Baju dalam di pagar asrama – Sinar Harian


Baju dalam di pagar asrama
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2013
  • Baju dalam di pagar asramaSekeping kadbod bertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar.
< 1 / 1 >

BAGAN SERAI – Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah.

Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka.

Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu.

“Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

“Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar,” katanya kepada Sinar Harian.

Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar.

“Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu.

“Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?.

“Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak.

Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka.

Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar.

“Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN.

Tahfiz ‘jualan amal’ ditutup – Metro


Tahfiz ‘jualan amal’ ditutup

 269  27 Google +0  0  0

Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: “Mereka tidak menggunakan sistem pendidikan nasional dan banyak melakukan kegiatan yang tidak bertepatan dengan aspirasi pendidikan Malaysia.”

Itu kata Nazir Sekolah-Sekolah Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Kedah (JAIK) Ismail Zakaria selepas membuat lawatan mengejut ke sebuah pusat tahfiz di sini yang sering dipersoalkan orang ramai kerana disyaki memperalatkan pelajarnya untuk menjalankan ‘jualan amal’.

Berikutan itu, kata Ismail, pihaknya akan menutup operasi pusat tahfiz terletak di Jalan Yan-Kuala Kedah itu kerana didapati menggunakan pelajar bagi menjual pelbagai barangan kononnya ia aktiviti kokurikulum.

Difahamkan, pusat berkenaan yang beroperasi sejak enam tahun lalu tidak berdaftar dengan pihak berkuasa walaupun sudah diberi notis penutupan sebanyak dua kali kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

FotoSUASANA pembelajaran di pusat tahfiz terbabit.

Berikutan itu, seramai enam pegawai JAIK termasuk Ismail membuat lawatan mengejut ke pusat tahfiz itu jam 9 pagi semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Kerajaan sediakan prasarana terbaik untuk sekolah setiap tahun: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan sediakan prasarana terbaik untuk sekolah setiap tahun: Muhyiddin

2013/04/11 – 14:02:11 PMCetakEmel Kawan
PAGOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan meneruskan usaha menyediakan prasarana terbaik kepada semua sekolah membabitkan kira-kira 16 peratus Bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran setiap tahun.

Katanya, usaha itu juga bersesuaian dengan janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diberi tumpuan bagi kepentingan rakyat negara ini.

“Kita mahu menyediakan pendidikan lebih baik kepada negara untuk anak-anak kita dengan pendidikan berkualiti dan ia tidak saja kepada pelajar sekolah kebangsaan, malah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama dan sekolah Mubaligh di seluruh negara.

“Kita membelanjakan wang besar, melabur peruntukan banyak dengan setiap tahun sebanyak 16 peratus daripada Bajet negara diberikan kepada Kementerian Pelajaran iaitu lebih RM34 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lanadron di sini, hari ini.

SJKT Ladang Lanadron yang dibuka sejak 1903 adalah sekolah Tamil yang tertua di Johor.

CUEPACS minta ambil serius isu kenaikan gred – Berita Harian


CUEPACS minta ambil serius isu kenaikan gred

2013/03/04 – 05:25:11 AMCetakEmel Kawan
Sungai Petani: CUEPACS meminta Kerajaan Kedah mengambil perhatian serius terhadap isu kenaikan gred berdasarkan ‘time based’ yang masih gagal dilaksanakan di sekolah agama, Maktab Mahmud di negeri ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menerima aduan kelmarin bahawa tenaga pengajar di sekolah berkenaan tidak dapat menikmati kenaikan gred seperti guru di negeri lain.

“Kita menerima aduan bertulis yang menyatakan guru mereka belum menikmati kenaikan ‘time based’ yang dilaksanakan Kerajaan Pusat baru-baru ini, sedangkan guru yang berkhidmat di tempat lain mendapat kenaikan.

“Mereka minta bantuan CUEPACS berhubung perkara ini dan kita mohon kerajaan negeri dapat ambil tindakan supaya semua guru yang layak, dinaikkan gred berdasarkan ‘time based’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kursus Transformasi Bidang Kejururawatan anjuran Persatuan Kejururawatan Kebangsaan, di sini semalam.

Omar berkata, kegagalan pelaksanaan kenaikan gred itu amat dikesali kerana ia membabitkan kebajikan lebih 300 guru di lebih 10 cawangan maktab terbabit.

Satu bangunan, dua sekolah – Sinar Harian


Satu bangunan, dua sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2013
Satu bangunan, dua sekolah
Murid SAR As-Sidiq terpaksa menumpang di sekolah arus perdana kerana masih tidak memiliki bangunan sekolah agama sendiri.

SERI ISKANDAR – Seramai 235 murid Sekolah Agama Rakyat (SAR)  As-Sidiq, di sini, terpaksa menumpang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana kerana masih tidak mempunyai bangunan sendiri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kafa sekolah, Zon Huri berkata, setakat ini mereka tidak mempunyai bangunan sekolah sendiri kerana masih menunggu kelulusan tapak oleh Pejabat Tanah dan Daerah Seri Iskandar.

Menurutnya, semua murid yang sudah memasuki tahun kedua terpaksa dibenarkan menumpang di sekolah rendah berkenaan kerana tidak ada tempat yang sesuai untuk kegunaan bagi menjalani sesi pembelajaran sementara.

“Tahun lepas juga kita sudah menumpang di sekolah ini dan sekali lagi pada tahun ini kita terpaksa menumpang di sini memandangkan kita masih tidak ada bangunan sekolah sendiri.

“Tapak untuk pembinaan sekolah agama ini sudah ada dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkaitan sahaja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Iskandar Perdana 1.

Katanya, sekolah agama berkenaan baru sahaja dibuka dua tahun lalu memandangkan pertambahan penduduk di kawasan Taman Teknologi itu.

“Kami amat berharap supaya kelulusan tapak tanah itu dipercepatkan memandangkan setiap kali kami mahu menggunakan bangunan sekolah arus perdana pelbagai perkara yang harus dilakukan.

“Apabila tamat sesi persekolahan bagi sesi 2012, kami perlu membuat beberapa permohonan daripada pihak-pihak berkenaan untuk menggunakan bangunan sekolah ini.

“Perkara itu amat kami fahami kerana pastinya pihak berkenaan perlu memastikan sekolah tersebut berada dalam keadaan baik dan tidak berlaku sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun agak sedih dengan keadaan itu, pihaknya  menyambut baik respons positif terutama Jabatan Pelajaran Negeri Perak yang membenarkan sesi pembelajaran SAR berlangsung pada setiap petang.

“Jika tanpa bantuan dan kebenaran mereka pastinya anak-anak kami tidak mempunyai tempat untuk mengikuti sekolah agama, memang sekolah lain ada namun disebabkan kawasan ini mempunyai ramai penduduk amat wajar jika ada sebuah sekolah agama di kawasan ini,” katanya.

Zon berkata, apabila kelulusan tanah itu diperoleh mereka akan melakukan langkah seterusnya untuk memastikan bangunan sekolah agama itu dapat dibina.

“Tapak berkenaan juga terletak di kawasan yang strategik kerana berhampiran sekolah rendah dan berhampiran masjid yang memudahkan ibu bapa atau anak-anak untuk datang ke sekolah.

“Sekarang kami amat berharap tapak tanah ini diluluskan dahulu untuk pembinaan bangunan sekolah, seterusnya kami akan melakukan tindakan selanjutnya untuk memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan,” katanya.

Semua sekolah dibuka semula – Sinar Harian


Semua sekolah dibuka semula

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Semua sekolah dibuka semula
Persekolahan di sekolah terlibat banjir berjalan lancar.

RANTAU PANJANG – Kesemua  tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah di Pasir Mas yang ditutup, setelah dinaiki air serta  jalan utama ke sekolah dinaiki air, telah pun dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, kesemua sekolah terlibat memulakan sesi pembelajaran semalam setelah air di sekolah terlibat mulai surut.

“Kesemua sekolah terlibat banjir memulakan sesi persekolahan setelah air surut dan jalan ke sekolah juga sudah boleh dilalui,” katanya.

Sebelum ini. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan (SABK) Kerajaan Diniah, Bonggor, SABK Al-Falah, Siram dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang terpaksa di tutup.

Penutupan sekolah ini menyebabkan 1998 pelajar daripada empat sekolah di Pasir Mas tidak dapat ke sekolah.

Hussain sebelum ini, memaklumkan sekolah ditutup akibat banjir perlu menggantikannya sebaik banjir pulih seperti sediakala. Tinjauan mendapati pekarangan sekolah terlibat masih berlumpur, sementara sesi persekolahan di sekolah terlibat berjalan lancar.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Asli Adam, 43, dari Kampung Lanchang berkata, hari ini merupakan hari pertama persekolahan anak sulungnya bagi sesi 2013.

Menurutnya, Nurul Zulaika Suhaida, 14, tidak dapat ke sekolah sejak pelajar lain memulakan persekolahan 1 Januari lalu memandangkan sekolah itu tidak dapat dihubungkan dengan kawasan sekitar.

“Saya gembira anak sulung dapat memulakan persekolahan setelah tidak dapat ke sekolah  akibat banjir sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

J-QAF diperkenal di sekolah menengah – Utusan


J-QAF diperkenal di sekolah menengah

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Kementerian Pelajaran sedia memperkenalkan pengajaran subjek Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sekolah menengah selepas masalah bekalan guru program itu di peringkat sekolah rendah diselesaikan sepenuhnya awal tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu mengambil kira keperluan program tersebut diteruskan di sekolah menengah terutama bagi murid-murid yang tidak berpeluang mengikuti pembelajaran tambahan di sekolah agama.

“Kementerian Pelajaran dimaklumkan sejak adanya J-QAF, pengetahuan dan kelancaran murid-murid membaca Jawi dan al-Quran semakin baik.

“Cuma buat masa ini, kementerian perlu menyelesaikan masalah kekurangan guru J-QAF di peringkat sekolah rendah sebelum dilanjutkan ke sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121203/dn_10/J-QAF-diperkenal-di-sekolah-menengah#ixzz2DwaJrxci
© Utusan Melayu (M) Bhd

UPSR 5A: Hadiah istimewa untuk ibu – Sinar Harian


UPSR 5A: Hadiah istimewa untuk ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
upsr
Zairani melihat keputusan anaknya, Muhammad Iqbal (kanan) yang mendapat 5A, semalam.

JASIN – Biarpun kematian ayah sejak lebih dua tahun lalu akibat sakit kronik, namun itu bukan penghalang kepada seorang calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah  Rendah (UPSR) 2012 di sini, untuk memperoleh keputusan 5A.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk, Muhammad Iqbal Kamarul Zaman, 12, berkata, kejayaan itu bukan sahaja hadiah istimewa untuk ibunya yang banyak berkorban selepas pemergian ayahnya, malah menjadi penyuntik semangat untuk dia meneruskan kejayaan di sekolah menengah.

Menurutnya, selain menumpukan perhatian di dalam kelas, dia juga tidak pernah putus untuk berdoa serta mengulang kaji pelajaran setiap hari.

“Pada percubaan lalu saya mendapat 5A dan dari situ saya bertambah semangat untuk mengekalkan kecemerlangan dengan melipat gandakan usaha.

“Alhamdulillah berkat doa dan bantuan ibu termasuk guru yang banyak menolong memakbulkan impian saya mendapat keputusan ini,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Katanya, dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor berharap dapat menyambung pelajaran di sekolah agama ataupun Sekolah Sains Muzaffar Syah Air Keroh.

Ibunya, Zairani Md Jelas, 43, berkata, dia sentiasa memastikan anaknya mengambil makanan berkhasiat supaya mereka dapat belajar tanpa sebarang masalah.

“Selain itu, saya juga mengingatkan anak-anak untuk makan kismis dan minuman air koko,” katanya yang bertugas sebagai jururawat pergigian di Klinik Kesihatan Jasin.

Sementara itu, Guru Besar SK Air Baruk, Mansor Baba, berkata, keputusan UPSR kali ini menunjukkan peningkatan dengan seramai 26 berjaya mendapat 5A, berbanding tahun lalu hanya 17 orang.

Menurutnya, daripada 132 calon yang mengambil UPSR tahun ini, seramai 16 murid berjaya mendapat 4A 1B sekali gus menunjukkan peningkatan peratus lulus 19.4 peratus.

“Sebelum ini, kita target seramai 24 orang yang akan mendapat 5A dan ianya bukan sahaja melepasi sasaran, malah buat pertama kalinya SK Air Baruk mendapat keputusan cemerlang sejak peperiksaan ini diwujudkan.

“Bersyukur dan merasakan kejayaan ini tidak akan dicapai sekiranya tanpa pengorbanan guru-guru tahun 6 termasuk ibu bapa yang sentiasa menyokong setiap program untuk anak-anak mereka terutama calon peperiksaan,” katanya.

JPPK lulus hampir RM40 juta bantu sekolah agama di Kelantan – Utusan


JPPK lulus hampir RM40 juta bantu sekolah agama di Kelantan

 

BACHOK 17 Okt. – Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) meluluskan peruntukan hampir RM40 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Kelantan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha berkata, setiap SABK disalurkan bantuan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian penuh terhadap pembangunan pendidikan Islam di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_31/JPPK-lulus-hampir-RM40-juta-bantu-sekolah-agama-di-Kelantan#ixzz29cnPPGv2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ketepi fahaman politik bantu sekolah agama rakyat – Bernama


Ketepi fahaman politik bantu sekolah agama rakyat

15 Oktober 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti pembangkang khususnya PAS perlu mengenepikan fahaman politik dalam usaha memartabatkan sekolah agama rakyat (SAR) serta menjaga kebajikan pelajarnya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha menjaga kebajikan SAR secara lestari dalam tempoh jangka panjang akan lebih mudah dilaksanakan jika PAS boleh membantu SAR berdaftar dengan kementerian.

“Daftar dengan Kementerian Pelajaran. Saya dah buka tawaran ini sejak dulu, lebih mudah untuk kita bantu bukan saja infrastruktur, kualiti guru, kurikulum yang diajar dan lain-lain bentuk bantuan. Kalau itu boleh dipersetujui untuk kebaikan pembelajaran dan pengajaran…maka daftarlah. Kita boleh bantu secara terancang.

“Saya kemuka cadangan itu supaya diterima oleh mereka tapi malangnya sebahagian besar anggap tak boleh, tak mahu bersama dengan kementerian kerana dia anggap kementerian ini BN punya. Ini bukan soal politik…kalau boleh buat, boleh kurang masalah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata sungguhpun SAR tertakluk di bawah kawalan kerajaan negeri namun kerajaan persekutuan tetap menyalurkan bantuan kepada SAR termasuk sekolah-sekolah yang masih belum berdaftar dengan kementerian.

Katanya RM10.5 juta peruntukan perkapita disediakan bagi SAR yang menjalankan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun ini.

Pada tahun lepas, RM95 juta disalurkan secara dibayar sekali sebagai bantuan ihsan kepada 247 SAR di seluruh negara.

“Saya sedar sekolah-sekolah ini masih memerlukan bantuan, justeru dengan jumlah peruntukan yang kita ada, mungkin bantuan ehsan ini boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada kes demi kes melalui permohonan dari SAR yang benar-benar memaklumkannya,” kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan pemberian peruntukan yang tidak adil kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Jelasnya, semua sekolah di bawah bidang kuasa kementerian diberikan peruntukan yang saksama merangkumi emolumen, utiliti, Bantuan Geran Perkapita, bantuan kokurikulum, bantuan sukan dan lain-lain mengikut jumlah murid di setiap sekolah.

Katanya, pada tahun ini RM937 juta disediakan untuk pengoperasian sekolah (belanja mengurus) bagi 8,216 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan, RM87 juta untuk 1,294 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM19.2 juta bagi 523 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. – Bernama