Sekolah agama tidak tersisih – Sinar Harian


Sekolah agama tidak tersisih

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2012
Sekolah agama tidak tersisih

PELANGAI – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat mengenai keperluan sekolah agama dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bersesuaian untuk memastikan keselesaan tenaga pengajar serta pelajar.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, keprihatinan terbukti sejak 1968 lagi di mana terdapat banyak sekolah agama rakyat diambil alih Kerajaan Negeri.

Menurutnya, sejak itu, Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai inisiatif termasuk mengeluarkan perbelanjaan mengurus mencecah puluhan juta ringgit setiap tahun.

“Keperluan membina asrama seperti terdapat di Sekolah Menengah Agama Pelangai, dekat sini, membuktikan Kerajaan Negeri tidak menyisihkan sekolah agama.

“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memenuhi permintaan sekolah agama untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian As-rama Puteri Sekolah Mene-ngah Agama Pelangai, dekat sini.

Turut hadir, Timbalan Pe-ngarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz; Pengerusi Jawatan-kuasa Dakwah Islamiah, Per-paduan dan Badan Bukan Ke-rajaan, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan Pegawai Daerah, Datuk Toantowee Mohd Lotfie.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihati pelajar sekolah agama supaya tidak berasa ‘kerdil’ jika dibandingkan dengan sekolah biasa kerana mereka juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menurutnya, bagi memastikan masyarakat tidak terus memandang sebelah mata kewujudan sekolah agama, pelajarnya perlu membuktikan kemampuan dengan berjaya dalam pelajaran termasuk menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dengan cemerlang.

“Kejayaan dicapai pelajar secara tidak langsung dapat menaikkan lagi imej sekolah agama di negeri ini,” katanya.