Murid terpaksa kongsi kelas – Sinar Harian


Murid terpaksa kongsi kelas
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2013
  • Murid terpaksa kongsi kelasZon menunjukkan tapak yang dicadangkan untuk pembinaan sekolah agama rakyat As-Sidiq.
< 1 / 1 >

SERI ISKANDAR – Penduduk Taman Teknologi Seri Iskandar menggesa pihak berkenaan meluluskan tapak bagi membina sebuah sekolah agama rakyat, di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kafa Sekolah Agama Rakyat As-Sidiq Zon Huri berkata, anak-anak mereka terpaksa menumpang di sekolah kebangsaan untuk mengikuti pengajian sekolah agama rakyat kerana tidak mempunyai bangunan sendiri.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kesukaran kepada mereka kerana jumlah murid yang agak ramai dan terpaksa berkongsi kelas.

“Terdapat 235 murid sekolah agama di sini, setiap kali sesi persekolahan baru bermula kami terpaksa memohon menggunakan sekolah kebangsaan di kawasan ini memandangkan tidak ada kawasan lain yang lebih sesuai.

“Perkara itu menimbulkan masalah kepada kedua-dua pihak kerana sekolah kebangsaan juga mahu memastikan kawasannya dijaga dengan baik,” katanya.

Kata beliau, tapak untuk pembinaan sekolah berkenaan juga sudah ada dan permohonan kelulusan tapak juga sudah dibuat.

Bagaimanapun, jelasnya, sehingga kini mereka belum mendapat kata putus mengenai perkara itu menyebabkan ia tergantung begitu sahaja.

“Tapak berkenaan memang sesuai kerana berhampiran sekolah rendah dan juga masjid yang memudahkan lagi sesi pembelajaran anak-anak,” katanya.

Zon berkata, besar harapan mereka agar pembinaan sekolah berkenaan dapat direalisasikan bagi keselesaan anak-anak mereka untuk belajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, beliau meminta supaya pihak jawatankuasa sekolah agama rakyat  membuat permohonan baru untuk tujuan pembinaan sekolah itu.

“Saya juga difahamkan tapak sekolah itu juga sudah ada memandangkan ia adalah tanah rizab untuk menempatkan projek kerajaan.

“Lokasi itu juga amat sesuai kerana hampir dengan masjid dan sekolah kebangsaan selain dikelilingi taman perumahan yang memudahkan lagi anak-anak untuk ke sekolah,” katanya.

Katanya, perkara itu akan dipanjangkan semula kepada pihak berkaitan dan beliau akan cuba membantu penduduk di sini.

Dilema dua sekolah agama – Sinar Harian


Dilema dua sekolah agama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2013
Dilema dua sekolah agama
Kelas yang musnah di bahagian bawah masih belum dibaiki berikutan kekangan modal.
Dilema dua sekolah agama
Harith menunjukkan bangunan bahagian atas dibina atas bantuan LZS dan orang ramai.
Dilema dua sekolah agama
Manikavasagam (kanan) melihat sisa bumbung yang jatuh menimpa seorang guru selepas struktur bumbung runtuh.

TANJONG KARANG – Maahad Khalifah Abd Khalip atau lebih dikenali Sekolah Agama Rakyat (SAR) Khalifah Abd Khalip yang musnah akibat kebakaran setahun lalu masih belum berganti baru sehingga menyebabkan pelajarnya menumpang belajar, tidur dan solat di madrasah berhampiran.

Pengetuanya, Harith@Haris Fadzillah, 71 berkata, pelajar sedia ada terpaksa menggunakan kemudahan yang ada di madrasah bersebelahan maahad terbabit untuk meneruskan pengajian kerana tidak mahu terus ketinggalan berikutan ketiadaan kelas.

Menurutnya, bangunan dua tingkat meliputi kelas, asrama dan bilik guru itu sehingga kini masih belum dapat digunakan memandangkan tiada bantuan modal khusus pembinaan bina semula meskipun permohonan sudah dibuat sejak setahun lalu.

“Untuk pengetahuan Sinar Harian, permohonan yang dibuat pada Oktober lalu hanya mendapat perhatian LZS untuk membantu membina bahagian tingkat atas yang musnah akibat kebakaran yang berlaku akibat litar pintas pada 17 Ogos lalu.

“LZS sudahpun meluluskan RM17,200 dan ditambah dengan kutipan derma orang ramai menjadikan kos RM20,000 untuk membina bahagian atas yang musnah selain masih memerlukan RM130,000 lagi bagi memulihkan semula keseluruhan bangunan itu,” katanya.

Beliau yang juga bekas pesara guru itu menjelaskan, pihaknya berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak pernah meminggirkan keperluan dan meluluskan permohonan dana peruntukan untuk bina semula tingkat atas yang musnah.

“Bagaimanapun, saya masih menanti kelulusan permohonan peruntukan daripada kerajaan negeri memandangkan tiada perkembangan positif diberikan sehingga ke hari ini menyebabkan saya sedih memikirkan masa depan dan kemudahan pelajar sedia ada.

“Jika dahulu, bilangan pelajar yang dihantar di sini dengan bayaran yuran hanya RM200 sebulan agak ramai namun disebabkan musibah kebakaran itu, jumlah itu semakin berkekurangan berikutan ketiadaan kelas, asrama dan kemudahan belajar yang sempurna.

“Saya bimbang hasrat arwah bapa, Fadzillah Mat Lawan yang juga bekas guru agama mengharapkan sebuah maahad dibina di atas tanah yang diwakafkan di Parit Tiga, Sungai Burong di sini tidak kesampaian hanya gara-gara pihak berkenaan terlepas pandang,” katanya.

Harith berkata, pihaknya masih menanti peruntukan kerajaan negeri dengan penuh harapan kerana banyak perancangan dibuat demi melahirkan sebuah institusi pengajian tahfiz sepenuh masa dengan penyertaan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

SRA Assam Jawa sama nasib

Sementara itu, kedaifan keadaan bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) Assam Jawa, Kuala Selangor yang  serba kekurangan dengan ruang kelas terhad bagi menampung kepadatan murid setiap tahun perlu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof, 34, berkata, keadaan bumbung yang merangkumi lima kelas termasuk bilik guru yang hampir runtuh sebelum ini tidak diberi perhatian pihak berwajib meskipun aduan dan laporan dikemukakan.

“Apabila siling dan bumbung sudah runtuh menimpa guru yang ketika itu berada di bilik guru selepas angin kuat, barulah pihak berkenaan tampil membuat lawatan sebelum memberi jaminan untuk membaiki bumbung yang rosak dalam masa terdekat.

“Saya bukan mahu menuduh sesiapa namun agak kesal kerana apabila kejadian buruk berlaku, baru ada tindakan daripada pihak berkenaan sedangkan permohonan yang dibuat sejak 2009 lalu seolah-olah dipandang sepi sahaja,” katanya.

Sarifudin yang juga Nazir Masjid al Barokah Assam Jawa itu menjelaskan, sebelum ini banyak usaha dibuat pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan dana tambahan dan peruntukan untuk membina bangunan baru dan baik pulih bangunan uzur.

“Ini kerana, ruang kelas sedia ada tidak  dapat menampung penambahan murid yang semakin ramai setiap tahun memandangkan sekolah itu satu-satunya SRA yang mempunyai kemudahan asrama sekali gus menjadi tumpuan ibu bapa luar kawasan ini.

“Pihak sekolah juga tiada pilihan lain dan terpaksa membahagikan ruang kelas yang ada sebagai bilik guru selain kemudahan kantin juga tidak dapat menampung bilangan murid yang setakat ini berjumlah 382 orang dengan jumlah guru seramai 15 orang.

“Kelas sepatutnya ada 12 bilik namun setakat ini ada satu blok sahaja dengan kapasiti 10 bilik sehingga mendorong pihak sekolah membuat permohonan kepada pihak berkenaan termasuk dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri,” katanya.

Inisiatif PIBG bantu SRA

Sarifudin berkata, beberapa usaha dan inisiatif yang diambil PIBG bagi membantu pihak sekolah seperti kerja gotong-royong pembesaran surau, bina pusat sumber dan membuat laluan alternatif kedua bagi mengelakkan kemalangan berlaku di laluan pintu utama.

“Sudah menjadi hasrat pihak sekolah dan ibu bapa untuk melihat kemudahan sekolah ini diberi perhatian pihak berkenaan kerana pemantauan berterusan amat penting bagi melancarkan perjalanan dan perkembangan akademik murid di sini.

“Saya memohon kerajaan negeri dapat memberi perhatian terhadap kemudahan sekolah ini yang masih daif dan serba kekurangan dalam menampung jumlah kehadiran murid yang semakin bertambah seiring pembangunan yang semakin rancak di daerah ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam turut bersimpati melihat keadaan sekolah agama itu yang serba daif dan kekurangan dengan bilangan murid yang ramai berbanding sekolah rendah agama lain di daerah ini.

“Kalau boleh Exco yang berkaitan dapat turun padang dan melihat sendiri kesusahan yang dihadapi pihak sekolah dalam memberi pembelajaran didikan agama kepada anak penduduk di dalam dan luar kawasan Assam Jawa.

“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berulang dan berterima kasih kepada pihak yang berkaitan yang hadir  melihat keadaan sekolah seterusnya memberi jaminan untuk membaikinya dengan kadar segera,” katanya.

Kaji subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan – Utusan


Kaji subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan

BATU PAHAT 18 Jan. – Kementerian Pelajaran sedang dalam kajian mengiktiraf subjek Tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan pada masa akan datang bagi menarik minat pengendali sekolah agama rakyat (SAR) berdaftar dengan kementerian.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian bahagian kurikulum itu bertujuan mengangkat dan mengiktiraf Tahfiz sebagai subjek kebangsaan supaya pengendali SAR yang sebelum ini enggan berdaftar berubah fikiran.

“Kementerian kini berusaha membuat kajian mengenai modul subjek Tahfiz yang akan menjadi mata pelajaran kebangsaan untuk digunakan oleh SAR dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) pada masa akan datang.

“Dengan pengiktirafan itu, kementerian menjangkakan banyak SAR akan berdaftar dan menjadi SABK atau sekolah menengah kebangsaan yang akan mendapat pelbagai keistimewaan daripada kerajaan,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_23/Kaji-subjek-Tahfiz-sebagai-mata-pelajaran-kebangsaan#ixzz2IO59ZR1e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bantuan RM100 pelajar mula diagih – Utusan


Bantuan RM100 pelajar mula diagih

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

Sebahagian pelajar SMK Tasek Utara, Johor Bahru, gembira sambil menunjukkan wang RM100 pada majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 di sekolah itu, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Sebanyak 4.98 juta murid pelajar sekolah di seluruh negara menerima Bantuan Persekolahan RM100 setiap seorang yang mula diagihkan hari ini.

Bantuan kali kedua di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntukkan dana sebanyak RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun.

Berteraskan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bantuan itu mendapat reaksi positif daripada golongan ibu bapa yang menyifatkannya sebagai cerminan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.

Seperti tahun lalu, wang bantuan berkenaan diberikan kepada semua murid dan pelajar sekolah rendah serta menengah yang belajar di sekolah kerajaan termasuk sekolah Cina dan India tanpa mengira status pendapatan keluarga pelajar.

Bukan setakat sekolah kerajaan sahaja, lebihan daripada RM540 juta bantuan tersebut akan turut disalurkan kepada sekolah swasta, sekolah agama rakyat dan sekolah agama kerajaan negeri.

Pengagihan bantuan tersebut dijangka berakhir pada 15 Februari depan bagi memberi laluan kepada pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti mana dijanjikan oleh kerajaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130116/dn_08/Bantuan-RM100-pelajar-mula-diagih#ixzz2I7gcFrdV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bantuan sekolah RM100: Kerajaan peruntuk RM498, Selasa ini – Bernama


Bantuan sekolah RM100: Kerajaan peruntuk RM498, Selasa ini

MOHD. PUAD ZARKASHI

BATU PAHAT 13 Jan. – Kerajaan memperuntukkan RM498 juta sebagai bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 4.98 juta pelajar di seluruh negara tahun ini yang akan disalurkan bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kos berkenaan tidak termasuk peruntukan bantuan persekolahan bagi pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat.

“Bantuan itu akan mula diagihkan pada 15 Januari ini dan dijangka selesai pada Februari depan. Kerajaan sebenarnya menyediakan peruntukan RM540 juta bagi bantuan persekolahan tahun ini tetapi kita masih belum menerima data jumlah sebenar pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk, di Parit Gantung di sini hari ini.

Bantuan persekolahan RM100 itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013.

Ini adalah kali kedua pembayaran tersebut dilakukan yang meliputi semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_20/Bantuan-sekolah-RM100-Kerajaan-peruntuk-RM498-Selasa-ini#ixzz2Huh0wwlD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan Peruntuk RM498 Juta Bagi Bantuan Persekolahan RM100 – Bernama


Kerajaan Peruntuk RM498 Juta Bagi Bantuan Persekolahan RM100

BATU PAHAT: Kerajaan memperuntukkan RM498 juta sebagai bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 4.98 juta pelajar di seluruh negara tahun ini yang akan disalurkan bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kos berkenaan tidak termasuk peruntukan bantuan persekolahan bagi pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat.

“Bantuan itu akan mula diagihkan pada 15 Jan ini dan dijangka selesai pada Feb depan. Kerajaan sebenarnya menyediakan peruntukan RM540 juta bagi bantuan persekolahan tahun ini tetapi kita masih belum menerima data jumlah sebenar pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk, di Parit Gantung, di sini, Ahad.

Bantuan persekolahan RM100 itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013.

Ini adalah kali kedua pembayaran tersebut dilakukan yang meliputi semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga. Sementara itu, Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran membelanjakan RM3.8 bilion tahun lepas untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pelajar di seluruh negara.

Jumlah itu, katanya, membabitkan perbelanjaan bagi biasiswa pendidikan, rancangan makanan tambahan, susu 1Malaysia, bantuan buku teks serta bantuan tuisyen.

“Kerajaan turut memberi subsidi hampir 100 peratus untuk makanan di asrama harian dan asrama penuh manakala tidak mengenakan sebarang bayaran untuk asrama desa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai himpunan anjuran pakatan pembangkang semalam, Mohd Puad berkata perhimpunan itu membuktikan kerajaan berpegang pada janji yang dibuat sebelum ini.

“Kerajaan tunai janji dengan meminda Akta Perhimpunan Aman dan beri kebenaran kepada pembangkang untuk mengadakan perhimpunan semalam.

“Bagi saya Perdana Menteri perlu diberi pujian kerana berjaya membawa perubahan dan menjanjikan amalan demokrasi yang lebih murni,” katanya. -BERNAMA

Dr Puad: Kurikulum Dini, Tahfiz dinaik taraf – Bernama


Dr Puad: Kurikulum Dini, Tahfiz dinaik taraf

11 Disember 2012
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mengiktiraf kurikulum Dini dan kurikulum Tahfiz yang digunapakai di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai kurikulum kebangsaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat perundangan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu.

“Sekiranya selesai dari segi perundangan, maka kita (kerajaan) dapat mengiktiraf kurikulum Dini dan Tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan dan barang kali akan memudahkan lebih banyak SAN dan SAR dinaiktaraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Rakyat (SABK),” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Arifin SM Omar berkenaan langkah kerajaan dalam memartabat SAN dan SAR, di Dewan Negara hari ini.

Katanya, sebaik SAN dan SAR berdaftar sebagai SABK, pelbagai insentif dan bantuan yang diperuntuk kerajaan, boleh dinikmati mereka.

“Ini membolehkan pula kementerian untuk memperuntuk guru yang berkelayakan, menyediakan bantuan geran per kapita, buku teks, pentaksiran bersistematik, penaziran berkualiti serta pengurusan yang cekap di SAN dan SAR.

“Selain itu, kementerian juga boleh menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah itu, dapat membantu dalam membiayai pengurusan, elaun tambahan gaji guru, pembaikan kecil serta prasarana pendidikan yang diperlukan SAR  mahupun SAN,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya 105 SAR dan 90 SAN telah mendaftar sebagai SABK.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Chiw Tiang Chai mengenai mekanisme yang bakal digunapakai kementerian dalam memperkasa sekolah kebangsaan (SK), Mohd Puad berkata sasaran jangka panjang dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 menggariskan untuk menjadikan SK sebagai sebuah institusi yang cemerlang dalam semua aspek.

“Untuk menjadikan SK sebagai sekolah pilihan dan institusi utama perpaduan melalui pendidikan, adalah wajar kualiti pendidikan sekolah itu diberi keutamaan di samping tidak mengenepikan sekolah aliran lain,” katanya. – Bernama

RM30j bantu sekolah agama – Sinar Harian


RM30j bantu sekolah agama

SAPINAH AB GHANI
18 Oktober 2012
MAKHTAR
MAKHTAR

KOTA BHARU- Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memperuntukkan lebih RM30 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustafa berkata, Kerajaan Pusat sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini.

“Setiap SABK disalurkan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan, “katanya kepada media selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa 2012 di Pusat Ko, Tangok di sini, semalam.

Mengakui masih terdapat Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini, yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, Makhtar berkata ia sepatutnya segera didaftarkan demi kepentingan pelajar dan guru.

“Fokus utama dalam pembangunan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seharusnya berpaksikan usaha untuk membangunkan kemudahan fizikal sekolah, kelengkapan pembelajaran serta membuka peluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru,” katanya.

Makhtar berkata, perkara ini dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berterusan sekiranya SAR didaftarkan di bawah kementerian selain turut memperoleh bantuan per kapita mengikut bilangan pelajar.

Menurutnya, selain berusaha membangunkan SAR, Kerajaan Pusat juga tidak mengabaikan pembinaan masjid, antaranya membina Masjid Ayesha di Kok Lanas bernilai RM6 juta, dan Masjid Mukim Bandar Lama, Gua Musang RM3 juta.

Beliau berkata kerajaan turut membiayai pembinaan bangunan baru Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah di Pasir Mas dengan peruntukan RM600,000 dan membina pondok pengajian Islam An-Najmiah Geting di Tumpat bernilai RM2 juta.

Sekolah Agama Rakyat Tidak Dipinggirkan – Bernama


Sekolah Agama Rakyat Tidak Dipinggirkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan berjumlah RM95 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR) pada 2011, sekali gus menangkis tuduhan pembangkang bahawa kerajaan tidak menyediakan peruntukan kewangan untuk sekolah itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kemudahan lain turut diberi kepada SAR selepas mereka berdaftar dengan kementerian.

“Sehingga kini, 156 daripada 382 SAR di seluruh negara telah berdaftar dengan kementerian dan ditukar status kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah sekarang ialah kebanyakan SAR enggan berdaftar dengan kementerian.

Puad berkata, antara kemudahan yang diberi kepada SAR yang berdaftar dengan kementerian ialah bantuan kewangan untuk menaik taraf sekolah serta guru-gurunyadilatih dari semasa ke semasa, berjawatan tetap, berpencen dan menerima skim gaji yang lebih baik.

Sekumpulan pelajar SAR dilihat berhimpun di pintu masuk bangunan Parlimen pagi Khamis dikatakan untuk menuntut peruntukan kepada sekolah berkenaan. – BERNAMA

Mohon kekal sekolah tahfiz – Sinar Harian


Mohon kekal sekolah tahfiz
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012
HULU PERAK – Ibu bapa kepada 23 pelajar lelaki Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, di sini meminta bangunan sekolah sedia ada dikekalkan sebagai pusat pembelajaran buat anak-anak mereka.

Guru, Hasifi Hilfi Shahizan berkata, ada di antara ibu bapa pelajar bimbang anak mereka ditukarkan ke tapak asal di Bukit Sapi kira-kira 15 kilometer dari sini yang dilihat jauh dari penempatan penduduk.

Menurutnya, sekolah itu menumpang di sebuah sekolah agama rakyat, di sini, pada masa ini, untuk meneruskan pengajian mereka. “Bangunan yang mempunyai hanya satu bilik darjah, bilik guru dan bilik asrama dalam satu bangunan dibina di tanah seluas 0.1 hektar serta tidak mempunyai padang dengan jalan tanah merah tidak bertar.

“Sejak enam bulan ditubuhkan, pelajar tidak dapat melakukan aktiviti riadah seperti bermain bola sepak pada waktu lapang,” katanya.

Namun begitu, katanya, pelajar berkenaan masih mengikuti pembelajran berkaitan tahfiz Al-Quran selain pengajian akademik biasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Hasifi Hilfi berkata, ibu bapa pelajar juga turut menyuarakan pandanganuntuk mengekalkan anak mereka di bangunan sedia ada dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Mohd Nasir Yop Ahmad berkata, pihaknya merancang untuk menulis surat kepada Menteri Besar bagi mencari penyelesaian masalah itu.

“Kalau boleh kita tidak mahu pelajar ini dipindahkan ke Bukit Sapi yang dilihat jauh dari kemudahan asas seperti pengangkutan awam, hospital dan sebagainya.

“Ibu bapa mencadangkan sekolah berkenaan dikekalkan untuk memudahkan semua pihak. Cuma kemudahan sekolah perlu dinaikkan taraf untuk pelajar-pelajar cemerlang,” katanya.