Sekolah vernakular: NGO cadang tambah bahasa lain – Sinar Harian


Sekolah vernakular: NGO cadang tambah bahasa lain
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2013
  • Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM)
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam Gabungan mencadangkan supaya bahasa lain seperti bahasa Cina, India, Arab ataupun Perancis juga seharusnya diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah.

Jurucakapnya, Nadzim Johan berkata, beberapa pakar dan ahli utama gabungan ini akan mengadakan perbincangan tergempar berkaitan isu ini memandangkan tuntutan yang dibuat kumpulan ini adalah dari sudut peruntukan Perlembagaan Negara.

“Kami juga berhasrat dan bercita-cita untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, faham-memahami, hormat-menghormati melalui sistem pendidikan sealiran yang memberi peluang anak-anak bangsa berinteraksi bersama di sekolah.

“Sesungguhnya sistem pendidikan sealiran juga boleh dilaksanakan tanpa mengenepikan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa sekolah vernakular mempunyai hak untuk terus wujud dan akan dipertahankan di bawah rangka dasar pendidikan nasional yang dilancarkan.

Timbalan perdana menteri juga berkata, hak bagi sekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa pertuturan masing-masing sebagai medium pengajaran dijamin bawah Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28).

Tambah Muhyiddin, kementerian tidak berniat menghapuskan mana-mana aliran persekolahan yang wujud dan kewujudannya tidak pernah dinafikan.

Sementara itu, tambah Nadzim yang juga selaku Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pihaknya menghormati kenyataan yang dibuat Muhyiddin dalam kapasiti sebagai Menteri Pendidikan.

Sehubungan itu katanya lagi, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan minggu hadapan setelah perbincangan dengan pakar-pakar perlembagaan dan juga barisan peguam dalam menghadapi persoalan ini minggu hadapan.