Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta – Bernama


Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta

20 Oktober 2012

SEREMBAN – Telekom Malaysia Bhd (TM) memperuntukkan RM2 juta untuk projek sekolah angkat yang melibatkan 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara sejak 2003 sehingga kini, kata Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, projek itu bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan sekolah selain menyediakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lebih baik dalam usaha merapatkan jurang digital. Katanya, projekĀ  sekolah angkat bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) ini adalah antara fokus tanggungjawab sosial korporat TM.

“TM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap sekolah angkat berkenaan untuk tempoh tiga tahun,” katanya pada majlis graduasi projek sekolah angkat TM bersama KPKK yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz di sini hari ini.

Majlis graduasi projek itu melibatkan dua buah sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Rendah Agama Repah, Tampin dan Sekolah Kebangsaan Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, yang terlibat dengan projek berkenaan sejak 2009.

Halim berkata, sepanjang tempoh tiga tahun itu, kedua-dua buah sekolah berkenaan menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang memberangsangkan dalam keputusan akademik serta aktiviti kokurikulum.

Katanya, program ini bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk memberi mereka peluang menikmati masa depan yang lebih baik.

“Program sekolah angkat TM merupakan program menyeluruh yang menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya bagi menghadiri kursus ICT dan motivasi serta seminar keibubapaan agar lebih bersedia dalam mendidik anak-anak mereka,” katanya. – Bernama