Sekolah Seri Puteri juara pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-39 – Bernama


Sekolah Seri Puteri juara pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-39

8 September 2012

PUTRAJAYA – Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya hari ini dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-39 antara sekolah berasrama penuh (SBP) kategori Bahasa Melayu, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

Kedua-dua sekolah menerima hadiah wang tunai RM4,000 bersama piala pusingan dan sijil penyertaan.

Muhammad Luqman Sufyan Junaidi dan Abdurrazaq Hazrin Fazail, kedua-duanya dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, masing-masing dipilih sebagai pembahas terbaik Bahasa Melayu dan Inggeris serta membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala iringan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pemangku Pengurus Besar Kanan (Operasi Perbankan) Bank Rakyat Mustafha Abdul Razak.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata kepetahan bertutur dengan kemampuan melahirkan idea bernas secara spontan amat diperlukan terutama untuk menjadi pemimpin yang berwibawa.

Beliau berkata pemikiran yang kreatif dan kritis juga amat diperlukan dewasa ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berinovasi dan berfikiran kritis.

“Seharusnya aktiviti seperti ini menjadi satu cara bagi murid mengasah pemikiran mereka. Bakat seperti ini harus dikembangkan supaya ia menjadi aset kepada negara dan berguna kepada masyarakat,” katanya. – Bernama

SDAR Seremban menang hadiah utama pertandingan filem antarabangsa – Bernama


SDAR Seremban menang hadiah utama pertandingan filem antarabangsa
14/08/2012 – 16:08:19 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) Seremban memenangi satu daripada hadiah utama Panasonic Kid Witness News (KWN) 2012 Global Film Award di London melalui dokumentari bertajuk ‘The Factory Chicken’.

Filem itu, yang membabitkan penyelidikan tentang ladang ternakan ayam moden serta kesannya terhadap haiwan berkenaan dan alam sekitar, memenangi Anugerah Penyelidikan Terbaik bagi filem dokumentari sekolah. Dalam kenyataan hari ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd berkata SDAR adalah antara enam peserta peringkat akhir daripada 718 sekolah dari 31 negara yang menyertai Panasonic KWN 2012 Global Contest melalui persembahan video bertemakan ekologi atau komunikasi sepanjang lima minit yang mereka kemukakan.
Hadiah Grand Prix dan Anugerah Skrip Terbaik dimenangi Sekolah Menengah Sembawang, Singapura melalui dokumentari berjudul ‘The First Appearance of Light’.

Ketua hakim Panasonic KWN, Ian Cameron, yang juga bekas editor berita BBC TV, berkata beliau kagum dengan profesinalisme yang terdapat pada filem yang dihasilkan SDAR.

Ini kali kedua sekolah Malaysia memenangi pertandingan itu. Kali pertama dimenangi Sekolah King George V, juga dari Seremban, pada 2010.

Program KWN memberi penghargaan kepada video yang dihasilkan kanak-kanak setiap tahun, dengan memberi kebebasan kepada mereka memilih tema yang diminati serta mengendalikan penerbitannya, daripada peringkat perancangan dan penulisan skrip, hinggalah kepada kerja penggambaran dan penyuntingan.
Sekolah yang mengambil bahagian diberi kamera video Panasonic serta peralatan lain bagi tujuan itu. – BERNAMA