Dua sekolah dilanda banjir – Berita Harian


Dua sekolah dilanda banjir

 Banjir kilat  yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma. Banjir kilat yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.

Pelajar terpaksa menyinsing seluar masuk kelas

Kangar: Kira-kira 2,000 pelajar dari dua sekolah terpaksa mengharungi bah untuk masuk ke kelas masing-masing susulan banjir kilat yang melanda kawasan sekolah mereka, semalam.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kangar yang mempunyai 800 murid dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, mempunyai 1, 200 pelajar dinaiki air antara paras buku lali sehingga lutut.

“Kita ada terima maklumat mengenai banjir kilat berkenaan yang turut menyebabkan beberapa bilik darjah dimasuki air. Namun, ia tidak serius dan persekolahan berjalan seperti biasa,” Dun Kasa, Pengarah Pelajaran Perlis

Air mula melimpahi kawasan sekolah bermula jam 6 pagi, susulan hujan lebat melanda sekitar negeri sejak awal malam kelmarin.

Keadaan itu menyebabkan pelajar dan murid terbabit terpaksa menyinsing seluar masing-masing untuk meredah air yang bertakung terutama di laluan masuk sekolah.
Bagaimanapun, banjir mulai surut secara beransur-ansur kira-kira tiga jam kemudian.

Tidak serius
Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa, berkata banjir itu tidak menjejaskan persekolahan termasuk di kedua-dua sekolah berkenaan.

“Kita ada terima maklumat mengenai banjir kilat berkenaan yang turut menyebabkan beberapa bilik darjah dimasuki air. Namun, ia tidak serius dan persekolahan berjalan seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, selain dua sekolah berkenaan beberapa kawasan sekitar turut dilanda banjir kilat terutama di Kampung Bakau, Behor Temak, Taman Perlis dan Taman Kemajuan, di sini.

Siap sedia

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, ketika ditemui mengakui Perlis kini sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan fenomena air pasang dan hujan lebat berterusan di negeri ini.

Katanya, walaupun paras sungai utama dan Empangan Timah Tasoh belum mencapai tahap berjaga-jaga, kerajaan negeri sudah bersiap sedia termasuk menyediakan kelengkapan dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Ketika ini air di Empangan Timah Tasoh mencatatkan paras normal iaitu 28.35 meter. Namun, sebagai langkah awal semua persiapan sudah dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri untuk memastikan keadaan terkawal sekiranya berlaku banjir,” katanya.