Lebih 20,000 guru terlibat program JQaf seluruh negara – Utusan


Lebih 20,000 guru terlibat program JQaf seluruh negara

KOTA BAHRU 19 Mei – Lebih 20,000 orang guru terlibat dalam pelaksanaan Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQaf) di semua sekolah rendah kerajaan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdullah Md. Din berkata, setiap sekolah kini sudah mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru JQaf yang bertanggungjawab mengajar pelajaran jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada murid-murid beragama Islam dari tahun satu hingga tahun enam.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan untuk menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru JQaf menjelang tahun 2016 di setiap sekolah rendah dengan kira-kira 2,470 lagi guru baru dari program itu bakal tamat latihan di beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) terpilih pada Jun ini.

Jelasnya lagi, biarpun menumpukan kepada pendidikan agama di sekolah rendah, guru JQaf menikmati taraf dan gred gaji yang sama seperti diperoleh warga pendidik lain yang berkelulusan ijazah sarjana muda.

“Mulai tahun ini kita sudah dapat memastikan setiap sekolah mempunyai seorang guru JQaf termasuk bagi sekolah kurang murid serta SJKC dan SJKT yang biasanya mempunyai jumlah murid Islam yang sedikit.

“Bagaimanapun bilangan guru yang ada sekarang masih belum mencukupi kerana jika mengikut modul yang digunakan, kita memerlukan tiga orang guru bagi mengendalikan pengajian tahsin al-Quran untuk membolehkan latih tubi yang berkesan kepada murid-murid dalam sesebuah kelas.

“Mengikut unjuran yang kita buat, menjelang tahun 2016 nanti kita berharap mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya tiga guru bagi setiap sekolah apabila lebih ramai kumpulan guru pelatih tamat pengajian program JQaf sejak ia diperkenal pada 2006,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesenian Warisan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Islah mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130519/dn_20/Lebih-20000-guru-terlibat-program-JQaf-seluruh-negara#ixzz2Tk63lYim
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah Satu Aliran Boleh Kukuh Perpaduan – Ahli Akademik – Bernama


Sekolah Satu Aliran Boleh Kukuh Perpaduan – Ahli Akademik

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 yang mencetuskan semula isu integrasi nasional telah menimbulkan desakan supaya sekolah-sekolah vernakular diubah kepada sekolah satu aliran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.

Seruan itu dilontar ahli akademik yang berpendapat masalah perpaduan kaum di negara ini berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras, dengan wujudnya sekolah pelbagai aliran.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berkembang lebih maju dan hanya 10 peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.

“Yang lainnya di sekolah vernakular. Jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas, ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah bahasa jenis kebangsaan,” katanya pada majlis “Wacana Post Mortem PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah’ di sini, Ahad.

Beliau berkata jika di zaman penjajahan British mereka melaksanakan konsep pecah dan perintah mengenai pendidikan tetapi kini pendidikan “berpecah”.

“Sekarang jika dikatakan begitu ia akan dianggap tuduhan, tetapi jika kita benarkan lagi sekolah seperti ini jangan lagi harap untuk bercakap mengenai perpaduan, ia akan hanya disambut di mulut, tidak di hati,” katanya.

Nada lebih keras disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mahu sekolah jenis kebangsaan dihapuskan kerana ia tidak diiktiraf oleh Perlembagaan.

“Sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya memecahbelahkan rakyat. Patut sekarang ada sekolah rendah kerajaan, sekolah menengah kerajaan. SJK yang ada sekarang ini ubah kepada sekolah kerajaan.

“Semua pelajar belajar di bilik darjah yang sama, makan di kantin yang sama, bermain di gelanggang yang sama. Barulah boleh mengeratkan integrasi nasional,” katanya.

Perkara itu sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia, katanya yang menyifatkan mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai antiperpaduan.

Program anjuran Pertubuhan Persatuan Alumni UiTM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.

Bertujuan membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia, program itu turut disertai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kacha dan bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa dan anggota Himpunan Keilmuan Muslim Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai ahli panel. BERNAMA