Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali – Bernama


Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali

14 Ogos 2012

Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli
KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.

Bapanya, Massimo memberitahu Bernama dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

“Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya,” katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.

Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.- Bernama

Tiga naik satu motor mati dilanggar – Metro


Tiga naik satu motor mati dilanggar
LANGKAWI: “Anak saya sempat menelefon ibunya sebelum kemalangan ngeri itu, namun panggilannya terputus selepas dirempuh van berkenaan.”

Begitu kata Ridzuan Abdul Rahman, 41, bapa Nur Afipah Ainaa, 16, seorang daripada tiga pelajar yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong dalam kemalangan di simpang lampu isyarat di Kampung Padang Gaung, Langkawi, semalam.
Kejadian berlaku jam 12 tengah malam menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas van terbabit gagal mengelak motosikal dinaiki mereka yang cuba melakukan pusingan U.

Ridzuan berkata, Nur Afipah bersama rakannya, Nor Hazwani Mansor, 16, membonceng motosikal ditunggangi Yasmin Johari, 17, menghubungi isterinya, Rohana Abdul Hamid, 38, beberapa saat sebelum kejadian. “Selepas panggilan terputus, isteri saya cuba menghubunginya, namun gagal menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya.
Menurutnya, perasaan itu ternyata benar selepas dimaklumkan abang kembar Nur Afipah, Mohd Afiq Akmal, 16, bahawa adiknya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.
Ridzuan berkata, lebih memilukan apabila dia mengetahui kejadian menimpa Nur Afipah daripada Mohd Afiq Akmal sedangkan lokasi kemalangan berkenaan hanya 100 meter daripada rumah mereka di Taman Medan Berjaya di Langkawi.

Katanya, apabila mendapat tahu anaknya maut dalam kemalangan itu, dia mengalirkan air mata sejurus mengenangkan hasrat arwah mahu menghadiahkan rumah kepada mereka beberapa jam sebelum kejadian.
“Anak saya seorang periang dan terlalu rapat dengan kami termasuk kembar lelakinya yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur.

“Saya mempunyai dua anak dan selepas ketiadaannya, hanya tinggal anak lelaki yang sentiasa mengingatkan saya kepada arwah,” katanya.
Jenazah Nur Afipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kuah, manakala dua rakannya masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penghulu dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelibang, Langkawi.

Remaja tinggi luar biasa diiktiraf – Sinar Harian


Remaja tinggi luar biasa diiktiraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
remaja-tinggi-2

SEREMBAN – Kisah remaja tinggi luar biasa yang pernah dipaparkan media pada awal November tahun lalu, diiktiraf sebagai remaja tertinggi di negara ini oleh Malaysia Book Of Record (MBOR).

Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16, berkata, pengiktirafan yang diterima itu amat membanggakan dirinya dan keluarga.

Beliau yang ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil berkata, bukan semua orang berpeluang menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak pernah malu dengan ketinggian luar biasa ini, malah ia menjadi perangsang kepada saya terus berjaya dalam hidup.

“Saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya sentiasa mengambil berat dan menyokong apa yang saya lakukan, sehinggalah saya di iktiraf oleh MBOR,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Pangsapuri Cempaka, di sini, semalam.

Sementara itu bapanya, Sheikh Imam Mohammad, 47, berkata, selepas seminggu kisah anaknya tersiar di Sinar Harian dan beberapa akhbar lain, dia menerima panggilan telefon daripada pihak MBOR supaya datang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, untuk menerima
pengiktirafan.

Katanya, sehingga hari ini, tiada seorang pun dapat menewaskan ketinggian anak bongsunya itu yang memiliki ketinggian 204 sentimeter.

“Apa pun gelaran dan pengiktirafan diterima oleh Sheikh Akmal, cuma satu yang saya harapkan iaitu kesihatannya baik dan memuaskan.

“Saya mahu lihat dia sentiasa sihat dan dapat menikmati kehidupan di dunia ini dengan sepuas-puasnya,” katanya.