‘Messi Malaysia’ mahu bersekolah
Rantau Panjang: Seorang remaja yang pernah digelar ‘Messi Malaysia’, kini tercicir dalam pelajaran selain buntu mencari jalan penyelesaian untuk kembali bersekolah.
Nama Sufian Mat, 17, pernah muncul di dada akhbar ketika menjadi peserta rancangan realiti anjuran TV3, Soccer Kids, malah pernah menjadi pemain harapan kebangsaan pada masa depan.
Episod duka Sufian bermula apabila bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera itu kecewa selepas namanya tidak tersenarai untuk ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Johor pada 2007.
Sufian berkata, keadaan lebih teruk apabila anak kedua daripada empat beradik itu dibuang asrama kerana dikaitkan dengan insiden pergaduhan di sekolah berkenaan.
“Saya tertekan ketika itu kerana tidak dapat ke SSBP, malah keadaan lebih teruk kerana terpaksa berulang-alik sejauh 50 kilometer (km) ke sekolah.
“Sekarang saya mahu kembali bersekolah dan ingin bermain bola sepak, namun buntu untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Rantau Panjang, di sini, semalam.
Sufian yang pernah berada di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee ketika menyertai program Soccer Kids itu juga mengakui tidak mahu berpisah dengan minatnya terhadap bola sepak.
Katanya, dia berharap ada pihak prihatin dengan nasibnya, malah berhasrat menamatkan pelajaran sekurang kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya berharap ada pihak membantu kerana saya cuma mahu dapatkan sijil SPM,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25