Sekolah Dalam Hospital ke-4 dibuka di HUSM – Bernama


Sekolah Dalam Hospital ke-4 dibuka di HUSM

25 September 2012

KOTA BAHARU – Selepas kejayaan tiga sekolah perintis di Lembah Klang, program ‘Sekolah Dalam Hospital’ diperluas dengan pembukaan sekolah keempat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Penaung Jawatankuasa Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abd Rahman yang melawat sekolah itu hari ini, berkata dalam masa terdekat beberapa sekolah lagi akan dibuka.

“Apapun Kementerian Pelajaran akan mengumumkan dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Program ‘Sekolah Dalam Hospital’ digerakkan jawatankuasa itu menerusi Yayasan Nurul Yaqeen, bertujuan memastikan pelajar yang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Sejak dilancarkan pada Julai 2011, tiga sekolah perintis dibuka di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang menerima lebih 6,000 pelajar, sementara sekolah di HUSM itu pula beroperasi pada 18 Sept lepas dan kini mempunyai kira-kira 10 pelajar.

Sehingga kini terdapat hampir 30 guru mahir dari Kementerian Pelajaran ditempatkan di sekolah berkenaan dengan mengajar mata pelajaran khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mengulas lanjut, Noorainee yang juga isteri Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran perjalanan operasi semua sekolah terbabit.

Pada lawatan itu, Noorainee turut menziarahi seorang mangsa ragut Zura Ashikin Mustafa, 48, yang cedera parah dalam kejadian di Pasir Tumboh, dua hari lepas.

Sementara itu Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman dalam ucapannya berkata universiti tersebut bersedia membantu sembilan guru yang mengajar di sekolah berkenaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada warga USM yang telah membantu dan berjasa untuk mengajar di sekolah ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar yang menghidap kencing manis, Mohd Affendi Asmardi, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut mengakui masih merindui rakan-rakan di sekolahnya.

“Buat masa ini saya akan cuba sesuaikan di sekolah ini semasa dalam tempoh menerima rawatan agar pelajaran saya tidak tertinggal,” katanya yang menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lepas.

Bagi Raja Nurain Raja Jamaluddin, 11, yang menghidap kanser tulang, dia berasa gembira berada di sekolah itu kerana mempunyai ramai rakan yang senasib dengannya.

Seorang pesakit tumor ‘liposarcoma’, Fazira Amira Amir Hamzah, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub, Pahang, berkata melalui sekolah itu dia dapat mengikuti pembelajaran yang tertinggal sejak hampir sebulan kerana menerima rawatan kemoterapi. – Bernama