Tulang bengkok – Metro


Tulang bengkok

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dua remaja berusia 14 dan 16 tahun yang menderita penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis merayu simpati orang ramai bagi membiayai kos pembedahan memasukkan implan serta pemantauan saraf, masing-masing bernilai RM20,500.

Wasyth Massury, 16, yang sebelum ini ceria ke sekolah bertukar murung sejak disahkan doktor menghidap penyakit itu tahun lalu dan diarahkan menjalani pembedahan tulang belakang segera berikutan mempunyai kebengkokan tulang serius, mencecah 65 darjah.
Bapanya, Massury Othman, 43, berkata dia menyedari kewujudan lekuk kecil di bahagian belakang anaknya itu ketika Wasyth berumur 12 tahun.

 

“Ketika itu, dia menjalani kehidupan normal sebagaimana kanak-kanak seusianya sebelum berubah menjadi seorang yang pasif sejak tahun lalu,” katanya.
Pada awalnya, Massury berkata, dia dan isteri menyangka Wasyth mengalami penyakit kulit kerana enggan membuka baju di depan mereka mahupun ahli keluarga lain.
“Sehinggalah ibunya bertindak memaksa Wasyth membuka baju dipakai dan kami semua terkejut melihat tulang belakangnya bengkok,” katanya.

 

 

Bapa kepada dua anak itu merayu sumbangan orang ramai berikutan mengalami krisis kewangan teruk dan sudah disenaraihitamkan pihak bank.
“Saya ada meminta bantuan dari majikan dan mereka juga sudi membantu…bagaimanapun kami masih memerlukan sumbangan orang ramai berikutan keadaan anak yang semakin serius,” katanya.

 

Sementara itu, remaja perempuan, Lai Wing Ching, 14, berkata dia mula menyedari keadaan tulang belakangnya bengkok sejak berumur 11 tahun.
“Saya langsung tidak mengetahui perubahan yang berlaku pada bahagian belakang sehinggalah dimaklumkan seorang doktor yang kebetulan datang menjalankan pemeriksaan kesihatan di sekolah. Namun kerana faktor kewangan, saya terpaksa bersabar,” katanya.
Bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana itu, Lai Chee Kong berkata, dia sukar mengumpul wang yang banyak kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori dan perlu menyara empat lagi anak yang masih bersekolah.
“Pakar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebelum ini memberitahu bahawa tahap kebengkokan tulang anak sudah mencecah 40 darjah.
“Dia perlu menjalani pembedahan Selasa depan dengan kos RM20,500,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan menulis di belakangnya nama pesakit serta menghantar ke Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10