Budak lemas kaki sangkut kunci air – Metro


Budak lemas kaki sangkut kunci air

 2  1 Google +0  0  0

Padang Besar: “Abang bergayut di belat (kunci air) untuk sukat kedalaman, tetapi tiba-tiba dia lepaskan tangan dan terjun ke dalam sungai itu kerana kaki kanannya tersangkut, namun tidak muncul menyebabkan saya dan rakan lain bimbang.”

Begitu kata Azim Mustaqim Mahamad Rezduan, 10, apabila abangnya, Affiq Uzzair, 12, ditemui lemas ketika mandi bersama adiknya itu dan lima rakan lain di Pintu Kunci Air Tok Badet, Sungai Abi, Padang Melangit, di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Azim berkata, abangnya yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, tidak pernah turut serta ketika dia dan rakannya mandi di sungai berkenaan, malah selalu ke pusat siber untuk bermain permainan komputer di kedai berdekatan.

 

Menurutnya, dia terkejut apabila abangnya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Padang Melangit itu terjun ke dalam sungai dan mandi bersama mereka.
“Saya melihat abang ke bahagian hadapan kunci air dan bergayut di situ. Tetapi, kaki kanan abang dipercayai tersangkut di bahagian pintu kunci air berkenaan menyebabkan dia berusaha melepaskan diri.
“Air yang deras menyukarkan abang untuk melepaskan kakinya daripada celah kunci air itu. Saya hanya mampu melihat abang menggelupur di dalam air sebelum memanggil ayah untuk menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Jaafar, Beseri Dalam, di sini, semalam.

 

Katanya, dia dan rakan-rakannya mula mandi di sungai berkenaan dari jam 1.30 tengah hari, manakala abangnya turut serta pada jam 4 petang dan tidak ke kelas tambahan yang diadakan di sekolahnya.
Dalam kejadian itu, mangsa dikeluarkan sendiri bapanya, Saad Daud, 50, dengan bantuan beberapa penduduk kampung kira-kira jam 5.30 petang.

 

Saad berkata, anaknya sudah tidak bernyawa ketika dia cuba mengeluarkannya dalam tempoh kira-kira 20 minit kerana air deras selepas pintu kunci air dibuka bagi memudahkan kakinya dikeluarkan.
Menurutnya, dia turut mengikat tali di badan Affiq supaya tidak dibawa arus ketika usaha membawa naiknya daripada dalam sungai.
“Affiq tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan meninggal dunia kerana dia sentiasa gembira dan membantu keluarga.
“Saya tidak menyangka dia akan mati lemas kerana pandai berenang, malah Affiq sebelum ini pernah menyelamatkan rakannya ketika banjir besar berlaku di Padang Melangit, beberapa tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. mangsa bersama seorang adik dan lima rakannya mandi-manda di kawasan tali air sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka.
“Ketika kejadian, mangsa yang sedang menyelam tidak timbul semula kerana kakinya tersangkut pada pintu kunci air dan tidak dapat dibantu oleh rakannya.
“Seorang lelaki berusia 21 tahun yang melalui kawasan berkenaan cuba membantu dengan menyelam ke dasar sungai, namun gagal menemui mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.\ Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan sudah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/10

Guru dan tiga anak maut dalam kemalangan – Kosmo


Guru dan tiga anak maut dalam kemalangan

 

09/09/2013 3:41pm

 

KAJANG – Seorang guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi bersama tiga anak maut dalam kemalangan di kilometer 8 Jalan Kajang – Banting di sini tengah hari tadi.

Dalam kemalangan itu, seorang lagi anak guru itu dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Kajang.

Mangsa yang maut dikenali sebagai, Rohaya Md. Rabi, 35, Nor Nabila Al Hanan, 7, Mohd. Nabil Loffi Al Hadi, 1.

Mangsa yang kritikal dikenali sebagai Mohd. Nabil Lutfan, 3 tahun. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2eOyisHcn
Hakcipta terpelihara

Guru penolong kanan mati ditembak depan sekolah – Utusan


Guru penolong kanan mati ditembak depan sekolah

 

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

BACHOK 7 Julai – Seorang guru penolong kanan maut dipercayai ditembak dari jarak dekat ketika hendak pulang ke rumahnya berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, dikatakan dalam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Dosoh, dekat sini selepas selesai menjalankan tugas di sekolah tersebut. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130708/je_15/Guru-penolong-kanan-mati-ditembak-depan-sekolah#ixzz2YSOuyLQt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Buku seorang guru – Kosmo


Buku seorang guru

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

WAN ZAYUHISHAM menunjukkan buku-buku yang telah ditulisnya sejak tahun 2009.

 

MEMILIH kerjaya sebagai seorang pendidik, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, mengakui, beliau amat bersyukur dengan perjalanan hidupnya yang telah diatur Ilahi.

Selama 17 tahun bergelar guru, banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh dalam dunia persekolahan yang saban tahun semakin mencabar. Ini kerana perkembangan teknologi juga menjadikan para pelajar lebih ke hadapan dalam pelbagai aspek.

Situasi itu sekali gus memberi cabaran besar buat guru bagi menangani masalah tersebut. Menyedari hakikat itu, Wan Zayuhisham terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui penulisan buku-buku remaja.

Terbaharu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan PPR Taman Lembah Subang itu tampil dengan karya bertajuk Cikgu, Anak Saya Okey? yang memaparkan pelbagai dilema yang dihadapi pelajar.

Ia merupakan sebuah buku motivasi kedua beliau selepas menghasilkan buku Suami Yang Teruji berdasarkan catatan pengalaman, pengisahan rakan-rakan guru serta pemerhatian sendiri mengenai isu-isu pendidikan dan persekolahan.

Menurut Wan Zayuhisham, selain menulis mengenai masalah yang dihadapi, beliau juga memberi pandangan untuk mengatasinya. Tidak ketinggalan, tip-tip ringkas untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak turut diselitkan.

“Jujur saya katakan, bahawa apa yang dipaparkan dalam buku ini bukan untuk mengajar ibu bapa mendidik anak-anak tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan kaedah yang pernah dipelajari melalui kelas pengajian, seminar, diskusi dan pembacaan.

“Buku ini juga mampu memberikan gambaran keseluruhan kepada para ibu bapa mengenai dunia persekolahan anak-anak,” ujar Wan Zayuhisham sambil memberitahu, buku itu disiapkan sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Lapan buah buku

Mula terjun dalam dunia penulisan sejak Mei 2009, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu sudah menghasilkan lapan buah buku.

Buku pertamanya bertajuk Impian Juara diterbitkan pada 2010. Ia diikuti Ops Menjejak Pencuri, juga pada tahun yang sama, Impian Juara 2 (2011), Ops Conteng dan Suami Yang Teruji (2012) serta Erti Persahabatan dan Ulat Buku (2013).

Tambah beliau, kesibukan tugas sebagai seorang guru bukan penghalang untuknya aktif menulis. Apa yang penting, pengurusan masa yang bijak mampu membantu mencapai kejayaannya dalam bidang penulisan.

“Saya biasa menulis selepas asar tetapi pada kebanyakan masa, waktu yang paling ideal bagi saya adalah selepas isyak dan awal pagi. Ada ketika, saya juga pernah tertidur di hadapan komputer gara-gara terlalu letih,” luah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi.

Ditanya mengenai kepuasan yang dirasai dalam bidang penulisan, Wan Zayuhisham pantas menjawab: “Perasaan itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bagi saya, bila seseorang penulis dapat menghasilkan sebuah buku, ia boleh diibaratkan seperti melahirkan bayi. Itu yang saya rasa.”

Selain SK PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku (1994-1998), diikuti SK Sains Dominic (1999-2002), kedua-duanya di Lahad Datu, Sabah dan SK Taman Medan, Jalan Klang Lama (2003-2010).

Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan Wan Zayu- hisham, layari laman blognya ilhamwan.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2XnRXUpSS
Hakcipta terpelihara

Ibu reda kejadian timpa anak – Metro


Ibu reda kejadian timpa anak

 1  0 Google +0  0  0

Batu Pahat: “Saya reda kejadian menimpa anak dan tidak mahu memanjangkan perkara ini,” kata wanita dipercayai ibu mangsa berusia 50-an yang enggan dikenali ketika ditemui di rumahnya di Parit Baring, Parit Raja di sini, semalam.

Wanita itu dipercayai ibu kepada murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Muhammad Khairul Hakimi Ab Gani, 8, yang meninggal dunia selepas terjatuh akibat menuruni tangga dengan menggelongsor pada pemegang tangan di tangga tingkat dua Blok A sekolah itu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, arwah Muhammad Khairul disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke pusat perubatan berhampiran.

 

Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi (gambar) berkata, semua guru dinasihatkan bertindak tegas mendisiplinkan murid pada waktu persekolahan bagi mengelak kejadian sama berulang.
Menurutnya, pengawasan guru pada waktu persekolahan amat penting kerana masih dalam tanggungjawab mereka.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Khairul Hakimi yang ditimpa kemalangan di sekolah itu, kelmarin.

 

“Saya mencadangkan besi di kawasan tangga setiap sekolah dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

‘Tiada lagi suara lantang’ – Metro


‘Tiada lagi suara lantang’

 2  0 Google +0  0  0

Pasir Mas: “Tiada lagi suara lantang yang bersemangat menyanyikan lagu Negaraku di sekolah,” kata guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Rahmat, Rantau Panjang, Dzukieman Yusoff, 44.

Dzukieman berkata, walaupun tidak mengajar Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, dia mengenali kanak-kanak itu kerana sering bersemangat menyanyi lagu Negaraku ketika perhimpunan sekolah.
“Dia (Muhammad Zulhilmi) kelihatan begitu yakin dan bersemangat setiap kali menyanyikan lagu Negaraku di perhimpunan sekolah sehingga dia dikenali ramai,” katanya.

 

Sementara itu, guru kelas Muhammad Zulhilmi, Norma Ismail, 44, berkata, kanak-kanak itu pendiam ketika di dalam kelas tetapi disenangi semua guru dan rakan kerana tidak pernah menimbulkan masalah.
Katanya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Zulhilmi ketika mengajarnya dari jam 10.45 pagi hingga 1.15 petang kelmarin. “Pada mulanya Muhammad Zulhilmi tidak mahu masuk ke kelas dengan alasan dia bergaduh dengan rakan sekelas yang juga sepupunya, namun selepas dipujuk dia masuk ke kelas dan belajar seperti biasa.
“Dia memang manja dan suka mengadu selain bercerita keakraban hubungannya dengan dua adiknya yang turut terkorban dalam kejadian itu,” katanya sebak.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Bisa ‘objek terbang’ – Metro


Bisa ‘objek terbang’

 13  1 Google +0  0  0

Oleh SAFURI KAMARUDIN

Baling: “Saya tiba-tiba rasa sakit sebelum melihat darah berlumuran pada muka dan membasahi pakaian sekolah lalu terus memanggil ibu dua kali kerana mahu pitam dan berpaut tiang gol di padang bola bagi mengelak rebah.”

Begitu kata murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar, Siong, Nuralia Shamimi Mohd Jefri, 10, apabila menerima 14 jahitan pada muka selepas terkena ‘objek terbang’ ketika berjalan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolahnya.
Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari Selasa lalu, selain pendarahan teruk akibat cedera pada muka, Nuralia patah tulang hidung berikutan objek misteri dipercayai besi ‘hinggap’ tepat pada mukanya.

 

Nuralia dari Kampung Terbak, Mukim Siong berkata, sebaik tamat sesi persekolahan, dia berjalan bersama dua rakan, Nur Ainun Mardiah Mohd Karim, 10, dan Nuraidah Thaqifah Samsuri, 10, ke rumah masing-masing melalui kawasan padang bola sekolah.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ketika berjalan, sebuah ‘objek’ terbang dan terkena mukanya menyebabkan dia hampir pengsan, tetapi sempat berpaut pada tiang gol.
“Objek itu betul-betul kena di muka dan tidak tahu datang dari arah mana. Sebaik melihat muka saya berlumuran darah, dua rakan saya berlari ke sekolah semula untuk memaklumkan kejadian kepada guru sebelum dihantar ke hospital.

 

FotoKESAN kecederaan pada muka Nuralia akibat terkena objek terbang dipercayai besi.

“Saya tidak tahu nak buat apa kerana darah keluar begitu banyak sambil menangis kerana terlalu sakit dan rasa kebas. Saya hanya memanggil ibu sebanyak dua kali. Mujur saya bersama rakan, kalau seorang diri tentu keadaan lebih teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Ditanya apakah objek yang terkena pada mukanya, Nuralia berkata, dia tidak tahu kerana terus rebah akibat kesakitan teruk.

 

“Namun kawan cakap, objek itu mai (datang) dari sebuah traktor mesin rumput dekat padang sekolah. Mereka nampak, objek itu keluar dari tayar traktor dan terus terbang ke arah kami.
“Dua rakan saya sempat elak, tapi saya tak nampak objek itu lalu terus kena muka. Lagipun traktor itu tak berapa jauh dengan kedudukan kami,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Mazlina Md Desa, 40, berkata, ketika kejadian menimpa anaknya, dia menggoreng pisang di gerai milik rakannya.
Menurutnya, guru sekolah menghantar Nuralia ke Hospital Baling dengan segera sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan.
“Doktor memaklumkan kedalaman luka Nuralia hampir dua sentimeter dan ada sedikit retakan di tempurung kepala.
“Nuralia kini diberi cuti sakit selama 38 hari dan akan menjalani rawatan susulan, termasuk pemeriksaan mata dan kepala di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Jun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19

TPM umum bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak – Berita Harian


TPM umum bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak

2013/04/13 – 17:35:25 PMCetakEmel Kawan
KUCHING: Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan bantuan RM31 juta untuk sekolah mubaligh di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, berkata wang berkenaan adalah bagi kegunaan pengurusan dan mempertingkatkan kemudahan sekolah, termasuk yang berada di luar bandar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Guru dan Lembaga Pengelola Mubaligh seluruh Sarawak di Sekolah Kebangsaan Garland, di sini petang ini.

Sejumlah 128 sekolah mubaligh menerima bantuan yang disampaikan kepada setiap wakil bahagian.

Murid lemas tergelincir ke dalam sungai – Bernama


Murid lemas tergelincir ke dalam sungai

5 April 2013

KEMAMAN – Seorang murid Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor di sini ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 14, di sini hari ini.

Siti Nor Asiah Nik Jaafar, 12, dilaporkan tergelincir ke dalam sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya kira-kira 2.30 petang.

Ketika itu dia dikatakan sedang bermain-main di tepi sungai sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata neneknya yang bersamanya yang tersedar dengan kejadian itu telah menjerit meminta tolong.

Beliau berkata bapa mangsa yang berada tidak jauh dari itu meluru ke tempat tersebut dan melihat anaknya sedang terkapai-kapai.

“Bapanya terus terjun ke dalam sungai tetapi anaknya telah hilang dibawa arus,”  katanya ketika dihubungi.

Che Suza berkata mayat mangsa kemudiannya ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada pukul pukul 3.50 petang oleh pihak bomba dan penyelamat. – Bernama

Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan – Sinar Harian


Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Leukemia tidak halang Alim aktif dalam sukan
Alim menunjukkan anugerah pemain apit terbaik bagi kategori 12 tahun yang diterimanya pada kejohanan tersebut.

SENALING – Walaupun disahkan menghidap penyakit leukemia pada 16 Februari tahun lalu, namun ia bukan penghalang untuk adik Mohd Alim Johari, 12, menceburi Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Daerah Kuala Pilah, baru-baru ini.

Meskipun perlu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, Mohd Alim yang menetap di Kampung Orang Asli Charik, dekat sini tidak pernah putus harapan dan tetap menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, dia meminati sukan sepak takraw dan tidak kisah dengan apa yang dikatakan masyarakat sekeliling.

“Malah saya tidak menjadikan sakit yang dihidapi sebagai beban untuk saya tidak melakukan kerja rumah, bersukan dan beriadah bersama rakan.

“Saya lebih suka aktif bersukan dari duduk di rumah saja. Ibu dan ayah juga tidak menghalang saya bersukan kerana dari situlah tahap kesihatan saya menjadi lebih baik,” katanya.

Mohd Alim berkata, dia sentiasa mengambil ubat setiap hari dan bercita-cita menjadi pemain hebat dalam sukan sepak takraw.

“Pada waktu petang saya bermain sepak takraw bersama rakan-rakan dan menjadi rutin harian kami.

“Kerana itu pasukan kami berjaya dalam kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Senaling di peringkat akhir MSSM,” katanya.

Katanya, keluarga sentiasa menyokong penuh dia menceburi bidang sukan meskipun mengetahui status kesihatannya.

“Saya berterima kasih kepada keluarga dan guru yang sentiasa beri sokongan,” katanya yang turut menerima anugerah pemain apit terbaik kategori 12 tahun.