Lima sekolah di Kelantan tangguh sesi persekolahan 2013 – Utusan


Lima sekolah di Kelantan tangguh sesi persekolahan 2013

KOTA BHARU 31 Dis. – Sebanyak lima buah sekolah di Kelantan terpaksa menangguhkan sesi persekolahan 2013 yang dijadual bermula esok disebabkan bencana banjir.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, sekolah-sekolah terlibat ialah empat buah di daerah Tumpat iaitu Sekolah Rendah (SK) Simpangan membabitkan sebanyak 287 murid, SK Bendang Pak Yong (470 murid), SK Telok Jering (415 murid) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda (205 murid).

Katanya, sebuah lagi sekolah ialah di Pasir Mas iaitu SABK Diniah Kampung Bongor membabitkan 50 murid.

“Sesi persekolahan di lima sekolah terbabit terpaksa ditangguhkan disebabkan jalan masuk ke sekolah berkenaan masih dinaiki air dan ini berbahaya kepada keselamatan pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121231/dn_32/Lima-sekolah-di-Kelantan-tangguh-sesi-persekolahan-2013#ixzz2GcQjWlgm
© Utusan Melayu (M) Bhd

RM30j bantu sekolah agama – Sinar Harian


RM30j bantu sekolah agama

SAPINAH AB GHANI
18 Oktober 2012
MAKHTAR
MAKHTAR

KOTA BHARU- Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memperuntukkan lebih RM30 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustafa berkata, Kerajaan Pusat sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini.

“Setiap SABK disalurkan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan, “katanya kepada media selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa 2012 di Pusat Ko, Tangok di sini, semalam.

Mengakui masih terdapat Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini, yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, Makhtar berkata ia sepatutnya segera didaftarkan demi kepentingan pelajar dan guru.

“Fokus utama dalam pembangunan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seharusnya berpaksikan usaha untuk membangunkan kemudahan fizikal sekolah, kelengkapan pembelajaran serta membuka peluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru,” katanya.

Makhtar berkata, perkara ini dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berterusan sekiranya SAR didaftarkan di bawah kementerian selain turut memperoleh bantuan per kapita mengikut bilangan pelajar.

Menurutnya, selain berusaha membangunkan SAR, Kerajaan Pusat juga tidak mengabaikan pembinaan masjid, antaranya membina Masjid Ayesha di Kok Lanas bernilai RM6 juta, dan Masjid Mukim Bandar Lama, Gua Musang RM3 juta.

Beliau berkata kerajaan turut membiayai pembinaan bangunan baru Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah di Pasir Mas dengan peruntukan RM600,000 dan membina pondok pengajian Islam An-Najmiah Geting di Tumpat bernilai RM2 juta.

Puad: Usah politikkan lagi isu SAR – Bernama


Puad: Usah politikkan lagi isu SAR

17 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi

KUANTAN – Parti pembangkang diminta tidak lagi mempolitikkan isu sekolah agama rakyat (SAR) kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional, sejak sekian lama sentiasa memberi bantuan kepada sekolah berkenaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini supaya parti pembangkang turut sama dengan BN bagi membantu pendaftaran dan penukaran status SAR kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam usaha memartabatkan pendidikan negara.

“Kerajaan tidak pernah mempolitikkan isu pendidikan, apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam membangunkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2012, dekat Gambang, di sini.

Beliau berkata tindak tanduk parti pembangkang yang sentiasa mendakwa kerajaan meminggirkan SAR adalah tidak benar sama sekali.

“Dari dulu sehingga kini kerajaan tidak mempolitikan soal pendidikan negara termasuk tidak merancang menghentikan sekolah-sekolah vernakular itu.

“Masalah yang dihadapi oleh sekolah terbabit kerana pemiliknya enggan untuk menyertai SABK berikutan mereka mahu mewariskan sekolah berkenaan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Mohd Puad berkata pada tahun lepas sahaja, sebanyak RM95 juta diperuntukkan bagi membantu menaik taraf kemudahan dan pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan.

Beliau berkata daripada 385 SAR dan sekolah agama negeri, hanya 196 mendaftar di bawah SABK setakat ini.

“Sekiranya sekolah berkenaan berbuat demikian, banyak manfaat diterima seperti skim guru tetap, kenaikan pangkat dan memiliki pencen selepas bersara,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini berkata penukaran status SAR kepada SABK perlu dilaksana bagi memastikan sesebuah sekolah itu mendapat bantuan sewajarnya seterusnya tidak ditutup akibat masalah seperti  kekurangan dana dan pemilikan tanah.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran telah membuat tawaran itu sejak dahulu lagi supaya kesemua pihak boleh membantu penambahbaikan sekolah agama dari segi infrastruktur, kualiti guru, kurikulum dan latihan guru.    – Bernama

Kerajaan Persekutuan ambil alih pentadbiran sekolah agama Johor – Kosmo


Kerajaan Persekutuan ambil alih pentadbiran sekolah agama Johor

SULTAN Johor (tengah) diiringi Muhyiddin (kanan) dan Abdul Ghani (kiri) mencemar duli ke majlis menandatangani perjanjian untuk mendaftarkan
sekolah agama Johor di bawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Pendaftaran 28 buah sekolah agama negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tidak sesekali mengurangkan bidang kuasa kerajaan negeri dan Sultan Johor terhadap pengurusan sekolah berkenaan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Su1tan Iskandar bertitah, kuasa mutlak baginda terhadap hal ehwal agama Islam Johor juga tidak terjejas atau berkurangan berikutan pendaftaran sekolah tersebut sebagai SABK.

“Kuasa mutlak raja tidak akan terkurang atau terjejas dengan pendaftaran itu.

“Sebarang keputusan mengenai sekolah terbabit hendaklah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Negeri Johor dan disembah kepada saya terlebih dahulu,” titah baginda semalam.

Baginda bertitah demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pendaftaran sekolah agama negeri Johor sebagai SABK di sini.

Turut hadir ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
SEKOLAH agama Johor kini mendapat nafas baharu selepas ia kini di bawah pentadbiran Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan.

Pada majlis itu, sebanyak 20 buah sekolah menengah agama rakyat dan lapan buah sekolah rendah agama bersepadu di negeri itu didaftarkan sebagai SABK.

Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri bertitah, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perjanjian yang ditandatangani semalam, baginda tidak teragak-agak untuk membatalkannya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya mengesahkan perjanjian tersebut tidak menjejaskan kuasa Sultan Johor, Majlis Agama Islam negeri, Jabatan Agama Islam negeri dan pihak berkepentingan yang lain.

“Ini telah ditetapkan dalam Perkara 17 memorandum persefahaman yang jelas menyatakan bahawa kuasa-kuasa pihak berkepentingan adalah kekal, malah masih mempunyai tanggungjawab terhadap sekolah-sekolah berkenaan,” kata beliau.

Katanya, dengan kemasukan sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 petugas sokongan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran.

SAR, SAN mampu lahir ramai profesional – TPM – Utusan


SAR, SAN mampu lahir ramai profesional – TPM

Oleh NOR AZAN FITRI
JOHOR BAHRU 14 Ogos – Penyenaraian sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) mampu melahirkan lebih ramai golongan profesional yang boleh dijadikan sumber rujukan di peringkat negara dan antarabangsa pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasrat itu bertepatan dengan matlamat pembangunan modal insan negara yang ingin melahirkan lebih ramai golongan profesional agama yang hebat seperti ulama terdahulu. – UTUSAN

Pingat Pandelela bukti kejayaan wujud sekolah sukan – Bernama


Pingat Pandelela bukti kejayaan wujud sekolah sukan

10 Ogos 2012
ALOR SETAR- Kejayaan atlet terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara 10m platform wanita membuktikan kejayaan kerajaan dalam mewujudkan sekolah sukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata kemenangan Pandelela, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, membuktikan usaha Kementerian Pelajaran menubuhkan sekolah sukan boleh membantu negara meraih pingat pada temasya sukan antarabangsa.

“Kontinjen negara kini tidak hanya bergantung kepada acara badminton untuk memperoleh pingat negara dalam Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek bantuan modal kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Kedah di SRJKC Keat Hwa di sini hari ini.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata, di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata dan pingat perak menjadi milik penerjun Australia Brittany Broben dengan 366.50 mata.

Sementara itu, Wee berkata Kementerian Pelajaran hari ini menyerahkan cek bantuan modal berjumlah RM6.975 juta iaitu sebanyak RM5.625 juta kepada 68 SRJKC dan RM1.35 juta kepada empat SMJK di Kedah.

Beliau berkata peruntukan itu adalah daripada peruntukan RM100 juta kepada SJKC, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Mubaligh di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012.

“Di Kedah terdapat tujuh Sekolah Mubaligh yang akan menerima peruntukan tersebut sebanyak RM1.45 juta dan kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” katanya

Ditanya mengenai dakwaan bahawa peruntukan kepada sekolah tersebut tidak mencukupi, Wee berkata perkara tersebut tidak pernah berlaku memandangkan pihak kementerian telah membuat kajian sebelum memberi peruntukan itu.

“Kalau sekolah itu hendak buat bangunan sekolah, kita akan turun padang dan buat kajian mengenai kos yang diperlukan sebelum meluluskan peruntukan tersebut,” katanya. -Bernama

PEMAKLUMAN JADUAL TEMU DUGA KEPADA LEPASAN PROGRAM PERGURUAN SECARA KURSUS DALAM CUTI DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) TAMAT PENGAJIAN MEI DAN JUN 2012 – SPP


PEMAKLUMAN JADUAL TEMU DUGA KEPADA LEPASAN PROGRAM PERGURUAN SECARA KURSUS DALAM CUTI DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) TAMAT PENGAJIAN MEI DAN JUN 2012

Dimaklumkan temu duga ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 bagi lepasan program perguruan secara Kursus Dalam Cuti (KDC) di IPGM yang tamat pengajian pada Mei dan Jun 2012 akan diadakan secara berperingkat mulai 2 Julai 2012. Program perguruan yang terlibat adalah seperti yang berikut:

a)Kursus Perguruan Lepas Ijazah KDC

– Pengajian Cina

– Pengajian Tamil

– Pendidikan Khas

b)Kursus Diploma Perguruan Malaysia KDC
– Pengajian Cina

– Pengajian Tamil

c)Kursus Diploma Perguruan Malaysia KDC Sekolah Agama Bantuan Kerajaan

– Bahasa Melayu

– Pendidikan Islam

– Perdagangan

– Matematik

Calon yang terlibat boleh menyemak tarikh dan tempat temu duga di sini, 2 Julai 2012, 3 Julai 2012, 4 Julai 2012, 5 Julai 2012 dan 6 Julai 2012 . Senarai dokumen temu duga yang PERLU dibawa oleh calon semasa sesi temu duga boleh disemak di sini.

Muat naik pada 21 Jun 2012

Pemakluman Kepada Pelatih Program Perguruan Di Institut Pendidikan Guru (IPG) – SPP


Pemakluman Kepada Pelatih Program Perguruan Di Institut Pendidikan Guru (IPG).

 

Kemaskini: 

Pemakluman Kepada Pelatih Program Perguruan Di Institut Pendidikan Guru (IPG) Yang Tamat Latihan Mei Dan Jun 2012.

Tempoh bagi mengesahkan maklumat yang dibekalkan oleh pihak IPG melalui portal Suruhanjaya ini telah dilanjutkan sehingga 15 Jun 2012. Semua pelatih terlibat hendaklah membuat pengesahan dalam tempoh yang ditetapkan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihak Suruhanjaya TIDAK DAPAT MEMPROSES TEMU DUGA ANDA.

 

Bagi pelatih program perguruan di IPG yang tamat latihan pada Mei dan Jun 2012 dalam program yang disenaraikan seperti di bawah ini perlu mengesahkan maklumat yang dibekalkan oleh pihak IPG melalui portal Suruhanjaya ini. Program perguruan yang terlibat adalah seperti berikut:

(a) Kursus Perguruan Lepas Ijazah – j-QAF;
(b) Bachelor Education of Teaching English as Second Language (Bed TESL);
(c) Bachelor of Education (France);
(d) Kursus Perguruan Lepas Ijazah-Program Pelajar Cemerlang;
(e) Kursus Perguruan Lepas Ijazah-Kursus Dalam Cuti;
(f) Kursus Diploma Perguruan Malaysia-Kursus Dalam Cuti; dan
(g) Kursus Diploma Perguruan Malaysia-Kursus Dalam Cuti-Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Semua pelatih terlibat diberikan tempoh mulai 4 hingga 10 Jun 2012 bagi membuat pengesahan tersebut. Seandainya tiada pengesahan yang dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, urusan temu duga TIDAK DAPAT diproses oleh Suruhanjaya ini. Bagi tujuan pengesahan maklumat, sila klik di sini.

Sebarang pertanyaan atau masalah, sila hubungi No.tel: 03-8871 7366 , 03-8871 7368 , 03-8871 7392 , 03-8871 7393 , 03-8871 7394 , 03-8871 7395 .

Muat naik pada 6 Jun 2012

4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta – Bernama


4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta

KUALA LUMPUR 18 Mei – Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

“Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

“Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

“Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak kita perlu tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi”.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

“Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan,” katanya. – BERNAMA

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KHAS KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH DI SELURUH MALAYSIA


MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KHAS KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH DI SELURUH MALAYSIA

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KHAS KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH DI SELURUH MALAYSIA

Penyerahan Bantuan Khas adalah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Mubaligh serta Bina Baru/Ubahsuai Naiktaraf Surau Sekolah. Majlis tersebut akan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Majlis tersebut akan diadakan seperti ketetapan berikut:

 

Tarikh           : 18 Mei 2012 (Jumaat)

Masa             : 9.00 pagi

Tempat         : Dewan Tun Hussein Onn

                        Pusat Dagangan Dunia Putra

                        (Putra World Trade Centre – PWTC)

                        Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur