Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti – Bernama


Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti

27 Februari 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa program membabitkan kaunselor pemakanan, ibu bapa dan pelajar bagi mengekang masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi melibatkan ibu bapa dalam memantau pemakanan anak-anak mereka selain memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) anak terbabit berada pada tahap ideal.

“Tanggungjawab memantau pemakanan dan BMI para pelajar bukan hanya patut dipikul oleh kementerian dan para guru namun ibu bapa juga perlu turut sama membantu.

“Jika pemakanan mereka hanya dipantau bila mereka di sekolah tapi tidak dipantau apabila berada dengan ibu bapa, usaha kami untuk mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) MSSM-MILO 2012, di sini, hari ini.

Kata Wee kementerian itu melaksanakan beberapa program seperti 1Murid 1Sukan yang menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali gus memberi peluang mengurangkan masalah berat badan berlebihan.

Katanya bermula tahun ini juga kementerian akan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan dua kali setahun bagi menggalakkan BMI para pelajar kekal pada tahap yang baik bermula dari usia muda.

Ditanya mengenai keberkesanan program 1Murid 1Sukan,  Wee berkata, program itu mendapat respons yang baik dan penganjuran acara sukan di sekolah juga semakin meningkat  berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kerajaan negeri juga memberi respons yang baik dan ada yang mahu kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah sukan negeri (SSN).

Pada majlis hari ini, atlet Sukan Olimpik 2012 bagi acara terjun 10 meter platform, Traisy Vivien Tukiet menerima Anugerah Puteri, sementara pemain skuasy Ng Eain Yow, 15, menerima Anugerah Putera.

“Saya tidak menjangka akan memiliki anugerah ini dan berterima kasih kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana telah memberikan latihan yang bagus sehingga saya dapat mencapai banyak kejayaan,” kata Ng yang pernah merangkul beberapa kejuaraan termasuk Asian Junior Individual Championship dan Milo All Star International  Open.

Remaja itu juga berharap acara skuasy akan dipertandingkan pada temasya Olimpik. – Bernama

SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan – Bernama


SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan

25 September 2012

SEKOLAH sukan kedua di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, yang bakal beroperasi dua tahun lagi, dijangka melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa dalam tempoh enam hingga 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembinaan sekolah sukan di kawasan seluas lapan hektar itu akan bermula tahun depan dengan peruntukan awal kerajaan persekutuan sebanyak RM25 juta.

Beliau berkata, sekolah sukan itu dijangka mampu menampung antara 800 hingga 1,000 pelajar dan akan mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu melahirkan ahli sukan terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang sukan.

“Kesempatan untuk melahirkan ramai ahli sukan berprestasi tinggi itu akan digunakan semaksima mungkin oleh Terengganu supaya lebih ramai anak negeri berkecimpung dalam sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di Besut, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razif mengunjugi keluarga Pegawai Pelajaran Daerah Setiu Allahyarham Mohd Azmy Zakaria yang meninggal dunia akibat kanser Khamis lepas.

Mohd Azmy juga adalah Pengetua pertama Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas Setiu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Zakaria Hussin yang turut menyampaikan sumbangan wang dari Tabung Bantuan Kebajikan Pendidikan (BAKEP) Terengganu kepada balu Allahyarham, Zawiah Khamis di kediamannya di Kampung Bukit Puteri di sini.

Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas (SMSBN) Setiu, yang pertama di Terengganu, akan terus menjadi pusat untuk pelajar lepasan sekolah rendah yang berbakat dalam sukan.

Beliau berkata SMSBN akan mengendalikan ahli sukan di peringkat awal sehingga mereka mencapai tahap tertentu sebelum berpeluang memasuki Sekolah Menengah Sukan Gong Badak.

Sekolah Menengah Sukan Gong Badak itu akan menggunakan tenaga pengajar yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran dan 40 peratus daripada pelajarnya pula diambil dari seluruh negara. – Bernama

Iklan Permohonan Jawatan Jurulatih Sukan (Terbuka) di SSM Sabah


Iklan Permohonan Jawatan Jurulatih Sukan (Terbuka) di SSM Sabah

Sukacita dimaklumkan bahawa terdapat beberapa jawatan kosong sebagai Jurulatih Sukan (Terbuka) di Sekolah Sukan Sabah. Maklumat lanjut adalah seperti lampiran di bawah :-