Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan – Bernama


Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan

11 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan Danau Perdana, Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini dikosongkan pada 2005 berikutan struktur bangunan yang terjejas akibat mendapan tanah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata proses penilaian tahap keselamatan bangunan itu telah dilakukan perunding geoteknikal yang dilantik Jabatan Kerja Raya.

“Laporan penilaian tahap keselamatan mengesahkan bahawa struktur bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

“Sehingga kini, bangunan sekolah itu masih tidak boleh digunakan kerana kes ini sedang dalam proses timbang tara oleh Jabatan Peguam Negara.

“Sebarang keputusan berkaitan pembinaan bangunan sekolah itu hanya akan diputuskan setelah proses timbang tara selesai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai perkara itu di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama