Galak pelajar minat robotik – Metro


Galak pelajar minat robotik

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Bidang robotik di negara ini perlu diberi perhatian serius dan dijadikan pilihan kerjaya kerana ia merangkumi kemahiran tinggi membabitkan pelbagai industri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bidang robotik kini berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan permintaan terhadap golongan profesional muda yang berbakat dalam industri itu semakin meningkat.
“Saya pernah menyaksikan murid sekolah rendah mempamerkan kebolehan mengagumkan dalam penciptaan dan pengendalian robot.

 

“Saya berharap murid ini akan terus kekal dalam bidang berkenaan sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberikan sumbangan lebih bermakna kepada negara serta bersaing dalam bidang itu,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika merasmikan kejohanan Robot Olympiad Dunia (WRO), Kuala Lumpur 2012 di Pusat Konvensyen Sunway, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Menyentuh mengenai komitmen negara dalam bidang robotik ini, Muhyiddin berkata, sebagaimana negara membangun lain, usaha bersepadu kini dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di negara ini, terutama bidang automasi dan robotik.
“Saya percaya ia mampu dijadikan sebagai alat bagi memastikan pembangunan ekonomi negara yang mampan, seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda transformasi negara,” katanya.

 

 

Setakat ini, beberapa kursus dalam bidang robotik industri diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi, bahkan Universiti Teknologi Malaysia bergerak setapak di depan dengan menubuhkan Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan pada 1997.
Pusat itu peneraju bagi bidang kepintaran buatan, robotik dan automasi di negara ini dan kini giat menjalankan aktiviti penyelidikan, reka bentuk robot serta pembangunan teknologi lanjutan.

 

Selepas penganjuran kesembilannya kali ini, WRO yang berlangsung di negara ini mencipta sejarah apabila disertai 38 negara membabitkan 405 pasukan. Ia dianjurkan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn Bhd sebagai penganjur rasmi.