Tidak setuju roboh asrama – Utusan


Tidak setuju roboh asrama

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini mendapat tentangan daripada dua bekas pengurus besar yayasan tersebut.

Mereka menganggap keputusan kerajaan negeri dan Yayasan Selangor itu tidak wajar kerana asrama yang berusia lebih 30 tahun itu banyak berjasa kepada rakyat negeri itu.

Bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor yang pertama, Hashim Abdullah berkata, keputusan merobohkan asrama tersebut hanya akan merugikan rakyat negeri berkenaan.

Katanya, lebih 20,000 pelajar pernah menginap di asrama itu dan kebanyakannya kini merupakan golongan profesional.

“Asrama tersebut telah melahirkan banyak golongan profesional antaranya pakar kesihatan, pakar bedah, malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff juga merupakan salah seorang bekas pelajar yang pernah menginap di asrama berkenaan.

“Adalah satu kerugian sekiranya tempat yang telah melahirkan banyak pelajar cemerlang dan berpotensi itu dirobohkan. Ia merupakan harapan serta peluang kepada anak-anak Selangor terutamanya bumiputera yang menetap di luar bandar mendapatkan pendidikan terbaik di sekolah pilihan di bandar,” katanya kepada¬†Utusan Malaysia¬†di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor itu dipercayai bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Berikutan keputusan itu, nasib 468 pelajar di asrama berkenaan bakal terjejas.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1975 bagi memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki manakala Asrama Toh Puan Norashikin menempatkan pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.

Seorang lagi bekas Pengurus Besar yayasan tersebut, Mohamed Shahibi Mohd. Sharif berharap kerajaan negeri menimbang semula keputusan itu kerana asrama berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah Yayasan Selangor.

“Apa lagi yang tinggal di Selangor dalam membantu pembangunan pendidikan penduduk di luar bandar jika asrama itu dirobohkan. Jadi asrama tersebut wajar dipertahankan,” jelasnya.