Sekolah dalam hospital bantu pelajar dalam rawatan
KUALA LUMPUR 26 Julai – Pelajar dan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital terutama bagi tempoh yang lama akan diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan secara formal melalui program sekolah dalam hospital.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui program itu, ibu bapa tidak perlu risau tentang pelajaran anak-anak ketika mendapat rawatan di hospital.
“Sebagai seorang bapa, saya dapat merasakan kebimbangan dan keseriusan ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak yang perlu berada di hospital untuk jangka masa yang lama kerana ketiadaan perkhidmatan pendidikan secara formal.
Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi sekiranya anak-anak akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.
“Ibu bapa yang agak senang mungkin boleh menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti kelas tuisyen bagi menggantikan pelajaran yang tertinggal, tetapi bagi yang tidak begitu senang anak-anak akan terus menerus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika melancarkan projek ”Sekolah Dalam Hospital” di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Projek sekolah dalam hospital itu adalah ilham isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan penaung projek Hati Nurani dan ia dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.
Ia bertujuan membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital. – Bernama