Dipukul gara-gara teman wanita – Sinar Harian


Dipukul gara-gara teman wanita

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Oktober 2012
Dipukul gara-gara teman wanita
Romah dan Mohd Alif menunjukkan laporan polis yang dibuat.

ALOR SETAR – Seorang ibu kesal apabila anak bongsunya dipukul rakan sekolah dengan menggunakan kayu cota dengan alasan anaknya mengganggu teman wanita pelajar lelaki itu.

Ibu mangsa, Romah Hashim, 53, berkata, kejadian yang berlaku Ahad lalu di sebuah sekolah agama swasta di Derga diketahui setelah dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Alif Sharif, 15, yang menerusi panggilan telefon yang dibuat anaknya.

Mohd Alif yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendakwa dia dipukul pelajar itu di bahagian perut, lengan, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian terbabit anaknya terpaksa menjawab kertas soalan dalam keadaan tidak selesa kerana masih berasa sakit akibat daripada kejadian itu.

“Sewaktu menerima panggilan saya hanya menyangka tiada apa-apa kesan dan hanya bergaduh biasa namun apabila diperiksa saya mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian.

“Saya segera memaklumkan pada guru sekolah itu dan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Romah berkata, sebagai ibu dia kesal kerana dengan kejadian yang berlaku kerana kayu cota merupakan barangan larangan yang tidak sepatutnya dibawa oleh pelajar ke sekolah.

Dia berkata, pihak sekolah sepatutnya memeriksa pelajar terlebih dahulu sebelum sesi persekolahan bermula kerana bimbang sekiranya mereka membawa barang larangan sehingga boleh menimbulkan kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Mohd Alif ketika menceritakan kejadian itu berkata, sehari sebelum kejadian dia telah berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kafe siber di Simpang Kuala, dekat sini dan remaja itu telah mengugut akan memukulnya di sekolah.

Dia yang langsung tidak mengenali teman wanita rakannya itu tidak menyangka akan dipukul sehingga mengganggu konsentrasinya untuk menjawab peperiksaan.

“Walaupun masih berasa sakit di beberapa bahagian yang dipukul namun saya terpaksa habiskan menjawab kertas soalan.

“Selepas kejadian itu, saya tidak menerima ugutan daripada pelajar berkenaan dan berharap kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Jurucakap sekolah memaklumkan kes yang berlaku adalah kes terpencil dan telah pun diselesaikan oleh pihak sekolah dengan memanggil kedua-dua pelajar untuk meminta maaf agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.

Adzaman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (Refer To Order) yang merujuk semula kepada sekolah.

Didenda makan cili padi – Sinar Harian


Didenda makan cili padi

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
26 April 2012
Didenda makan cili padi
Didenda makan cili padi

IPOH – Gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya, seorang murid sebuah sekolah agama swasta di Taiping terpaksa menahan azab kepedasan apabila didenda makan cili padi tanpa diberi setitik air.

Akibat denda itu, Ainul Aiman Hafiz Ainul Azizul Rahman, 10, dimasukkan ke Hospital Columbia Asia Taiping dan disahkan mengalami Acute Gastritis (gastrik) dan trauma terhadap makanan bercili.

Ibunya, Siti Erna Izura Abd Jamil, 32, berkata, niat untuk memberikan pendidikan agama kepada anaknya itu telah menjadi igauan ngeri kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, guru-guru di sekolah itu juga tidak memaklumkan keadaan anaknya yang mengalami asma selepas memakan cili itu kepadanya.

“Lebih memilukan, saya tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar dua hari tanpa rawatan dan dibiarkan terbaring di katil asrama sambil menahan kesakitan.

“Keadaan itu diceritakan oleh bapa salah seorang pelajar yang kebetulan melihat Ainul Aiman Hafiz terbaring sambil menekan perut ketika mengambil anaknya di asrama itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Siti Erna berkata, Ainul Aiman Hafiz juga enggan kembali ke sekolah berkenaan kerana masih trauma dan dia merasakan hukuman itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kecil.

“Ketika lawatan guru-guru sekolah itu ke hospital ini, mereka mengaku ada memberikan cili padi dan menerangkan bahawa hukuman itu adalah biasa di sekolah berkenaan.

“Mereka maklumkan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi kebenaran mengenakan hukuman tersebut dan mereka mengaku tersalah bagi hukuman kepada anak saya,” katanya.

Katanya, dia kecewa dengan sikap lepas tangan guru-guru sekolah berkenaan yang lambat memaklumkan kejadian itu kepadanya.

“Saya tergerak hati untuk menelefon sekolah, barulah mereka beritahu keadaan anak saya tidak mahu makan menyebabkan saya pergi mengambilnya dan barulah perkara ini terbongkar.

“Anak saya diwadkan selama empat hari bermula 15 April lalu. Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan saya dinasihatkan oleh Kementerian Pelajaran Negeri untuk bertemu dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi mengadu perkara ini.

“Saya telah pergi ke Pejabat Pelajaran untuk tukarkan anak saya ke sekolah lain. Difahamkan ramai lagi murid dipaksa makan cili kerana ia telah menjadi hukuman biasa bagi sekolah itu,” katanya.