TAWARAN BIASISWA SINERGI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) – UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) DI KPM AMBILAN TAHUN 2014
17 September 2013
17 September 2013
27 August 2013
Permohonan secara online Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM bagi tahun 2014 akan dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.
08 February 2013
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Ibu Kecewa, Wilayah Persekutuan” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 5 Januari 2013 – Pelajar bandar berhak ke asrama penuh.
Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM sentiasa patuh kepada matlamat asal penubuhannya. Dasar pengambilan murid, tiga puluh peratus (30%) murid bandar dipatuhi dalam melaksanakan keputusan pengambilan murid ke SBP, disamping akur kepada syarat-syarat permohonan kemasukan murid untuk tingkatan satu (1) dan tingkatan empat (4) seperti yang telah ditetapkan oleh KPM.
Kedudukan (ranking) murid juga disusun menggunakan Sistem Pemilihan dan Penempatan SBP KPMberdasarkan merit mengikut skor akademik (UPSR), skor pencapaian kokurikulum, matriks status sosio-ekonomi keluarga dan skor kepimpinan murid. Bagi pemohon yang tidak berjaya, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui e-rayuan bagi tempoh yang telah ditetapkan.
Untuk mengetahui secara lebih lanjut tentang kedudukan murid secara individu, pengadu boleh terus menghubungi Unit Pengambilan dan Kemasukan Murid, Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid SBP, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), KPM, Aras 3, Blok 2251 Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA |
KUANTAN: Peralatan persekolahan dan buku teks di semua sekolah kebangsaan dan menengah yang rosak akibat banjir baru-baru ini diganti secepat mungkin.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed berkata, pihaknya membuat penilaian kerosakan peralatan dan buku yang dialami sekolah terbabit.
Menurutnya, penilaian kerosakan itu bukan saja membabitkan sekolah yang terbabit banjir malah ada sekolah yang terjejas akibat tanah runtuh seperti yang berlaku di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kuantan.
“Setakat ini, kami memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membuat penilaian mengenai tanah runtuh sama ada ia mengancam keselamatan guru dan pelajar atau tidak.
“Difahamkan, tiga blok terjejas dalam kejadian itu termasuk dewan makan dan asrama puteri, tetapi siasatan masih dilakukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas di sini, semalam.
Selain SK St Thomas, Dr Rosli turut meninjau beberapa sekolah di Kuantan termasuklah SK Galing, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Galing dan SMK St Thomas.
Hadir sama, Guru Besar SK St Thomas, Mohd Sabri Mohamed Arshad dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Thomas, Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad.
Dr Rosli berkata, kerosakan kritikal seperti sistem pendawaian dan peralatan penting turut diberi perhatian manakala kerosakan lain dibaiki berperingkat.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31
2,313 murid miskin ditawar ke sekolah berasrama penuh
KUALA LUMPUR – Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 dari keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.
Murid dari keluarga miskin tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.
Ia berkata kementerian telah menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon terdiri dari murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.
Tempat yang diperuntukan ialah untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut kenyataan tersebut.
“Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar,” menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember depan.
Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). – Bernama
PEKAN: Ingin mengikut jejak kakak yang berjaya dalam pelajaran menjadi pendorong kepada pelajar Orang Asli, Eliena Jonit, 12, dari Sekolah Kebangsaan Temai, dekat sini, belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 yang diumumkan, semalam.
Bangkit selepas mendapat keputusan 4A dan 1B dalam peperiksaan percubaan berjaya meletakkan dia antara dua pelajar Orang Asli di daerah ini yang mendapat keputusan cemerlang.
Eliena, anak kedua daripada empat beradik berkata, sokongan guru dan keluarga menjadi pembakar semangatnya belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan Orang Asli boleh berjaya dalam pelajaran sama seperti masyarakat lain.
Menurutnya, untuk mencapai impian itu, setiap hari dia meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam mengulang kaji pelajaran dan sokongan kakak, Naimah, 15, menambah lagi keyakinan mencapai kejayaan.
“Kesungguhan pihak sekolah mengadakan pelbagai program termasuk kelas tambahan sejak awal tahun memberi lebih peluang kepada saya melengkapkan pengetahuan akademik seterusnya kemahiran menjawab soalan. “Menambahkan lagi semangat untuk berjaya seperti kakak yang mendapat 4A dan 1B pada UPSR sebelum ini apabila mendapat sokongan ayah dan mak, mereka sentiasa menasihatkan saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.
Dia yang tinggal di Kampung Permatang Siput, dekat sini berkata, biasiswa Yayasan Pahang RM250 setahun diterima sejak tiga tahun lalu turut memberi kemudahan kepadanya membeli buku rujukan dan latihan seperti dicadangkan guru.
Eliena berkata, selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR, dia kini berharap diterima belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan impiannya di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah.
“Saya begitu teringin menyambung pelajaran di sekolah berkenaan yang dianggap begitu unik,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20
Syor rekod disiplin syarat ke SBP
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2012/06/18
Muhammad Khailani Abd Jalil (kiri) dan Alimuddin Mohd Dom
Kementerian dicadang perkenal mekanisme pantau tingkah laku pelajar
KUALA LUMPUR: Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan universiti.
Bagi tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan mekanisme untuk memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian di sekolah untuk mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin setiap pelajar bermula dari Tahun Satu.
Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa. – Muhamad Khailani Abdul Jalil, Yang Dipertua MPSM Cadangan itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum dikemukakan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan sebagai input kepada transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dirangka.
Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.
“Antara komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.
“Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.
“Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.
“Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Dalam pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
“Ini berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.
“Kita tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.
Panel itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan depan.
BATU PAHAT: Seramai 9,000 pelajar sekolah menengah akan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua menjelang 2015 sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pendidikan konvensional lain.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, projek perintis Program Asas Vokasional (PAV) untuk pelajar tingkatan satu yang baru diperkenalkan tahun ini bakal melahirkan pelajar dinamik dan memiliki kemahiran asas. “Kementerian melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh melalui penubuhan kolej vokasional menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV).
“Berikutan itu, PAV diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar berkenaan,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada 30 peratus murid sekolah luar bandar daripada keluarga berpendapatan bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.
“Sejumlah 2,214 orang atau 30 peratus kuota ditetapkan untuk murid miskin tegar dari luar bandar diterima masuk ke SBP mulai tahun ini walaupun sekadar memperoleh keputusan sama ada 3A 2B atau 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Ini secara tidak langsung membolehkan kelompok berkenaan mendapat pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan membantu mereka menyesuaikan diri supaya mampu bersaing dengan murid cemerlang lain menerusi program motivasi serta bantuan makanan tambahan untuk keseimbangan pencapaian akademik.
Pengambilan pertama 100 lulus UPSR 2012
KEMENTRIAN Pelajaran akan menubuhkan satu lagi sekolah seni tahun depan, sekolah ketiga selepas Sekolah Seni Johor Bharu dan Sekolah Seni Kuching yang diwujudkan kira-kira lima tahun lalu.
Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian kementerian itu, Muhamat Roli Hasan, berkata sekolah berkenaan akan ditubuhkan di Kuala Lumpur dengan pengambilan 100 pelajar Tingkatan Satu.
Katanya, Sekolah Seni Kuala Lumpur juga akan dilengkapi kemudahan studio dan peralatan seperti dua sekolah seni sebelum ini, selain kemudahan asrama.
Beliau berkata, sekolah seni beroperasi seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan pelajar berpeluang menikmati kemudahan selesa.
“Nama dan lokasi Sekolah Seni Kuala Lumpur belum boleh diumumkan kerana kementerian pada peringkat akhir meluluskan dana mengubah suai bangunan sedia ada.
“Selain bilik darjah dan studio seni, bangunan sekolah ini juga menyediakan asrama untuk 500 pelajar,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Muhamat Roli berkata, pengambilan pelajar Tingkatan Satu tahun depan bermula dengan lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan tiada pengambilan untuk pelajar ke Tingkatan Empat.
Katanya, syarat kemasukan ialah 3B dalam UPSR dan mempunyai bakat dalam bidang seni sama ada muzik, tarian, teater dan visual (reka bentuk, seni halus, komunikasi visual).
Selain kelayakan akademik, beliau berkata, kementerian akan menilai bakat seni lulusan UPSR menerusi temu duga khas di beberapa bandar utama seluruh negara.
“Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web kementerian Pelajaran selepas keputusan UPSR 2012 diumumkan hujung tahun ini,” katanya.
BATU PAHAT 4 Feb. – Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperhalusi dakwaan berlaku lambakan 13,000 guru sains dan matematik di seluruh negara, kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbincangan juga akan dilakukan bagi mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah itu yang harus dilihat secara menyeluruh kerana membabitkan pelbagai faktor termasuk peranan ibu bapa.
“Memang sudah diwujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dalam memastikan unjuran pengambilan guru tidak berkurangan mahupun berlebihan tetapi jumlah pelajar yang memilih bidang sains menurun, mungkin menyebabkan berlaku lambakan seperti didakwa.
“Saya tidak pasti ketepatan bilangan lambakan guru seperti yang didakwa itu tetapi dasar kita adalah melahirkan 60 peratus pelajar jurusan sains. Bagaimanapun, kita tak boleh paksa ibu bapa dan anak memilih jurusan sains,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung isu lambakan guru tersebut, baru-baru ini.
Laporan itu berdasarkan ulasan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap taklimat Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.
Zakaria dilaporkan berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara telah dihantar ke UPSI untuk latihan semula.
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa merangka kaedah proaktif termasuk menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk memastikan minat pelajar dalam bidang Sains dan Matematik meningkat.
“Kementerian sendiri akan terus menggalakkan sekolah dan pelajar menceburi bidang ini selain memperbanyakkan lagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran Sains dan kelas aliran Sains di sekolah seluruh negara namun, ibu bapa juga perlu memain peranan dan menyemai minat anak mereka.
“Saya juga cadangkan sekolah ambil inisiatif termasuk menubuhkan serta mengadakan pelbagai kelab dan aktiviti berunsur Sains dan Matematik termasuk kelab robotik mahupun menyertai ekspo mahupun lawatan supaya minat pelajar terhadap bidang ini dapat terus dipupuk,” katanya.