Sekolah semai benih perpaduan – Metro


Sekolah semai benih perpaduan

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KETIKA melancarkan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan sekolah menjadi tempat terbaik menyemai semangat menghargai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, sekali gus menjana kekuatan besar demi masa depan.

Cadangan ini adalah amat tepat dan tidak boleh disangkal sama sekali. Semua pihak bersetuju dengan saranan ini dengan menyedari hakikat bahawa sekolah adalah tempat terbaik untuk menyemai semangat toleransi, perpaduan nasional dan persefahaman di antara penganut pelbagai agama dan bangsa di negara kita.
Umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya, kanak-kanak, terutama di sekolah rendah akan mampu mengenal ataupun membezakan antara baik dan buruk serta kepercayaan dan anutan orang lain.

 

Ternyata pilihan adalah di tangan pendidik. Ia banyak bergantung kepada inisiatif guru dalam mendidik dan membentuk anak kita.
Andai guru memilih untuk menerapkan semangat perpaduan dan toleransi maka kita dapat melihat pembentukan sebuah generasi masa depan yang akan terus mempertahankan jambatan perpaduan yang sedia ada. Dan andai guru gagal untuk melaksanakan tanggungjawab terbabit maka kita akan menyaksikan kelahiran sebuah generasi yang bakal menghancurkan negara kita kelak.
Kementerian Pelajaran wajar mengambil inisiatif bagi memastikan pihak sekolah melalui guru dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan fungsi masing-masing.

 

 

Dalam merealisasikan matlamat untuk terus menjadikan sekolah sebagai platform terbaik memupuk semangat perpaduan di kalangan anak kita, peranan sekolah rendah dan menengah perlu diperhalusi semula. Ringkasnya perlu ada kesinambungan antara sekolah rendah dan juga menengah agar ajaran dan didikan ini tidak terputus begitu saja.
Sekolah rendah misalnya perlu lebih memberi fokus kepada perkara asas kerana merekalah tempat pertama persinggahan anak kita yang baru mula mengenali dunia luar selain rumah masing-masing.

 

Inilah juga tempat pertama bagi anak kita untuk beramah mesra, mengenali dan berkawan dengan rakan daripada agama dan bangsa lain secara bersama dalam satu-satu masa.
Maka peluang ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah rendah melalui program mahupun aktiviti yang mampu menzahirkan erti semangat perpaduan kepada kumpulan anak kecil ini melalui konsep lebih ringkas, santai, menarik dan mudah untuk difahami.
Kita perlu faham bahawa anak kecil ini tidak mampu dan belum cukup matang untuk menerima mahupun menghayati sepenuhnya konsep semangat perpaduan dan kekitaan secara serius seperti golongan dewasa.
Maka kita sangat berharap kepada elemen kreativiti daripada guru sekolah rendah agar boleh menjadikan pengajaran ilmu menghormati orang lain dan menerima rakan daripada agama dan bangsa lain sebagai aktiviti yang menarik untuk dipelajari dan difahami.
Jika ini berjaya dilaksanakan maka ini sekali gus akan membantu guru di sekolah menengah untuk terus memperkasakan pemahaman mengenai budaya hormat-menghormati dan toleransi antara agama dan kaum.
Memang cukup penting kerana di sekolah menengah cabarannya lebih besar dan genting. Anak kita yang semakin dewasa lebih terdedah kepada pelbagai sumber luar dan tidak hanya terhad kepada sekolah semata-mata seperti di sekolah rendah.
Mereka lebih bijak membuat perbandingan mahupun analisis tersendiri berhubung baik buruknya sesuatu perkara. Andai mereka diperbesarkan ataupun tidak diajar dengan baik di sekolah rendah, kemungkinan besar mereka bakal menjadi duri dalam daging yang akan meruntuhkan jambatan perpaduan yang kita pertahankan sekian lama.
Hakikatnya cabaran untuk terus menyemai semangat perpaduan menjadi lebih besar kepada guru sekolah menengah. Guru ini berhadapan dengan kumpulan anak muda yang semakin bijak. Justeru, mereka perlu dipujuk secara lebih halus agar terus memahami dan menghayati semangat perpaduan nasional.
Ia boleh dilaksanakan melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan program dengan kerjasama PIBG tanpa hanya bergantung harap kepada pengajaran subjek sejarah semata-mata.
Aktiviti yang diadakan perlulah mewujudkan lebih banyak peluang dan ruang untuk anak kita bergaul dan beramah mesra dengan rakan daripada agama dan bangsa lain. Seperti kata Muhyiddin semua sekolah perlu mengambil inisiatif menganjurkan program tertentu bagi memupuk perpaduan, toleransi dan kepelbagaian antara murid.
Dalam hal ini, pihak sekolah menengah perlu berfikir di luar kotak dengan tidak hanya mengehadkan penganjuran program yang selama ini umpama melepaskan batuk di tangga iaitu penyuburan semangat perpaduan tertumpu pada satu-satu tempoh masa atau dalam suatu aktiviti tertentu saja.
Sewajarnya ia dilakukan dalam semua aktiviti sekolah dan sepanjang masa agar menjadi budaya dan amalan berterusan. Ini penting kerana kumpulan anak muda ini bakal melangkah keluar daripada zaman persekolahan tidak lama lagi, maka mereka perlu dibiasakan dengan budaya seperti ini.
Sama ada aktiviti sukan, kebudayaan mahupun akademik biarlah semuanya bersandarkan kepada unsur perpaduan dan kepelbagaian dalam komposisi peserta yang menyertainya.
Hakikatnya Malaysia mencapai kemajuan pesat selama ini kerana rakyat terus bersatu padu dan sanggup berkorban demi mempertahankan jambatan perpaduan. Adalah menjadi harapan agar anak kita kelak akan terus mempertahankannya.
Penulis Ketua Bahagian Perancangan Korporat UPM berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat UPM