Trasnformasi sekolah ke kolej, tingkat keyakinan dalam bidang kemahiran – Bernama


Trasnformasi sekolah ke kolej, tingkat keyakinan dalam bidang kemahiran

14 November 2012

KUALA LUMPUR – Masyarakat mempunyai tanggapan bahawa pelajar di sekolah vokasional adalah kurang cemerlang berbanding pelajar di sekolah menengah lain.

Ramai juga percaya bahawa sekolah vokasional hanya tertumpu kepada bidang kemahiran berbanding sekolah biasa yang lebih kepada akademik dan pelajarnya berpeluang melangkah seterusnya kepada pendidikan lebih tinggi di universiti.

Bagaimanapun, tranformasi pendidikan yang dilakukan kerajaan dengan menaiktaraf sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional dilihat sebagai usaha untuk menaiktaraf status pelajar di sekolah-sekolah vokasional.

Dengan meningkatkan tahap kelulusan daripada sijil kepada diploma, bakal melonjakkan keyakinan pelajar aliran kemahiran yang selama ini sering merasakan mereka adalah kumpulan pelajar kelas kedua berbanding pelajar aliran akademik.

Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Setapak, Kuala Lumpur adalah satu daripada 14 buah sekolah menengah vokasional lain di seluruh negara dipilih
untuk projek rintis di mana ia akan dinaiktaraf sebagai kolej vokasional.

TRANFORMASI SEKOLAH KEPADA KOLEJ

Menjadikan kolej vokasional pilihan utama pelajar dalam bidang kemahiran bukan cabaran yang mudah. Ditambah dengan stigma yang masih melihat imejnya sebagai sebuah sekolah.

Ia memerlukan anjakan paradigma terutama mengubah pemikiran seluruh pelajar dan kakitangan agar berfikir seperti sebuah institusi pengajian tinggi.

Segalanya harus berubah dari segi mutu pendidikan, prasarana, kursus-kurus yang dilaksanakan agar ia setanding dengan kolej-kolej lain agar dipandang tinggi dan menjadi pilihan utama, menurut Pengarah Kolej ERT Setapak, Norhana Mustapha.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah persepsi itu, beliau berkata ia memerlukan masa untuk membuktikan kemampuan bagi melahirkan pelajar-pelajar berkualiti selain mampu memenuhi kehendak pasaran.

“Misi dan visi kami ialah untuk menjadikan kolej ERT Setapak sama seperti kolej-kolej ternama yang ada di dalam negara dan ia bukan sekadar tukar nama daripada sekolah kepada kolej semata-mata,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menyediakan kursus-kursus hospitaliti iaitu bidang seni kulinari, kosmetologi dan fesyen, setiap pelajar perlu menghabiskan empat tahun pengajian bagi memperoleh diploma kemahiran dalam bidang-bidang yang dipilih.

“Dengan tranformasi yang dijalankan, kita berharap apabila pelajar keluar daripada kolej nanti, 70 peratus daripadanya akan mendapat pekerjaan, 20 peratus pelajar yang cemerlang akan menyambung ke peringkat ijazah dan 10 peartus lagi boleh memulakan perniagaannya sendiri,” katanya yang menerima 155 pelajar untuk pengambilan pertama diploma pada Januari lepas.

Mulai tahun hadapan, Kolej ERT Setapak akan menambah dua lagi kursus iaitu kursus asuhan kanak-kanak dan komputer networking dengan jumlah pengambilan pelajar keseluruhan juga akan bertambah kepada 250 pelajar.

PENTINGKAN AKADEMIK

Penubuhan Sekolah Vokasional ERT Setapak pada tahun 1975 adalah bertujuan membantu pelajar-pelajar yang kurang dari segi akademik dengan memberi latihan kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka.

Walaupun mereka kurang cemerlang dalam akademik, tidak seharusnya wujud perasaan rendah diri itu sebaliknya harus berbangga dengan kemahiran yang dipelajari dan dimiliki, ujar Norhana.

“Ibu bapa juga harus memahami anak, sekiranya mereka kurang dalam akademik, mungkin mereka lebih kepada kemahiran. Dengan mengikuti kemahiran dan vokasional tidak bermakna anak mereka tidak didedahkan kepada mata pelajaran akademik,” katanya.

Terdapat enam subjek teras yang harus diambil oleh pelajar-pelajar di kolej vokasional dan mereka wajib lulus dalam peperiksaan subjek tersebut iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Agama, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Maklumbalas yang diterima sangat positif terutama untuk permohonan secara online yang diterima pada sesi tahun hadapan.

Buktinya, setelah empat hari permohonan dibuka pada Oktober lepas, lebih 400 permohonan diterima dan dijangka akan bertambah sebelum ia berakhir pada 31 Dis.

“Pihak kolej akan membuat sesi temuduga bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak dan berminat sahaja yang akan diterima. Ini bagi menjamin kualiti pelajar yang akan kita keluarkan, adalah yang terbaik,” katanya.

Walaupun hanya dikenakan syarat minimum untuk mengikuti pengajian diploma di kolej vokasional, namun sekiranya ada pelajar yang mendapat keputusan yang lebih baik daripada itu, sudah tentu keutamaan diberikan kepada mereka, katanya.

CONTOH PELAJAR BERJAYA

Melahirkan ramai bakat yang berpotensi besar dalam bidang fesyen menjadi kebanggaan buat kolej ini.

Rasta Rashid, Syomi Izwa antara nama yang tidak boleh dinafikan bakatnya dan berjaya membina nama dalam industri fesyen tempatan dan luar negara.

Pereka fesyen kanak-kanak yang juga pemilik butik Rasta Creation, Rasta Rashid mengakui rasa rendah diri dan malu menyebabkan ramai dalam kalangan bekas pelajar sekolah vokasional tidak mahu menonjolkan diri atau mengakui mereka adalah keluaran sekolah kemahiran.

Bekas pelajar sekolah vokasional ERT Setapak tahun 1990/91 dalam bidang fesyen ini berkata sekolah vokasional telah melahirkan ramai individu yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Cuma mereka tidak mahu tampil dan kembali menyumbang sesuatu kepada sekolah. Mungkin disebabkan oleh persepsi yang masih berlegar dalam masyarakat bahawa mereka yang bersekolah vokasional adalah mereka yang kurang bijak dalam akademik,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Rasta berkata beliau memilih bidang fesyen selepas mendapat keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kerana sudah menanam minat dan cita-cita dalam bidang tersebut untuk dijadikan kerjaya pada masa hadapan.

Dari kecil lagi beliau telah fokus dalam bidang tersebut dan pemilihan sekolah vokasional adalah tepat untuknya mendapatkan asas dalam bidang fesyen.

Beliau yang kini menjalankan perniagaan pakaian kanak-kanak terutama pakaian ballet kini boleh berbangga dengan kejayaannya apabila jenama Rasta Creation semakin kukuh sejak lebih enam tahun lepas.

Ujarnya, banyak halangan dan cabaran yang terpaksa ditempohi untuk sampai ke tahap ini, namun hanya usaha dan keyakinan mampu membawa seseorang itu berjaya.

“Saya sedikitpun tidak malu mengakui saya adalah pelajar sekolah vokasional kerana di sinilah saya mendapat ilmu dan kemahiran asas dalam bidang fesyen sebelum melanjutkan pelajaran ke kolej lain bagi mendapatkan diploma dalam bidang yang sama.

“Apa yang penting kita harus ada minat, sentiasa fokus dan berusaha menambah ilmu dan kemahiran yang ada untuk menjadi seorang yang berjaya,” katanya.

Dilantik sebagai Naib Pengerusi Komuniti ERT Setapak, Rasta berkata apa yang diperolehnya kini cuba dikongsi bersama pelajar lain agar boleh dijadikan inspirasi untuk lebih berjaya.

Ujarnya menaiktaraf daripada sekolah vokasional kepada kolej vokasional adalah tranformasi yang dilihat mampu meningkatkan taraf pendidikan vokasional di negara ini.

“Mungkin selepas ini akan ramai lagi bekas pelajar yang akan tampil dan dengan cara ini juga akan meningkatkan keyakinan masyarakat tentang bidang kemahiran dan mampu melahirkan lebih ramai lagi individu yang berjaya,” katanya.  – Bernama

Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013 – mStar


Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013
Oleh TASHNY SUKUMARAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia berhasrat untuk memulakan latihan vokasional di sekolah tinggi menjelang 2013, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam.

“Kami mahu menjadikan pendidikan vokasional sebagai satu sistem pilihan yang menarik malah menjadi pelajar lebih cemerlang,” kata beliau, yang berucap pada Konvensyen Kemahiran Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Beliau berkata, pendidikan vokasional amat penting, dan para pelajar perlu diberikan pendedahan mengenainya dari Tingkatan Satu dan seterusnya.

Pelajar juga akan menerima sijil vokasional berserta dengan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Subramaniam menjelaskan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang berunding dengan beberapa universiti bagi membincangkan tentang pemberian ijazah bagi kemahiran yang dipelajarinya dan bukannya diploma supaya graduan sekolah vokasional akan memiliki dua kelayakan dan memerlukan pengalaman itu.

“Saya berharap ia dapat menyesuaikan diri dengan sektor swasta supaya kita dapat memperoleh sinergi,” katanya kepada delegasi pada konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.

“Mendedahkan para pelajar kepada pendidikan vokasional pada usia muda membantu mereka untuk terus mahir… menjelang 2020, 60 peratus daripada pekerjaan adalah berdasarkan kemahiran,” kata beliau.

Rombakan beri faedah kepada semua pelajar – Berita Harian


Rombakan beri faedah kepada semua pelajar

2012/03/17

Pelan pembangunan pendidikan mentransformasi generasi muda

KUALA LUMPUR: Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.
Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.