PERMOHONAN KE SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA, SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DAN KELAS ALIRAN AGAMA TAHUN 2014


PERMOHONAN KE SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA, SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DAN KELAS ALIRAN AGAMA TAHUN 2014

01 September 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Kelas Aliran Agama Tahun 2014, boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 01 September 2013 (Ahad) sehingga 15 Oktober 2013 (Selasa).

SMK Meranti gah dalam bidang sukan – Sinar Harian


SMK Meranti gah dalam bidang sukan

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2013
SMK Meranti gah dalam bidang sukan
Atlet SMK Merati meraikan kejayaan merangkul johan keseluruhan Kejohanan Padang dan Balapan MSSD Pasir Mas, baru-baru ini.

PASIR MAS – Potensi dan prestasi sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti di sini terserlah apabila berjaya mengungguli beberapa kategori pada peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Pasir Mas (MSSD) dan juga peringkat negeri.

Setiausaha Sukan SMK, Saufi Muhamad berkata, pada peringkat kejohanan padang dan balapan  MSSD yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama  (SMKA) Lati 18 hingga 20 Mac lalu, sekolah itu berjaya merangkul johan keseluruhan sekolah menengah.

Menurutnya, bagi keseluruhan acara bawah 15 tahun perempuan, pelajar turut menunjukkan pencapaian membanggakan sehingga berjaya mendapat johan pada kejohanan Padang dan Balapan MSSD

“Bagi kategori lelaki bawah 18 tahun pelajar sekolah ini turut menunjukkan kehebatan apabila turut berjaya  mendapat johan acara keseluruhan bawah 18 tahun.

“Potensi cemeralang ditunjukkan atlet SMK Meranti menyebabkan sembilan orang terpilih mewakilii MSSD  Pasir Mas, ke kojohanan peringkat antarabangsa,”katanya kepada Sinar Harian.

Saufi berkata, seorang pelajar sekolah itu, Intan Syakila Suhaimi  telah dinobatkan sebagai olahragawati bawah 18 tahun perempuan apabila berjaya beraksi cemerlang dalam acara disertai pada Kejohanan Padang dan Balapan MSSD Pasir Mas.

Sementara itu, pada Kejohanan  Pencak Silat Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) yang berlangsung pada 7 hingga 9 Mac di Wisma MSSK, Kota Bharu, seorang pelajar sekolah itu, Nur Misbah bt Ab Razak, berjaya merangkul johan kategori Puteri Kelas H.

Aizza Husna  Mohd Azam, turut membuktikan kemampuannya apabila meraih naik johan Kategori Puteri Kelas G.

Nur Misbah yang beraksi cemerlang pada kejohanan ini turut disenaraikan untuk pemilihan bagi mewakili Malaysia ke Kejohanan Pencak Silat Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Ke – 5 yang akan berlangsung di Vietnam.

Bumbung asrama dibaik pulih – Sinar Harian


Bumbung asrama dibaik pulih

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2013
Bumbung asrama dibaik pulih
Zaifulbahri (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama sambil diperhatikan Zamri (kiri), di SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail.

PEDAS – Pelajar dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail, kini lega apabila kerja-kerja membaik pulih bumbung asrama sekolah berkenaan yang rosak dalam kejadian ribut pada penghujung Disember 2011 sudah siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim berkata, sebagai langkah mengatasi masalah itu, pihak sekolah menempatkan pelajar dari tiga bilik asrama di kuarters guru bagi membolehkan mereka menjalani sesi persekolahan sepanjang tahun lepas.

“Bagi pihak JKR, mereka mengambil langkah awal dengan menutup atap yang bocor dengan kanvas pada 14 Februari tahun lalu dan akhirnya kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan di bawah Pakej Rancangan Khas (PRK).

“Kerosakan akibat ribut itu membabitkan kerja-kerja baik pulih bangunan asrama putri dan putra Block A & B; bangunan B, C, D dan lain-lain lagi yang mana ianya membabitkan peruntukan RM544,000,” katanya sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama di Dewan SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Azali Hashim dan Pengetua SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, Saiful Bahrin Abu.

Sementara itu, Zaifulbahri berkata, diharap warga sekolah terus meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek walaupun berhadapan bencana ribut.

“Walaupun begitu, pihak sekolah dapat menyediakan langkah tepat bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar dan dalam masa sama prestasi sekolah sebagai antara sekolah agama yang cemerlang tetap dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

RM30j bantu sekolah agama – Sinar Harian


RM30j bantu sekolah agama

SAPINAH AB GHANI
18 Oktober 2012
MAKHTAR
MAKHTAR

KOTA BHARU- Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memperuntukkan lebih RM30 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustafa berkata, Kerajaan Pusat sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini.

“Setiap SABK disalurkan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan, “katanya kepada media selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa 2012 di Pusat Ko, Tangok di sini, semalam.

Mengakui masih terdapat Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini, yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, Makhtar berkata ia sepatutnya segera didaftarkan demi kepentingan pelajar dan guru.

“Fokus utama dalam pembangunan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seharusnya berpaksikan usaha untuk membangunkan kemudahan fizikal sekolah, kelengkapan pembelajaran serta membuka peluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru,” katanya.

Makhtar berkata, perkara ini dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berterusan sekiranya SAR didaftarkan di bawah kementerian selain turut memperoleh bantuan per kapita mengikut bilangan pelajar.

Menurutnya, selain berusaha membangunkan SAR, Kerajaan Pusat juga tidak mengabaikan pembinaan masjid, antaranya membina Masjid Ayesha di Kok Lanas bernilai RM6 juta, dan Masjid Mukim Bandar Lama, Gua Musang RM3 juta.

Beliau berkata kerajaan turut membiayai pembinaan bangunan baru Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah di Pasir Mas dengan peruntukan RM600,000 dan membina pondok pengajian Islam An-Najmiah Geting di Tumpat bernilai RM2 juta.

JPPK lulus hampir RM40 juta bantu sekolah agama di Kelantan – Utusan


JPPK lulus hampir RM40 juta bantu sekolah agama di Kelantan

 

BACHOK 17 Okt. – Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) meluluskan peruntukan hampir RM40 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Kelantan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha berkata, setiap SABK disalurkan bantuan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian penuh terhadap pembangunan pendidikan Islam di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_31/JPPK-lulus-hampir-RM40-juta-bantu-sekolah-agama-di-Kelantan#ixzz29cnPPGv2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah agama asrama penuh di Putrajaya – Utusan


Sekolah agama asrama penuh di Putrajaya

PUTRAJAYA 27 Jan. – Sebuah sekolah agama berasrama penuh dengan kemudahan 25 buah bilik darjah membabitkan kos pembinaan RM55 juta bakal dibina di tapak seluas 1.6 hektar di Presint 11 di sini tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya yang baru itu mampu menempatkan 750 pelajar itu akan memberi kelegaan kepada lebih 217 pelajar tingkatan satu dan dua yang kini terpaksa menumpang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah bersetuju memohon kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan projek tersebut dalam permulaan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Saya berharap dengan kemudahan ini nanti pelajar kita di kalangan anak-anak Islam dapat belajar dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat khas UMNO Bahagian Putrajaya di sini, hari ini.

Pada masa ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya menumpang di SMK Putrajaya Presint 11 (2) dan sejak dibuka pada 4 Januari tahun lalu, bilangan pelajarnya semakin meningkat tahun ini.

SMKA Putrajaya akan dibina di atas tanah milik Kementerian Pelajaran di Jalan P11C, Presint 11.

Menurut Muhyiddin, sekiranya terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk menempatkan anak mereka di sekolah tersebut, sekolah baru akan dibina mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mengumumkan Pejabat Pelajaran Putrajaya akan dinaik taraf sebagai Jabatan Pelajaran Putrajaya seperti di Wilayah Persekutuan dalam tempoh terdekat.

“Jabatan Pelajaran Putrajaya akan ada pengarahnya sendiri dan kita akan laksanakan secepat mungkin,” katanya.

Jawatan penolong kanan pendidikan Islam mungkin diperluas – Bernama


Jawatan penolong kanan pendidikan Islam mungkin diperluas

2012/01/05

KANGAR: Jawatan guru penolong kanan pendidikan Islam yang kini hanya wujud di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) mungkin diperluaskan ke sekolah harian tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran kini masih mengkaji keperluan itu dan jika didapati sesuai, ia akan dilaksanakan di sekolah harian yang mempunyai kelas aliran agama (KAA).

“Kajian itu membuktikan kesungguhan kerajaan memartabatkan pendidikan Islam di sekolah harian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama rakyat (SAR) seluruh Perlis di sini hari ini.

Mohd Puad juga berharap lebih banyak SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) mendaftar sebagai SABK untuk membolehkan mereka menerima bantuan yang lebih sempurna daripada kerajaan.

Pada masa ini, sebanyak 169 daripada 247 SAR telah mendaftar sebagai SABK manakala bagi SAN hanya 77 daripada 472 sekolah yang mendaftar.

Beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada SABK untuk kerja-kerja menaik taraf pembaikan dan jumlah itu tidak termasuk bayaran gaji kakitangannya.

Katanya, jika SAR dan SAN mendaftar sebagai SABK, sudah pasti sekolah itu akan menikmati kemudahan peruntukan itu.
Beliau percaya SAR dan SAN bimbang untuk mendaftar sebagai SABK dengan alasan kurikulum di sekolah mereka akan dikawal kerajaan.

Pada majlis itu, Mohd Puad menyampaikan bantuan sebanyak RM1.24 juta kepada lapan SMKA dan SABK dan RM1.3 juta kepada enam SAR, dari seluruh Perlis.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
– BERNAMA