9 sekolah di Kelantan ditutup esok akibat banjir – Bernama


9 sekolah di Kelantan ditutup esok akibat banjir

26 Februari 2013

KOTA BHARU – Sembilan sekolah di Kelantan di sekitar Rantau Panjang akan ditutup esok akibat banjir yang turut melanda beberapa jajahan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang; Sekolah Menengah Agama Kerajaan (SABK) Diniah, Bongor; Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat; SK Kok Pauh; SK Kampung Baru; SK Kubang Kuau; SK Baroh Pial; Sk Lubok Stol dan SK Rantau Panjang.

Beliau berkata, 17 sekolah lagi turut digenangi air dan pelajar dibenar pulang awal hari ini demi keselamatan mereka.

“Pelajar sekolah berkenaan dibenarkan pulang lebih awal mulai 9.55 pagi hingga 12.35 tengah hari,” katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, sekolah tersebut melibatkan kawasan pentadbiran empat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) iaitu Kuala Krai, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Hussain berkata, dua sekolah di kawasan PPD Pasir Puteh dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir iaitu SK Kamil melibatkan sembilan mangsa dan SK Canggal sebanyak 20 orang. – Bernama

PELINDUNG sokong tindakan tegas sekolah salah guna wang bantuan – Bernama


PELINDUNG sokong tindakan tegas sekolah salah guna wang bantuan

2013/01/24 – 14:01:46 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (PELINDUNG) menggesa Kementerian Pelajaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan.

Presidennya, Ahmad Othman, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggagalkan matlamat kerajaan untuk membentu pelajar, khasnya golongan miskin daripada menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan itu.

“Selain bercanggah dengan Pekeliling Kementerian, ia juga menyalahi peraturan dan etika kemasyarakatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini yang meminta pihak sekolah tidak menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan RM100 setiap pelajar bagi meringankan bebanan ibu bapa pada awal musim persekolahan.

Sebelum itu, akhbar melaporkan terdapat sebuah sekolah di Johor yang menawarkan potongan bayaran yuran komputer jika ibu pelajar menjelaskan kesemua bayaran dengan menggunakan wang bantuan awal persekolahan itu.

Ahmad berkata, walaupun kejadian itu tidak dilaporkan berlaku di Kelantan, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan perkara sama turut membabitkan sekolah di Kelantan.

Ini kerana kebanyakan ibu bapa, terutama yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung banyak hutang dengan pihak sekolah dan PIBG seperti pelbagai jenis yuran.
– BERNAMA