Pintar sasar jelajah 200 sekolah – Utusan


Pintar sasar jelajah 200 sekolah

KUALA LUMPUR 8 April – Pintar Foundation melalui Unit Kenderaan Bergerak Pintar (PMLU) menyasarkan menjelajah sebanyak 200 sekolah dalam usaha menyampaikan pendidikan saksama kepada pelajar dan komuniti kurang berkemampuan.

Pengerusi Ahli Pemegang Amanahnya, Tan Sri Arshad Ayub berkata, program itu yang bermula awal bulan ini akan bergerak ke sekolah-sekolah angkat Pintar Foundation meliputi sekolah harian biasa, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina di pedalaman serta beberapa rumah anak-anak yatim.

Katanya, inisiatif itu merupakan antara program nasional pertubuhan tersebut dalam memperkasa pelajar luar bandar dengan pengetahuan tepat dan kemahiran penyesuaian diri.

Menurut beliau, menerusi tema ‘Memupuk Bakat’ tahun ini, PMLU akan mengadakan pelbagai aktiviti antaranya pameran berkenaan bidang kerjaya tertentu selain memberi maklumat berkaitan peluang pekerjaan.

“Buat masa sekarang, Pintar Foundation mempunyai dua buah bas bagi menjayakan PMLU yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk dibawa ke sekolah-sekolah angkat kami di kawasan pedalaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan PMLU di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, di sini hari ini.

Yang turut hadir, guru besar sekolah tersebut, Rosita Abu Bakar.

Menurut Arshad, bas PMLU itu akan dilengkapi maklumat berkaitan kerjaya dalam enam bidang utama iaitu perubatan, kejuruteraan bunyi, penerbangan, fotografi, seni kulinari dan sukan.

Selain itu, kata beliau, bas berkenaan juga dilengkapi dengan kawasan khas bagi membolehkan para pelajar meneroka aktiviti berkaitan bidang kerjaya tersebut.

“Inisiatif ini bertujuan membantu para pelajar mengenali potensi diri masing-masing dalam membina masa depan yang cerah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130409/dn_13/Pintar-sasar-jelajah-200-sekolah#ixzz2PyHJiDbJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah – Utusan


Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Modul integriti dan pencegahan rasuah mungkin dimasukkan dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan bagi dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam, Sivik dan Kemanusiaan serta Pendidikan Moral.

“Kita telah menerima cadangan SPRM dan dalam proses mengkaji. Bagaimanapun kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM pada aspek kokurikulum melalui pameran dan ceramah di sekolah serta membawa murid-murid melawat SPRM,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman tentang sejauh mana pendidikan pencegahan rasuah dimuatkan dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik di sekolah rendah serta menengah bagi melahirkan warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur dan antirasuah.

Mohd. Puad menambah, pendekatan aspek integriti dari bangku sekolah dapat membantu individu daripada terlibat dengan perbuatan korup apabila memasuki alam pekerjaan.

Menurut beliau, kementerian juga sedang berbincang dengan SPRM untuk mewujudkan pusat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi melatih bakal guru tentang nilai-nilai murni yang boleh diaplikasi apabila mengajar kelak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121214/pa_04/Kaji-modul-integriti-antirasuah-di-sekolah#ixzz2FGJaOBfB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sedia loker sekolah – Bernama


Sedia loker sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan semula cadangan untuk menyediakan kemudahan loker di sekolah terutama sekolah rendah bagi menangani isu beg sekolah berat.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, langkah itu juga boleh mewujudkan sistem persekolahan yang lebih sistematik.
“Memang ada beberapa cadangan dikemukakan dan Kementerian Pelajaran sendiri, pihak sekolah, terutamanya ibu bapa dan guru, sedar mengenai perkara ini kerana kesannya membabitkan jangka masa panjang. Ia tidak baik kepada kesihatan dan postur kanak-kanak,” katanya kepada Bernama. Mohamad Ali berkata, beg berat turut menggambarkan sistem persekolahan yang tidak teratur dari segi jadual kerana murid harus membawa semua buku ke sekolah setiap hari.

 

“Jadi jalan keluar, antara lain adalah dengan menyediakan loker di sekolah, seperti kebanyakan sekolah di luar negara yang sudah lama mempraktikkan sistem sebegini,” katanya dan menambah kata terdapat pelbagai mekanisme untuk melaksanakan usaha itu bagi mengurangkan beban kos kerajaan.
Antaranya, kata beliau pengendalian kemudahan loker itu boleh diserahkan kepada pihak sekolah, koperasi sekolah ataupun PIBG.
“Ia juga boleh diserahkan kepada syarikat-syarikat luar dan kosnya mungkin boleh dicaj ke atas pelajar supaya mereka lebih bertanggungjawab ke atas benda yang diberi,” katanya. Presiden Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang bersetuju dengan cadangan itu, berpendapat yuran yang diterima daripada pelajar untuk tujuan itu boleh diguna bagi menampung keperluan lain di sekolah.

 

 

“Seperti di sekolah persendirian, memang kita sewa loker itu dan duit yang diperoleh daripadanya dapat digunakan bagi membiayai pelbagai keperluan lain,” katanya.
Noor Azimah berkata, pelajar boleh menggunakan kemudahan loker untuk menyimpan barangan keperluan seperti pakaian, peralatan sukan dan kelengkapan lain, menjadikan mereka lebih bersedia untuk pelajaran.

 

“Terutamanya bagi sekolah yang mengutamakan kegiatan kokurikulum seperti sukan dan kegiatan badan seragam, kemudahan ini sangat membantu,” katanya. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Tak pulang lepas ke ‘sekolah’ – Metro


Tak pulang lepas ke ‘sekolah’
KUALA LUMPUR: “Pulanglah beraya di rumah sayang,” rayu seorang ibu selepas anak perempuan keduanya tidak pulang ke rumah mereka di Jinjang Utara, di sini, sejak 7 Ogos lalu.

Remaja terbabit, Norshakila Mohd Nordin, 17, dikatakan tidak pulang selepas pergi ke sekolah pada pagi hari kejadian sebelum ibu bapanya mendapati dia langsung tidak menjejakkan kakinya di sekolah itu.
Ibunya, Ruziah Abd Rauf, 35, ketika datang ke Balai Berita, di sini, semalam bersama suami dan empat anaknya yang lain berkata, dia tidak lena tidur setiap malam mengenangkan nasib anak perempuannya itu.

“Tiada sebarang perselisihan faham mahupun pergaduhan berlaku antara kami, malah Shakila bersikap seperti biasa pada hari kehilangannya dengan menjawab panggilan kira-kira jam 1.30 tengah hari memberitahu dia menghadiri kelas tambahan.
“Dia yang kebiasaannya pulang jam 3 petang tidak muncul walaupun waktu berbuka sudah hampir, oleh itu saya, bapa dan abang sulungnya mencarinya di merata tempat,” katanya. Ruziah turut berkata, semua rakan sekolahnya sudah dihubungi, malah tunangnya juga mengatakan tidak tahu di mana gadis terbabit berada.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, Ruziah kemudian membuat di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

“Hari raya semakin dekat, segala persiapan untuk dirinya juga telah kami sediakan, malah adik-adiknya juga sentiasa bertanya di mana dia berada sekarang.
“Pulanglah sayang, ibu, ayah dan adik beradik semua rindukan kakak (Norshakila),” rayunya lagi.

Katanya, sesiapa pernah melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Norshakila boleh menghubunginya di 017-2756215 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : 15/08/2012

Majoriti guru tak setuju – Berita Harian


Majoriti guru tak setuju
23:51:53 PM Syuhada Choo Abdullah | choo@bharian.com.my Cetak Emel Kawan

Hasil negatif benar pelajar bawa gajet ke sekolah

Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.
Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.
“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

Kurang ajar – Metro


Kurang ajar
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

ROSAK…bilik guru disiplin disimbah cat merah.

CONTENG…pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
KUALA LUMPUR: Samseng junior. Itulah gelaran buat tiga pelajar lelaki apabila bukan saja memecah masuk bilik guru disiplin sebaliknya turut menyimbah cat merah di pagar sekolah mereka dalam kejadian di Subang Jaya, dekat sini.

Lebih berani apabila seorang pelajar berusia 17 tahun bersama dua lagi rakannya berusia 15 tahun itu turut menconteng bangunan sekolah berkenaan dengan pelbagai perkataan berbaur ugutan, selain nombor atau simbol dipercayai berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, semua pelajar itu dikatakan mahu menunjukkan tanda protes kepada guru disiplin selain bertujuan menakutkan pelajar lain.

Bagaimanapun, keberanian mereka itu mengundang padah apabila mereka yang diburu sejak dua hari lalu dicekup polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Sumber polis berkata, laporan kejadian itu dibuat pengawal keselamatan sekolah berkenaan di Balai Polis USJ 8, di sini, selepas mendapati tiga pelajar terbabit menceroboh bilik guru, menyimbah cat merah dan menconteng bangunan.
Beliau berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan rutin.

“Pengawal keselamatan itu terkejut apabila mendapati bilik guru disiplin di sekolah berkenaan berselerak akibat diselongkar,” katanya.
Sumber berkata, dia kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekolah sebelum menemui kesan conteng yang mempunyai pelbagai perkataan berbaur ugutan, simbol dan nombor dipercayai menjurus kepada kumpulan kongsi gelap.

“Ketika meneruskan pemeriksaan, pengawal itu terserempak dengan kumpulan pelajar terbabit sebelum cuba menahan mereka, namun gagal,” katanya.
“Walaupun berlaku pergelutan, namun pelajar berkenaan sempat melarikan diri,” katanya.
Katanya, ketika melalui pagar belakang sekolah, kumpulan pelajar terbabit sekali lagi menyimbah cat merah di kawasan berkenaan sebelum melarikan diri.
“Pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber berkata, sepasukan anggota polis melancarkan usaha memburu kumpulan pelajar terbabit sebelum ditahan semalam di kawasan berhampiran sekolah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga pelajar terbabit.
“Semua mereka ditahan di kawasan berhampiran sekolah berkenaan (hari ini) semalam,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah merakam percakapan tiga pelajar itu dan siasatan awal mendapati kumpulan itu mahu menunjukkan tanda protes mereka kepada pihak sekolah selain menakutkan pelajar lain.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK,” katanya yang turut mengakui pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tiga pelajar terbabit dipergunakan mahupun menganggotai kumpulan kongsi gelap.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang ditemui di pejabat sekolah itu enggan mengulas lanjut kejadian berkenaan kerana bimbang menganggu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10