UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun – Bernama


UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun

19 November 2012
UPSR2012
Murid Sekolah Rendah Bukit Bandaraya KL, Shalmeena (tengah) dikucup ibu bapanya Muniswary (kanan) dan Vijaya Kumar setelah mendapat keputusan A. – Foto Bernama
UPSR 2012
Tiga murid SK Padang Garong 1, Kota Bharu, Nur Anis Asyikin Azmi (kiri), Ahmad Syamil Ismail (tengah) dan Nik Alya Shahirah Nik Shamsul muncul pelajar terbaik sekolah itu.

KUALA LUMPUR – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lepas dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh keputusan semua A.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang mencatat peningkatan ialah Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Perlis.

Tujuh negeri pula mencatat sedikit penurunan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Di KUALA LUMPUR, 2,487 atau 10.35 peratus daripada 24,021 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.37 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,441 murid daripada 22,766 calon mendapat semua A.

Beliau berkata, tiga sekolah yang mencatat pencapaian semua A tertinggi ialah Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (97 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (93 murid) dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (89 murid).

Di KUCHING, 2,010 daripada 45,946 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A berbanding 1,835 calon tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 175 orang atau 0.22 peratus, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam.

Beliau berkata, seramai 26,009 calon atau 56.9 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya penguasaaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 24,344 calon atau 55.52 peratus pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 1.38 peratus.

Di SEREMBAN, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata, seramai 2,197 orang atau 11.4 peratus memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 2,169 calon atau 11.6 peratus pada 2011.

Beliau berkata, seramai 13,632 calon atau 70.9 peratus pelajar mencapai tahap penguasaan minimum gred ‘C’ dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil, meningkat 2.6 peratus berbanding pencapaian 2011.

Di KUANTAN, jumlah pelajar UPSR di Pahang yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 3,025 berbanding 2,977 tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata seramai 19,152 calon pula berjaya menguasai semua mata pelajaran iaitu mendapat gred A, B dan C.

Dalam masa sama, beliau berkata pencapaian calon UPSR sekolah di tanah rancangan Felda yang berjaya mendapat gred serupa juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 452 orang daripada 5,062 calon berbanding tahun lepasa, 446 orang dari 5,004 calon.

Di KANGAR, walaupun jumlah calon UPSR negeri Perlis tahun ini berkurangan namun jumlah yang mencatat keputusan cemerlang meningkat kepada 416 orang berbanding 388 orang pada 2011.

Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata peratus kelulusan keseluruhan juga meningkat sebanyak 3.31 peratus kepada 65.71 peratus. – Bernama

Tujuh sekolah perintis program golf di Lembah Klang – Sinar Harian


Tujuh sekolah perintis program golf di Lembah Klang

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Mohamed Zain Yusuf
Naib Presiden PGM Datuk Mohamed Zain Yusuf

PERSATUAN Golf Malaysia (PGM) akan melaksanakan program perintis pembangunan sukan golf peringkat akar umbi di tujuh sekolah di Lembah Klang mulai Januari tahun depan.

Naib Presiden PGM Datuk Mohamed Zain Yusuf berkata, Kementerian Pelajaran  memilih tiga Sekolah Menengah Kebangsaan dan empat Sekolah Kebangsaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi tujuan berkenaan.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan St John, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Sekolah Kebangsaan St John I, Sekolah Kebangsaan Saujana Impian dan Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara II.

“Kita berbincang dengan Bahagian Sukan KPM dan menerusi program satu murid satu sukan, mereka bersetuju untuk memperkenalkan golf sebagai satu pilihan sukan dalam kurikulum sekolah.

“Seramai 44 guru akan dilatih dalam prinsip asas sukan dan golf. Guru-guru itu juga perlu memastikan kelab golf yang ditubuhkan di setiap sekolah bergerak secara aktif,” katanya.

Menurutnya, kerajaan bersetuju memperuntuk RM500,000 setahun bagi mencari bakat baru golf di peringkat akar umbi, selama empat tahun bermula tahun depan.

“Secara kasar setiap sekolah akan menghantar 35 pelajar mereka untuk berlatih di tiga pusat latihan yang akan dipilih, selama dua tahun,” katanya.

Program Wacana MBMMBI lahir penulis muda – Utusan


Program Wacana MBMMBI lahir penulis muda

KUALA LUMPUR 21 Mei – Program Wacana Memperkasakan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mampu melatih dan melahirkan lebih ramai penulis muda di negara ini.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, ia juga selaras dengan strategi Kementerian Pelajaran dan sekolah melahirkan penulis muda sekali gus mengambil bahagian membantu menerbitkan 28,000 judul bahan bacaan menjelang 2015.

“Dengan ada program sebegini, ia mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang diperlukan dalam pasaran kerja negara.

“Selain berupaya melontar idea bernas, komunikasi berkesan serta penulisan yang baik dengan penggunaan bahasa yang betul juga adalah perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini semalam.

Program yang dianjurkan Perpustakaan Negara dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Setiawangsa itu berlangsung selama tiga hari berakhir semalam, melibatkan 24 buah sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara termasuk penyertaan pelajar dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Program itu turut menyaksikan beberapa pertandingan diadakan antaranya pidato, pengucapan awam dan bercerita dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagi pertandingan bercerita kategori antarabangsa dimenangi Nuha Jes Izman dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara; naib johan, Shivraaj Singh Khaira dari Rosyth School, Singapura dan tempat ketiga, Isheta Shah dari Sekolah Minden Height, Pulau Pinang.

Pertandingan bercerita kategori bahasa Melayu pula dimenangi oleh Minhah Barakah Che Johari dari Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Terengganu; naib johan, Lim Li Chuin dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Lick Hung dan tempat ketiga, Afiq Husaini Rozali dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.

Menurut Raslin, program yang dianjurkan itu menjadi medan terbaik kepada pelajar menyerlahkan bakat di samping mengasah kemahiran berdepan dengan orang ramai.

“Pertandingan ini juga seiring dengan dasar MBMMBI yang ingin menggalakkan pengunaan bahasa yang betul di kalangan pelajar selaras dengan keperluan negara memartabatkan bahasa kebangsaan dan memperkukuhkan bahasa Inggeris,” jelasnya. – UTUSAN