Tak perlu panik soalan percubaan SPM bocor – Berita Harian


Tak perlu panik soalan percubaan SPM bocor

Shah Alam: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan berlaku kebocoran soalan kertas peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti dihebahkan dalam laman sosial Facebook.

Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong, berkata beliau mengarahkan pegawai kementerian menyiasat dakwaan berkenaan, tetapi menasihatkan orang ramai tidak panik kerana peperiksaan percubaan bukan pengukur kejayaan calon serta tidak mempengaruhi prestasi pada peperiksaan sebenar.

“Kita ada kaedah dan tahap keselamatan tinggi termasuk penggunaan bilik kebal yang tidak mudah diceroboh bagi memastikan kertas soalan peperiksaan tidak bocor,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Cabaran Toyota Eco Youth, di sini semalam.

Mohon jadi guru

Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, kementerian menggalakkan lepasan SPM yang cemerlang memohon menjadi guru, manakala guru sedia ada yang berkelulusan diploma pula digalak melanjutkan pengajian, selaras sasaran menaik taraf sistem dan kualiti perguruan di negara ini selain membuka peluang guru ditawarkan gred lebih kompetitif.

Sementara itu di Melaka, seorang lagi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata semua 79 sekolah menengah vokasional (SMV) di seluruh negara akan dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun depan dengan 15 sekolah dipilih dalam program rintis bagi melihat keberkesanan kursus selama empat tahun itu.

Katanya, lapan lagi SMV termasuk yang sedang dibina ketika ini akan dinaik taraf serupa penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) termasuk tiga di Johor iaitu Tanjung Piai, Pagoh dan Pasir Gudang, manakala masing-masing satu di Pasir Puteh, Kelantan; Kuala Berang, Terengganu; Pekan, Pahang; Dengkil, Selangor dan Gurun, Kedah.
“Pendidikan vokasional laluan penting ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan, inovatif dan mampu menghadapi saingan peringkat global,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional 2012, semalam.

Pesara guru maut sebelum sarapan – Sinar Harian


Pesara guru maut sebelum sarapan

ROSNANI SAAD
15 Mei 2012
Pesara guru maut sebelum sarapan
Shahruzzaman maut berhampiran gerai menjual roti jala kegemarannya.

ALOR SETAR – Hasrat seorang pesara guru bersarapan roti jala kegemarannya tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultanah, kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Shahruzzaman Othman, 67, yang menunggang motosikal jenis Modenas, dipercayai terbabas dan terjatuh selepas bergesel dengan sebuah lori.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Dee, 46, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang minum di gerai makan berhampiran dan terus membuat panggilan kecemasan.

“Ketika itu, saya lihat motosikal ditunggang mangsa bergerak seiring dengan sebuah lori tanah. Ia kemudian bergesel dan menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan raya.

“Saya kenal mangsa kerana kerap terserempak ketika makan di kedai ini. Namun saya tidak sangka dia yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rohani Aziz, 67, berkata, dia terkejut sewaktu menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi, memaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa suaminya.

Menurutnya, Shahruzzaman yang merupakan bekas pengajar di Sekolah Menengah Vokasional Alor Setar, bersara 12 tahun lalu dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-67 pada 25 Mei ini.

“Boleh dikatakan setiap hari, dia bersarapan roti jala kegemarannya. Pagi tadi (semalam) makcik keluar dari rumah di Taman Lumba Kuda lebih awal daripada arwah kerana ada urusan lain. Sewaktu dalam perjalanan, makcik terima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah makcik memang tidak menyangka dia maut di hadapan kedai roti jala kegemarannya dan tidak sempat menyambut hari jadi,” katanya.

Sementara itu, peniaga roti jala yang enggan dikenali berkata, Shahruzzaman adalah pelanggan tetapnya.

“Pada minggu lalu, sewaktu datang ke gerai, dia terjatuh tidak jauh dari lokasi kemalangan akibat tersepak batu.

“Memang saya tidak sangka kemalangan ini berlaku dan meragut nyawanya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Jamil Ahamed mengesahkan kejadian berkenaan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.