Sekolah Antarabangsa Fairview lahir pelajar seimbang – Berita Harian


Sekolah Antarabangsa Fairview lahir pelajar seimbang
Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
ffarhana@bharian.com.my
2012/06/25
MOHAMAd AdAM menunjukkan sijil dan trofi kepada ayah dan ibunya pada majlis graduasi Sekolah Antarabangsa Fairview, baru-baru ini.
RAJIN menuntut ilmu serta gemar bertanya soalan berkaitan topik pengajian menjadi resipi kejayaan tiga graduan Sekolah Antarabangsa Fairview yang dinobatkan pelajar terbaik program masing-masing.

Graduan itu, Li Ann Lim, 19 menerima pengiktirafan kecemerlangan bagi Program Diploma International Baccalaureate (IBDP); James Surjadi Utama, 16 (Program O Level Cambridge) dan Mohamad Adam Mohamad Azlan, 16 (Program Pertengahan Tahun).
Mereka adalah antara 86 pelajar yang menerima sijil tamat pengajian bagi tiga program International Baccalaureate (IB) yang ditawarkan sekolah berkenaan pada Majlis Graduasi di Hotel Prince Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif yang juga Pengetua Sekolah Antarabangsa Fairview, T Nava, berkata majlis graduasi pada tahun ini mencatatkan memori lebih manis apabila buat pertama kali turut membabitkan penerima graduan IBDP.

Nava berkata, Program IB adalah satu bentuk pembelajaran berlandaskan sistem pendidikan Cambridge yang memfokuskan kepada kaedah pengajian di dalam dan luar kelas bagi memberi suasana lebih menarik serta bebas kepada pelajar.

“Kita menerapkan kaedah pembelajaran lebih meluas dengan tidak hanya bergantung kepada penggunaan buku teks, peperiksaan dan kerja rumah tetapi turut menerapkan pembelajaran melalui projek luar kelas serta pembentangan.

“Pada masa sama, kita mementingkan kokurikulum bagi memastikan pelajar cemerlang dalam aspek akademik dan bukan akademik.
“Hasilnya, pelajar kita bukan saja cemerlang dalam pelajaran dan kokurikulum, tetapi memiliki potensi besar, keperibadian positif, aspek sosial baik, berkeyakinan, berdaya intelek, mampu bersaing secara sihat, lebih motivasi dan berdikari,” katanya.

Turut hadir pada Majlis Graduasi itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Antarabangsa Fairview, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Sham Mohd Sani dan Pengarah IBDP, Dr Vincent Chian.