Petanda nombor 11 – Metro


Petanda nombor 11

 4  0 Google +0  0  0

Johor Bahru: “Saya tidak menyangka arwah yang sering menyebut nombor 11 beberapa jam sebelum kejadian, sebenarnya merujuk pada tarikh kematiannya hari ini (semalam).

“Perkara itu berlaku ketika saya memberikan senarai nama barangan dapur untuk dibeli arwah termasuk seekor setengah ayam, namun arwah membacanya sebagai 11 berulang kali sebelum saya menegurnya,” kata Rozaini Abdullah, 41, ibu kanak-kanak ditemui lemas, Abu Hanifah Amir, 12, semalam.
Arwah Abu Hanifah ditemui lemas pada jam 3 petang semalam di Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama di Sungai Skudai, di sini, lima kilometer dari tempat dia hilang, petang kelmarin.

 

Rozaini berkata, dia tidak menyangka kehilangan anak kelapan daripada 11 beradik itu yang juga periang dan gemar menghiburkan keluarga.
Menurutnya, keluarganya yang tinggal di Blok 12, Taman Cempaka, di sini, terkilan apabila dimaklumkan Abu Hanifah yang juga murid Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, di sini, hanyut dibawa arus.
“Kali terakhir saya melihat arwah ketika dia ingin keluar bermain bola sepak bersama abangnya, Rahimidin, 23, pada jam 5 petang semalam (kelmarin),” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Ibu bapa masih trauma – Metro


Ibu bapa masih trauma

 0  2 Google +1  0  0

Semporna: Masih ramai ibu bapa dari Kampung Simunul dan Sri Jaya di sini, masih trauma hingga tidak berani menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Simunul semalam, berikutan insiden tembak menembak di kampung berkenaan 2 Mac lalu.

Tinjauan Harian Metro di sekolah itu pagi semalam, mendapati tidak ramai murid hadir ke sekolah dan hanya enam kelas dibuka.

Guru Besar SK Simunul, Sarudah Harun, 56, berkata, hanya 193 daripada 640 murid hadir ke sekolah semalam, malah ada kelas hanya dihadiri empat murid menyebabkan pihak sekolah terpaksa menggabungkan mereka menjadi enam kelas.

Katanya, kehadiran guru juga turut tidak memberangsangkan kerana hanya 20 daripada 42 guru datang bertugas.

Foto 

“Masih ramai keluarga takut menghantar anak mereka ke sekolah walaupun pihak keselamatan sudah memberi jaminan keselamatan dipertingkatkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Kerajaan diminta umum segera jadual pelarasan gaji kakitangan awam – Utusan


Kerajaan diminta umum segera jadual pelarasan gaji kakitangan awam

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumunkan segera jadual pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Sistem Saraan Malaysia (SSM) berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sehingga hari ini semua kakitangan awam di negara ini masih tertunggu-tunggu jadual gaji berkenaan disebabkan mereka tidak dapat melihat secara terperinci perkara tersebut.

“Setiap pekerja dalam mana-mana sektor sekalipun mahukan gaji yang mantap supaya dia dapat melihat sendiri tangga gajinya, namun buat masa ini mereka tidak boleh berbuat demikian.

“Sebagai contoh sektor pendidikan, jika seseorang pegawai itu Gred 44 dan 41, dia tidak boleh nampak gaji. Dia hanya boleh nampak untuk tahun itu sahaja, tahun depan lain.

“Jadual tersebut amat penting, bagi memudahkan kakitangan awam di negara ini membuat rujukan dan perkara ini perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130224/dn_27/Kerajaan-diminta-umum-segera-jadual-pelarasan-gaji-kakitangan-awam#ixzz2Lu5kjSzs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ajal berteduh bawah lori – Metro


Ajal berteduh bawah lori

 22  1 Google +3  0  0

Oleh Junaidi Ladjana

Lahad Datu: Tindakan seorang murid berusia lapan tahun berteduh daripada panas terik di bawah lori seberat 10 tan sementara menunggu ketibaan bas sekolahnya berakhir tragedi apabila badannya hancur digilis tayar kenderaan berat itu selepas pemandunya dikatakan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak berkenaan.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Jalan Kastam Baru di sini semalam, mangsa Syarif Junior Langbas Jul Husin ditemui dengan masih berpakaian seragam dan menggalas beg dengan hampir seluruh badannya hancur digelek tayar kenderaan itu.

Pemandu yang menyedari menggilis sesuatu kemudian melakukan pemeriksaan sebelum terkejut apabila mendapati badan murid Sekolah Kebangsaan Pekan III itu hancur sebelum melarikan diri.

Difahamkan, mangsa dikatakan menunggu bas untuk ke sekolah dan berteduh di bawah lori berkenaan.
Pemandu lori berkenaan dipercayai cuba mengundurkan kenderaan itu untuk membantu seorang lagi rakannya membaiki kenderaan.

Cekal seorang guru – Sinar Harian


Cekal seorang guru

M FEISAL NORAWI
21 Januari 2013
Cekal seorang guru
Mohd Jasmin (tengah) berbual bersama Saifuddin sambil diperhatikan Normah ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, kelmarin

TEMERLOH – Hanya semangat kental sebagai pendidik banyak membantu seorang guru berulang-alik ke sekolah sejauh 11 kilometer setiap hari walaupun disahkan menghidap penyakit saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Prolapse Intervertebral Disc’ (PID).

Mohd Jasmin Jamaluddin, 40, sepatutnya masih dalam tempoh cuti sakit seperti dinasihati pakar, tetapi semangat kuat menyebabkan dia melupakan sementara deritanya untuk terus mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, di sini.

Menceritakan detik awal perubahan hidupnya bermula 1 Julai 2012 apabila tiba-tiba diserang kesakitan amat sangat di bahagian paha kiri dan belakang badan ketika berada di rumahnya, dekat Taman Temerloh Jaya, di sini.

Menurutnya, tanpa sebarang petanda, dia diserang kesakitan amat sangat sehingga tidak mampu bangun, malah disentuh jiran-jiran yang cuba membantunya.

“Saya dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambulans. Sampai di wad kecemasan, saya terpaksa disuntik morfin sebanyak empat kali untuk menahan sakit.

“Selepas disahkan menghidap PID, saya menerima rawatan selama 29 hari dalam wad, selain terpaksa pakai lampin pakai buang sebab terlalu sakit hingga tak sedar terkencing,” katanya semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di SK Teluk Ira.

Walaupun menderita penyakit tidak pernah diketahui sebelum ini, Mohd Jasmin masih mendapat sokongan isteri, Rosliza Mohamed, 31, dan tiga anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, jiwa sebagai pendidik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke sekolah walaupun tempoh cuti sakitnya masih panjang.

“Saya tukar kereta dengan abang sebab keretanya gear automatik. Jadi senanglah saya memandu untuk berulang-alik ke sekolah walaupun jaraknya 11 kilometer dari rumah.

“Guru besar (Normah Hussein) sangat baik. Beliau tempatkan saya mengajar di makmal dan perpustakaan di tingkat bawah. Setiap kali subjek saya, murid-murid akan turun dari kelas dan belajar di bawah.

“Dulu saya ajar Bahasa Melayu, tetapi guru besar ringankan tugas saya dengan mengajar subjek elektif. Jadi ringanlah sikit beban saya,” katanya.

Walaupun mampu berulang-alik ke sekolah, Mohd Jasmin sedikit terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian jarak jauh Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Lipis.

Menurutnya, hanya tinggal tiga tahun lagi dia akan menamatkan pengajiannya dan disebabkan masalah kesihatan, dia merayu kementerian menukarkan mata pelajaran Muzik diambilnya kepada Bahasa Melayu.

“Permintaan ini berikutan mata pelajaran Muzik memerlukan banyak latihan amali. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sekarang, saya rayu kementerian mempertimbangkan pertukaran subjek ini,” katanya.

Murid tahun satu pendidikan khas teruja bersekolah – Utusan


Murid tahun satu pendidikan khas teruja bersekolah

MELAKA 2 Jan. – Setiap kali mulanya sesi persekolahan, pelbagai ragam terutama dalam kalangan murid tahun satu dapat dilihat malah ada kalanya mampu menimbulkan perasaan lucu kepada sesiapa sahaja yang melihat.

Ada antara mereka yang dilihat begitu bersahaja memulakan sesi persekolahan namun tidak kurang juga yang keberatan meninggalkan ibu bapa masing-masing sehingga terpaksa dipujuk beberapa jam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Husin, Bukit Katil di sini, menyaksikan sebanyak 195 orang murid tahun satu termasuk enam murid pendidikan khas memulakan sesi persekolahan hari ini.

Sama seperti murid normal, enam murid pendidikan khas termasuk seorang yang berusia 10 tahun tidak senang duduk ketika ditinggalkan ibu bapa kepada guru kelas masing-masing.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130103/dn_11/Murid-tahun-satu-pendidikan-khas-teruja-bersekolah#ixzz2GsQJa4xI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tahun satu: Di sini sabar bermula – Sinar Harian


Tahun satu: Di sini sabar bermula

RUZY ADILA IDRIS
2 Januari 2013
“Sayang… Bangunlah, nak pergi sekolah hari ni. Semua kawan-kawan dah tunggu tu..” Demikian pujuk si ibu kepada anaknya yang masih tidak menunjukkan sebarang petunjuk mahu meninggalkan katilnya.

Sementara mata si ibu melirik ke arah jam, bimbang si anak akan kelewatan pada hari pertama persekolahan.

Mahu dimarah, terbit rasa kasihan melihat anaknya yang masih kecil tetapi mahu dipaksa-paksa bangun. Sedangkan masa masuk sekolah sudah hampir.

Maka terdetik di hati si ibu, “ohhh…sabarlah wahai hati. Jangan dimarah si anak itu. Di sini sabarku harus bermula.”

Hampir 10 minit berlalu, akhirnya si anak membuka mata dan mula mengeliat.

Cabaran seterusnya bermula, mandi!! Bukan mudah mahu melakukannya tanpa meninggikan suara. Si ibu menanam azam, tidak akan meninggikan suara pada si anak, bimbang si anak akan merasakan persekolahan menyusahkan sehingga dia perlu dimarahi ibu selalu.

Juga mengambil masa lebih kurang 10 minit, akhirnya si anak berjaya melangkah kakinya yang longlai ke bilik air. Si ibu memanjat kesyukuran dan terpancar senyuman pada wajah si ibu.

Namun, si ibu tahu, cabaran masih belum berakhir.

“Mummy, air terlalu sejuk! Mummy, ubat gigi terlalu sedikit. Mummy itu, mummy ini..,” ujar si anak. Terlalu banyak alasan. Kali ini si ibu mula mengurut dada.

Selesai mandi, yang hanya mengambil masa tiga minit, si anak mula memakai pakaian seragam sekolahnya. Si ibu mula menyisir rambut dan mengikat rambut. Itu pun tak kurang cabarannya, tetapi semuanya berjalan lancar.

Enggan membiarkan perut si anak kosong, si ibu berhempas pulas memastikan si anak memakan sarapannya. Mujur, si nenek sudi bangun awal menyediakan cekodok kegemaran cucunya.

Mujur si anak memberikan kerjasama dan makan sarapan yang dibuat khas neneknya. Tetapi kerjasama itu akan berterusan? Hanya Tuhan yang tahu.

Si ayahnya pula sudah berada dalam kereta memanaskan enjin, bersiap sedia mahu membawa si anak ke sekolah.

Akhinya, si anak tadi ditemani ibu dan bapanya menuju ke sekolah. Tidak mahu ketinggalan, si atuk turut menyertai ‘rombongan’ itu, demi beri semangat pada si cucu.

Mungkin bunyinya agak keterlaluan, tetapi alasan si atuk, dia ingin mengimbau kembali kenangan ketika menghantar anaknya ke sekolah.

Tiba di sekolah, si ibu memerhatikan si anaknya, matanya bersinar-sinar melihat begitu ramai kawan. Sedikit kelegaan kepada si ibu, anaknya akan baik-baik saja di sekolah dan dia akan membuat kawan dengan segera.

Nampaknya, sabar ibu bapa hanya benar-benar teruji pada hari pertama si anak melangkah kaki ke sekolah.

Bukan setakat memastikan persediaan anak ke sekolah siap rapi, malah dugaan-dugaan lain. Ibu bapa harus juga menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi pembiyaan yuran persekolahan anan-anak mereka.

Belum lagi bab-bab lain seperti pakaian dan kelengkapan persekolahan yang lain.

Kalau anak kembar, anak seorang, lebih dari seorang anak, pastinya setiap ibu bapa menghadapi beberapa cabaran lain.

Tetapi, demi sebuah kehidupan dan masa depan anak, semua cabaran ini perlu dihadapi dengan tabah, tanpa keluhan. Semoga anak-anak di sekolah menikmati alam persekolahan dengan gembira.

Selamat menikmati hari pertama persekolahan.

Tiga beradik kembar masuk tahun satu – Utusan


Tiga beradik kembar masuk tahun satu

IDRIS Said (kiri) bersama kembar tiga (dari kiri) Norain Nabiha, Norain Najihah dan Norain Nasuha Nasir pada hari pertama persekolahan mereka sambil diperhatikan oleh guru matematik, Norlia Majid (kanan) di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah, semalam.

BALING 1 Jan. – Tiga beradik kembar perempuan menjadi warga baru Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Tunku Putera di sini menjadikan mereka pasangan kembar tiga beradik pertama di sekolah berkenaan.

Kehadiran Norain Nabiha, Norain Najihah dan Norain Nasuha Nasir, 7, ternyata menceriakan rakan-rakan lain dan guru sekolah tersebut dengan aksi dan gelagat tersendiri mereka.

Ketiga-tiga beradik ini yang dihantar oleh kedua ibu bapa mereka Nasir Hashim, 44, dan Normah Ahmad, 40, cukup membuatkan sesi pelajaran tahun satu sekolah itu lebih meriah.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130102/dn_11/Tiga-beradik-kembar-masuk-tahun-satu#ixzz2Gm9e3xQF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir – Sinar Harian


Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA BHARU – Lima sekolah  di dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditangguhkan pembukaan kerana masalah banjir yang menutupi kawasan-kawasan berhampiran sekolah tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Che Hussain Awang berkata, lima buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurulhuda dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bonggor.

“Pembukaan kelima-lima buah sekolah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu kerana kawasan persekitaran sekolah masih dibanjiri air, ini akan menyukarkan murid untuk ke sekolah,” katanya semalam.

Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan satu yang berdaftar untuk tahun 2013 ialah seramai 4,740 orang manakala murid tahun satu pula seramai 28,757 orang.

Beliau berkata, sebanyak 7,448 buah sekolah rendah dan 834 buah sekolah menengah akan dibuka untuk persekolahan 2013.

“Kami menempatkan sejumlah 12,893 orang guru untuk sekolah menengah dan 16,034 orang guru untuk sekolah rendah di sini.

“Jumlah guru tersebut adalah untuk memberi didikan kepada 361,143 orang pelajar sekolah rendah dan menegah di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Sesi persekolahan tahun 2013 dijadualkan bermula pada 1 Januari ini untuk negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala 2 Januari di negeri-negeri lain.

Dua beradik masuk tahun 1 – Metro


Dua beradik masuk tahun 1

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG: Kehadiran dua beradik, Nor Iriyana dan Mohammad Irfan Mohammad Izran yang memulakan sesi suai kenal tahun satu di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari di sini, semalam mencuri perhatian ibu bapa dan murid sekolah berkenaan, semalam.

Walaupun dilahirkan berbeza bulan, tetapi keakraban dua beradik itu yang lahir pada Januari dan Disember 2006 itu menyebabkan ramai ibu bapa serta guru menganggap mereka pasangan kembar.
Malah ibu bapa mereka, Mohammad Izran Zahrin, 34, dan Mazuin Irdawaty Razmisham, 32, terpaksa mengambil cuti kerana perlu menemani kedua-duanya apabila mereka tidak ditempatkan dalam satu kelas.

 

Menurut Mohamad Izran, mereka melakukan persiapan seminggu lebih awal dan semalam seawal jam 5 pagi mereka bangun bagi menyiapkan dua cahaya mata itu.
“Ini pengalaman pertama kami menguruskan persekolahan anak dan hari pertama sudah menjadi kenangan tidak dapat dilupakan apabila saya serta isteri terpaksa bangun awal menyiapkan dua anak ke sekolah.
“Biarpun pagi ini agak tidak terurus kerana perlu menyiapkan mereka dan menyediakan sarapan, saya bersyukur kerana semua berjalan lancar selepas kami sepakat mengambil cuti untuk menguruskan persekolahan mereka,” katanya yang tinggal di Taman Melati di sini.

 

 

Mazuin berkata, keadaan menjadi tidak menang tangan apabila Iriyana dan Irfan tidak ditempatkan dalam kelas yang sama menyebabkan dia dan suami terpaksa menemani mereka secara berasingan.
“Kami berdua terpaksa berulang-alik ke kelas Iriyana dan Irfan kerana perlu menguruskan beberapa dokumen mereka yang belum selesai, malah disebabkan dua orang sekali yang perlu diuruskan bermacam-macam perkara kena diselesaikan dan perlu mengambil masa.

 

“Kami bernasib baik kerana mereka tidak meragam apabila ditempatkan di kelas berasingan dan rasanya itu lebih baik kerana membantu mereka berdikari,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli peralatan tulis, yuran pendaftaran mahupun pakaian kedua-dua anak mereka itu.
“Walaupun persiapan dilakukan dua minggu lebih awal sebelum sesi suai kenal, kami tetap berkejaran juga kerana kedua-dua mereka seperti kembar dan segala keperluan menjadi dua kali ganda.
“Tetapi mereka berdua begitu gembira serta tidak sabar ke sekolah dan sering bertanya bila sesi persekolahan akan bermula. Malah pagi ini (semalam) Iriyana dan Irfan begitu senang bangun berbanding ketika tadika dulu,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Habibah Mohamed Mohyudin berkata, 488 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu semalam selepas mendapat 800 permohonan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01