON PROGRAM ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK (PERMATA) DAN CALON SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK), NEGERI JOHOR – SPP


HEBAHAN URUSAN TEMU DUGA KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN BAGI CALON PROGRAM ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK (PERMATA) DAN CALON SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK), NEGERI JOHOR

 

Temu duga ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi calon untuk penempatan di PERMATA dan calon SABK, Negeri Johor akan dilaksanakan mulai 8 Januari 2013 hingga 11 Januari 2013. Calon juga akan menerima surat rasmi pemberitahuan panggilan temu duga dari Suruhanjaya ini. Calon boleh menyemak jadual temu duga di sini, dan menyemak senarai dokumen yang perlu dibawa semasa menghadiri temu duga yang telah diaturkan di sini.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pusat Panggilan SPP di talian 03-8871 7330


TARIKH TEMU DUGA CALON PERMATA

TARIKH TEMU DUGA CALON SABK
08 Januari 2013
09 Januari 2013
09 Januari 2013 10 Januari 2013
10 Januari 2013

 Muat naik pada 04 Januari 2013

 

Didukung untuk ke sekolah – Sinar Harian


Didukung untuk ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Didukung untuk ke sekolah
Mohd Razi mendukung Normadihah untuk ke sekolah sambil diperhatikan ibunya, Fauziah Omar di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir di Kampung Bendang Pak Yong.

TUMPAT – Hari pertama persekolahan Normadihah Mohd Razi, 11, tidak seperti murid lain apabila dia terpaksa didukung bapanya meredah air banjir sejauh lebih lima meter untuk ke rumah jiran sebelum menaiki motosikal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong.

Walaupun sesi persekolahan sudah bermula dua minggu lalu, tetapi bagi Normadihah baru dapat hadir mendaftarkan diri di sekolah tersebut berikutan rumahnya masih digenangi air sedalam hampir satu meter.

Bapanya, Mohd Razi Awang, 51, berkata, dia terpaksa mendukung anaknya meredah air banjir kerana khuatir baju dan kasut sekolah yang dipakai anaknya basah.

“Persekitaran rumah saya masih digenangi air, terpaksalah mendukung anak ke tempat motosikal yang ditinggalkan di kawasan tinggi di rumah jiran.

“Dengan menunggang motosikal, terpaksa pula meredah air deras kerana masih ada jalan yang ditenggelami air untuk ke SK Bendang Pak Yong ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Mohd Razi berkata, sepatutnya dia perlu mendaftarkan persekolahan anaknya pada hari Selasa minggu lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia terperangkap dalam banjir.

“Bahaya untuk saya keluar dari rumah membawa anak ke sekolah dengan perahu kerana air sangat dalam serta deras.

“Lagipun untuk ke sekolah jaraknya hampir satu kilometer, tidak selamat untuk mereka meredah arus deras menaiki perahu.

“Hari ini, walaupun terpaksa mendukung anak, saya nekad kerana khuatir dia tercicir pelajaran,” katanya yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.

SK Bendang Pak Yong antara tiga sekolah di daerah ini iaitu SK Simpangan, SK Teluk Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda ditangguhkan sesi persekolahannya yang sepatutnya dibuka 1 Januari, tetapi ditunda pada 3 Januari berikutan banjir.

Bagaimanapun sesi persekolahan pada 3 Januari, murid di empat sekolah terbabit dikerahkan balik awal apabila paras air sungai meningkat berikutan banjir gelombang kedua melanda.

Sesi persekolahan pada 6 dan 7 Januari terpaksa ditangguhkan kerana banjir gelombang kedua masih belum surut dan hari ini (semalam) sesi persekolahan dibuka seperti biasa.

Sementara itu Guru Besar SK Bendang Pak Yong, Mohd Arifin Samad berkata, hanya 199 murid hadir ke sekolah semalam, bagi sesi persekolahan minggu ke dua selepas sekolah ini ditutup dua hari lalu berikutan banjir gelombang kedua.

“277 murid lagi tidak hadir kerana keadaan banjir di sini masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir – Bernama


Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir

3 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

HULU TERENGGANU – Dua sekolah, masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu masih ditutup akibat banjir, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dua sekolah yang masih ditenggelami air itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah di Rantau Panjang, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, Setiu di Terengganu.

Beliau berkata sehingga kini hanya sebuah sekolah di Kelantan yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir iaitu SK Bukit Awang.

“Bagaimanapun, SK Bukit Awang tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana hanya terdapat 15 mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan hari pertama sesi persekolahan 2013 di SK Tengku Ampuan Intan di sini hari ini.

SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu adalah antara sekolah yang baru memulakan penggal persekolahan baru hari ini setelah ditutup dua hari akibat banjir.- Bernama

Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir – Sinar Harian


Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA BHARU – Lima sekolah  di dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditangguhkan pembukaan kerana masalah banjir yang menutupi kawasan-kawasan berhampiran sekolah tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Che Hussain Awang berkata, lima buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurulhuda dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bonggor.

“Pembukaan kelima-lima buah sekolah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu kerana kawasan persekitaran sekolah masih dibanjiri air, ini akan menyukarkan murid untuk ke sekolah,” katanya semalam.

Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan satu yang berdaftar untuk tahun 2013 ialah seramai 4,740 orang manakala murid tahun satu pula seramai 28,757 orang.

Beliau berkata, sebanyak 7,448 buah sekolah rendah dan 834 buah sekolah menengah akan dibuka untuk persekolahan 2013.

“Kami menempatkan sejumlah 12,893 orang guru untuk sekolah menengah dan 16,034 orang guru untuk sekolah rendah di sini.

“Jumlah guru tersebut adalah untuk memberi didikan kepada 361,143 orang pelajar sekolah rendah dan menegah di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Sesi persekolahan tahun 2013 dijadualkan bermula pada 1 Januari ini untuk negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala 2 Januari di negeri-negeri lain.

Banjir: 8 sekolah di Kelantan, Terengganu ditutup esok – Bernama


Banjir: 8 sekolah di Kelantan, Terengganu ditutup esok

31 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Lapan buah sekolah di Terengganu dan Kelantan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok, berikutan persekitaran sekolah masih digenangi air dan dibimbangi membahayakan keselamatan pelajar.

Meskipun dilaporkan keadaan banjir di dua negeri itu hampir pulih sepenuhnya, namun keadaan cuaca yang mendung serta hujan berterusan dan kadang-kala lebat menyebabkan paras air sungai utama di dua negeri tersebut kembali meningkat dan mungkin menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir.

Di TUMPAT, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata lima buah sekolah di dua jajahan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.

Menurutnya sesi persekolahan bagi empat sekolah di Tumpat dan sebuah lagi di Pasir Mas ditangguh selama sehari.

“Hari ini kita memutuskan semua sekolah itu akan ditangguhkan sesi persekolahan selama sehari. Kita tengok esok untuk menentukan sama ada ia boleh dibuka untuk hari berikut atau sebaliknya,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan Tok Jering yang terjejas banjir.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bandang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Tok Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurrul Huda di Tumpat, manakala di Pasir Mas adalah SABK Diniah.

Beliau juga meminta ibu bapa agar menghubungi pihak sekolah dan mendengar hebahan melalui media massa mengenai keadaan di sekolah-sekolah berkenaan.

Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa batang sungai utama di Kelantan mula meningkat dan berada pada paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, tiga buah sekolah masing-masing dua di Daerah Hulu Terengganu dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman masih ditutup kerana dinaiki air berikutan kejadian banjir gelombang kedua, hari ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (PPNT), Zakaria Hussin berkata dua Sekolah Kebangsaan (SK) di Hulu Terengganu ialah SK Lubuk Periok yang mempunyai seramai 42 orang murid dan SK Menerong dengan 168 murid.

Sementara di Kemaman melibatkan SMK Bukit Mentok yang dikatakan mempunyai lebih 1,000 pelajar.

“Sebelum ini dua sekolah (di Hulu Terengganu) yang terletak di pinggir sungai itu sudah surut. Namun hari ini, air naik semula kira-kira empat kaki menyebabkan kedua-dua sekolah itu akan ditutup esok. Ia ada kaitan dengan banjir gelombang kedua bermula,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zakaria berkata, SK Lubuk Periok merupakan sekolah luar bandar yang mempunyai pelajar kurang daripada 100 orang.

Dijangkakan lebih banyak sekolah di kawasan rendah di negeri Terengganu mungkin akan akan ditutup sekiranya cuaca terus mendung dan hujan tanpa henti, katanya. – Bernama