Sekolah Dalam Hospital diperluas – Utusan


Sekolah Dalam Hospital diperluas

JOHOR BAHRU 28 Okt. – Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen akan diperluas ke enam lagi hospital kerajaan pada tahun depan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, hospital yang dipilih adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Kita juga akan mewujudkan SDH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur.

“Kesemua SDH di hospital tersebut akan dilaksanakan tahun depan dan harapan kami setiap negeri akan memiliki sebuah SDH pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan ke tapak projek SDH di HSA, di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican. Turut hadir, Fasilitator Projek Hati Nurani SDH, Dr. Noraini Zainal Abidin.

Noorainee yang juga Penaung Projek Hati Nuraini berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan projek perintis SDH di sekitar Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang pada Julai lalu.

“Saya bangga kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan beberapa hospital secara sukarela mewujudkan sekolah tersebut di hospital masing-masing.

“Bagi memenuhi keperluan itu, guru-guru SDH yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengikuti latihan pengurusan dan pentadbiran program di Children’s Hospital at Westmead, Sydney, Australia,” katanya.

Menurutnya, SDH kini satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan kemudahan tersebut bagi membolehkan pelajar yang mendapat rawatan tidak keciciran dalam pelajaran.

Sekolah Dalam Hospital diperluas – Utusan Malaysia


Sekolah Dalam Hospital diperluas

 

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
pengarang@utusan.com.my

 

Rosnah Abdul Rashid Shirlin bertanya sesuatu kepada Ketua Biro Utusan Malaysia Sabah, Ahmad Tarmizi Abdul Rahim (kanan) pada Majlis Makan Malam Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Komuniti Media di Kota Kinabalu, kelmarin.

 

KOTA KINABALU 24 Julai – Pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan semua pesakit kanak-kanak dan remaja tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan yang sempurna.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bagaimanapun perluasan program berkenaan hanya akan dibuat selepas melihat prestasi program perintis di tiga hospital pada masa ini.

“Konsep SDH kini dilaksanakan di tiga hospital yang terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

“Ini merupakan konsep baru di negara kita bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar walaupun mereka mendapat rawatan di hospital,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Komuniti Media di sini, semalam.

Menurutnya, program hasil cetusan idea isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen.

Jelasnya, program tersebut menyediakan tiga silibus iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Tambahnya, pada masa ini, kira-kira 70 guru dilatih khas untuk menjayakan program itu.

“Ia menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang terpaksa tinggal di hospital melebihi tempoh seperti sebulan dan kadang-kadang bertahun.

“Kita akan adakan kelas di bangunan hospital sendiri, tetapi kalau kanak-kanak atau remaja itu terpaksa dirawat di katil, cikgu akan datang mengajar,” katanya.