Sekolah satu sesi tetap dilaksana
07:45:35 AM Oleh Safuri Kamarudin Cetak Emel Kawan
Babitkan kos tinggi kerana perlu tapak bina sekolah baru, penempatan guru
Baling: Kementerian Pelajaran iltizam melaksanakan sistem persekolahan satu sesi walaupun terpaksa menanggung kos tinggi.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia berikutan kementerian memerlukan tapak dan pembinaan sekolah baru selain penempatan guru.
“Pertambahan penduduk di bandar menyukarkan kerajaan melaksanakan sekolah satu sesi. Kita sentiasa mengkaji untuk memperbanyakkan sekolah tetapi tidak mampu dalam tempoh singkat meskipun beberapa sekolah luar bandar sudah melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wanita UMNO Bahagian Baling di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Timbalannya, Datuk Azmi Che Hussain dan Ketua Wanita, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Puad berkata, setakat ini sebanyak 6,971 sekolah rendah sudah melaksanakan persekolahan satu sesi dengan 1,532 membabitkan sekolah menengah.