
Mangsa menunjukkan laporan polis dan gambar menunjukkan kesan rotan pada lengannya sebelum ini.

Antara kesan kecederaan yang dialami penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Dua penghuni rumah kebajikan berkenaan menunjukkan laporan polis dibuat.
ALOR SETAR – Sebuah rumah kebajikan di sini, didakwa mengabaikan kebajikan penghuninya, malah mereka yang berumur tujuh hingga 17 tahun didera secara fizikal sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Sumber yang juga ahli pertubuhan yang sering membantu rumah kebajikan berkenaan, berkata, pihak pertubuhan gagal mengesan kelakuan ganas penjaga rumah kebajikan itu ke atas kanak-kanak dan remaja terbabit kerana kebanyakan penghuninya takut untuk menceritakan keadaan sebenar.
“Tindakan ganas dilakukan individu terbabit terhadap 13 penghuni rumah kebajikan ini terbongkar baru-baru ini, apabila seorang penghuninya mengalami masalah berkaitan pendaftaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Kanak-kanak berusia 12 tahun ini mengalami masalah untuk mendaftarkan diri bagi menduduki peperiksaan pada tahun ini disebabkan dia kerap tidak hadir ke sekolah sehingga menimbulkan tanda tanya kepada kami,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, dekat sini, semalam.
Lelaki itu berkata, pihaknya kemudian melakukan siasatan teliti untuk mengenal pasti punca ketidakhadiran dan masalah yang terjadi sehinggalah mereka berjaya mendapat maklumat bahawa kebanyakan penghuni rumah kebajikan itu pernah didera.
Menurutnya, mereka turut difahamkan penjaga berkenaan akan memukul penghuni menggunakan peralatan seperti selipar, rotan dan pembaris sehingga mengakibatkan tubuh badan mangsa cedera dan mengeluarkan darah.
“Penjaga berkenaan turut didakwa mengurung dan tidak membenarkan mereka ke sekolah.
“Ada yang tidak dibenarkan ke sekolah selama setengah tahun dengan alasan perlu melakukan kerja rumah,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak tujuh mangsa dibawa keluar ibu bapa masing-masing berikutan pembongkaran kejadian itu, sementara enam penghuni lagi dipercayai masih mendiami rumah kebajikan tersebut.
Menurutnya, susulan pendedahan mangsa berhubung kejadian itu, dua laporan polis dibuat pada 29 Jun lalu, kerana bimbang keselamatan kebanyakan kanak-kanak yang masih mendiami rumah kebajikan berkenaan.
Katanya, lebih mengejutkan kira-kira tiga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) turut mengalami nasib sama apabila dipukul hingga cedera jika didapati gagal melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka.
Mereka berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera demi keselamatan kanak-kanak yang masih tinggal di rumah kebajikan yang dimaksudkan itu.
Dipukul hingga luka
Seorang mangsa yatim piatu berkata dia bersama adiknya tinggal di rumah kebajikan itu sejak berumur tujuh tahun sehinggalah Jun lalu, sebelum ditukarkan ke rumah kebajikan lain.
“Kadang-kala, saya tidak dibenarkan ke sekolah supaya dapat menyelesaikan tugasan harian seperti membasuh baju dan mengemas rumah, bagaimanapun jika gagal berbuat sedemikian akan dipukul ‘Mummy’ sehingga luka.
“Malah, saya pernah dipukul di muka sehingga darah keluar dari hidung kerana dikatakan tidak mendengar cakap ‘Mummy’ dengan baik. Saya juga pernah dipukul kerana gagal dalam satu mata pelajaran,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, dekat sini, semalam.
Dia yang berusia 12 tahun mengakui takut untuk menceritakan kelakuan ganas penjaga mereka kepada pihak lain kerana mendakwa diugut penjaga terbabit supaya mendiamkan diri jika tidak ingin dipukul dengan lebih teruk menggunakan rotan, selipar mahupun pembaris.
Sering dipukul
Sementara itu, ibu kepada dua mangsa lain, berusia 13 dan 12 tahun, berkata, anaknya memaklumkan mereka sering dipukul sesuka hati tanpa mengira masa oleh penjaga rumah kebajikan berkenaan.
“Difahamkan, kadang-kala mereka hanya melakukan kesalahan kecil seperti menjaga penghuni lain yang lebih muda, bagaimanapun jikalau kanak-kanak itu menangis, anak saya akan dipukul kerana dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Menurutnya, dia sering melawat anaknya apabila tiba hari minggu mahupun membawa mereka pulang, bagaimanapun kedua anaknya tidak pernah menceritakan perkara sebenarnya sehinggalah ia terbongkar, baru-baru ini.
Menurutnya, pengalaman yang dialami kedua anaknya itu membuatkan seorang daripada anaknya trauma untuk makan ayam, berikutan pernah dipaksa menjamah ayam yang masih mentah.
Malah dia turut difahamkan beberapa penghuni termasuklah kedua anaknya dipaksa tidur berlantaikan simen di ruang tamu berikutan terlepas melakukan upacara keagamaan yang ditetapkan.
Dipaksa makan nasi basi
Seorang lagi mangsa, berkata, dia dipaksa makan sebanyak 10 pinggan nasi sehari yang kadang-kalanya sudah basi dengan alasan dia memiliki tubuh yang kecil, jadi memerlukan makanan yang banyak supaya cepat membesar.
Bagaimanapun, katanya, ekoran tidak dapat menahan kelakuan ganas yang dilakukan penjaga rumah kebajikan terbabit terhadap dirinya selama empat tahun itu, lalu dia bertindak melarikan diri pada satu malam, Mei tahun lepas.
Menurutnya, kini dia gembira kerana bebas melakukan aktiviti hariannya dan dapat menjalani kehidupan normal seperti remaja seusianya dengan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di Sungai Petani.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kes penderaan membabitkan penjaga rumah kebajikan terbabit.