Insentif khas lulusan ijazah, diploma tidak naik pangkat – Utusan


Insentif khas lulusan ijazah, diploma tidak naik pangkat

KOTA KINABALU 12 Nov. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200 kepada pemegang diploma.

Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan jawatan mereka.

“Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik tertakluk kepada jawatan kosong.

“Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan pengalaman mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121113/dn_11/Insentif-khas-lulusan-ijazah-diploma-tidak-naik-pangkat#ixzz2C4DzbV5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penjawat awam perlu lebih efektif, responsif – Berita Harian


Penjawat awam perlu lebih efektif, responsif
Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2012/02/05

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoPERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tiga, kanan) menggunakan iPad untuk mengakses maklumat Pelan Strategik Teknologi Maklumat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sambil diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal (kanan) pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Pelan Strategik Teknologi Maklumat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Hari NKEA CCI EPP8 e-Goverment Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
  • FotoDATUK Seri Najib ketika tiba pada majlis pelancaran.
  • FotoDATUK Seri Najib Razak melancarkan Pelan Strategik Teknologi Maklumat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Hari NKEA CCI EPP8 e-Goverment Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.

Najib mahu barisan hadapan cekap yakinkan rakyat terhadap sistem kerajaan

KUANTAN: Penjawat awam, termasuk peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi barisan depan kerajaan perlu lebih cekap menambah keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor awam yang bertanggungjawab dan efektif adalah barisan depan pentadbiran kerajaan kerana persepsi dan tanggapan rakyat terhadap kerajaan banyak terbentuk melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan barisan depan agensi awam.

Katanya, mereka perlu memahami dengan jelas Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) yang juga satu daripada komponen Pelan Transformasi Nasional, supaya dapat memperkasakan sistem penyampaian menerusi penggunaan teknologi terkini.

“Ini kerana penjawat awam termasuk PBT adalah penyedia perkhidmatan kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Tanggapan rakyat dibentuk daripada interaksi mereka dengan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan PSTM (2011-2015) PBT & Hari Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) Projek Permulaan (EPP8) e-Government Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Kerajaan Pahang yang pertama membangunkan PSTM secara serentak bagi semua 11 PBT dengan menggunakan pendekatan penggunaan sumber dalaman sepenuhnya.

“Saya difahamkan projek pembangunan PSTM untuk semua PBT di Pahang adalah model pembangunan bersepadu yang pertama dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Ia dapat mempercepatkan proses pembangunan dengan penjimatan kos amat ketara.

“Kos untuk membangunkan pelan ini hanya membabitkan sekitar RM100,000 berbanding jika dilaksanakan secara ‘outsource’ yang boleh menjangkau sehingga lebih RM1 juta,” katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap model itu dapat diteruskan kepada agensi, kerajaan negeri dan PBT lain kerana ia bukan saja menjimatkan kos pembangunan PSTM tetapi boleh dijadikan platform baru pembangunan kepakaran dalam bidang strategik ICT.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan ang pau dan barangan keperluan asas kepada warga tua dan miskin di Tokong Tow Koo Keong di Jalan Haji Junid, di sini.

Sementara itu, pada majlis penyerahan Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) kelapa sawit kepada peneroka di FELDA Chini Timur 3 dekat sini, Najib berkata, lebih 5,000 peneroka daripada 36 skim FELDA di seluruh negara dijangka menerima insentif tanam semula dalam tempoh terdekat.

“Peneroka yang akan menerima insentif ini adalah mereka yang menanam semula sawit sebelum skim insentif ini dilaksanakan antara 1 Disember 2008 hingga 30 Jun 2009,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Najib berkata, insentif itu disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula ladang mereka dengan benih baru yang lebih baik.

Doktor bantah SBPA – Sinar Harian


Doktor bantah SBPA

NORJIMI AZMI LATIF
January 22, 2012
SBPA

SHAH ALAM – Doktor pakar antara yang paling ramai mengadu mengenai kelemahan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu, kerana pendapatan mereka jauh lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Lok Yin Theng berkata, doktor yang lama berkhidmat merasakan sumbangan mereka seolah-olah dianaktirikan kerana pendapatan diterima jauh lebih rendah berbanding mereka yang baru bertugas.
Beliau berkata, Cuepacs menerima banyak surat daripada kategori itu dan meminta pihaknya mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula perkara ini.
“Mereka (doktor pakar) mengadu kerana gaji sebulan terutama dari Gred 51 hingga 54 lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas, sedangkan peranannya di hospital terlalu besar.
“Doktor berkenaan bukan sahaja terkilan dengan gaji yang diterima setaraf guru-guru sekolah, malah tidak berpuas hati kerana doktor yang baru berkhidmat menerima ganjaran lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jika ini dijadikan kayu ukur dalam sistem baru itu, menurutnya, doktor pakar memerlukan jangka masa yang panjang untuk mengejar pendapatan diperoleh anggota Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).
Malah, katanya, doktor berkenaan mempertikaikan pendapatan yang diterima pihak Jusa melebihi RM15,000 sebulan sedangkan bebanan kerja harian golongan ini setaraf guru sekolah.
Menurutnya, Cuepacs tidak mahu perkara ini terus berlarutan kerana boleh menyebabkan ketegangan berlaku di sektor awam.
“Tugas kami untuk melahirkan organisasi awam yang harmoni dan memaklumkannya dengan segera kepada Perdana Menteri untuk diambil tindakan.
“Tarikh pertemuan dengan beliau, saya tidak boleh beritahu mungkin selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Ditanya dakwaan SBPA telah dilaksanakan membabitkan anggota Kumpulan Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis, Yin Theng berkata, perkara itu tidak betul dan jangan dengar khabar angin.
Menurutnya, kerajaan telah berjanji akan melihat semua tuntutan yang dibuat Cuepacs secara menyeluruh bukan untuk pihak tertentu sahaja.
Jika Cuepacs membuat tuntutan kepada bahagian tertentu, katanya, ia seolah-olah menampal baju yang koyak dan tidak memperbaiki bahagian lain.
“Matlamat kami seperti dijelaskan tadi, tidak mahu melihat jurang pendapatan yang ketara antara kelas bawahan dengan atasan. Untuk menambah baik, kami menerima pelbagai cadangan daripada golongan profesional yang mahu kerajaan mengkajinya secara mendalam.
“Mereka berpendapat, SBPA seolah-olah mengiktiraf seseorang individu sahaja sedangkan dalam organisasi kerajaan, kejayaannya kerana peranan semua pihak. Kalau orang bawah tidak buat kerja, usaha pihak atasan jadi sia-sia,” katanya.

Penstrukturan semula SBPA diharap tidak jejaskan swasta – Bernama


Penstrukturan semula SBPA diharap tidak jejaskan swasta

29/12/2011 6:04pm

 

KUALA LUMPUR 29 Dis. — Penstrukturan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diharap tidak akan menjejaskan pertumbuhan sektor swasta yang memacu ekonomi negara, kata Institute for Democracy Economic Affairs (Ideas) hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, Ideas berkata penstrukturan semula SBPA akan memberi kesan kepada keseluruhan aspek ekonomi seperti pergerakan buruh dan modal, pendidikan, kadar inflasi, kitaran perniagaan, serta kadar gaji dan upah di sektor swasta.

“Apa-apa semakan terhadap SBPA mestilah memberi lebih banyak ruang kepada sektor swasta menjana pertumbuhan ekonomi. Ini kerana kekayaan negara dijana oleh sektor swasta manakala sektor awam sekadar membelanjakan kekayaan tersebut.

“Dalam usaha membangunkan ekonomi, kita mesti pastikan mereka yang berbelanja tidak melebihi mereka yang mencipta kekayaan dan skim baru seperti SBPA perlu mengambil kira hal ini,” kata Eksekutif Kanan Ideas, Medecci Lineil.

Sehubungan itu, beliau berkata SBPA mestilah bermatlamat untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang benar-benar sesuai dengan suasana ekonomi yang semakin liberal dan kompleks dan apa juga perubahan haruslah melambangkan semangat liberalisasi ekonomi yang ada dalam Model Ekonomi Baru (NEM). — BERNAMA