Ibu bapa sanggup hantar dan ambil anak demi keselamatan
13 Januari 2013

Perkhidmatan van sekolah turut disediakan namun tidak ramai pelajar yang menggunakan kemudahan itu.
BERA – Biarpun sibuk dengan tugas di pejabat atau terpaksa memberhentikan perniagaan sementara waktu mahupun keluar dari bilik mesyuarat, kebanyakan ibu bapa sanggup berbuat demikian demi anak-anak mereka.
Tidak sanggup melihat anak-anak berjemur di panas terik selepas waktu sekolah atau berasak-asak di dalam bas sekolah, mereka rela berkorban masa kerja.
Kebanyakannya tidak mahu anak-anak mereka mengalami kesusahan sebagaimana yang pernah mereka alami pada zaman kanak-kanak.
Keselamatan terjamin
Bagi Wan Norma Wan Dolah, 33, untuk memastikan anaknya menerima pendidikan yang sempurna dan selesa, dia dan suami perlu berkorban masa menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah.
Katanya, dengan cara ini, bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan anak tetapi dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak setiap hari.
“Setiap hari kita akan berpeluang bertanya mengenai apa yang dipelajari di sekolah dan ini akan memberikan tanggapan baik anak-anakterhadap ibu bapa mereka,” katanya.
Selain itu, menurutnya, dengan cara ini dapat memastikan keselamatan anak-anak tanpa sebarang kemungkinan.
Wan Norma berkata, pada zaman sekarang, pelbagai kes yang berlaku melibatkan kanak-kanak atau pelajar sekolah menyebabkannya kerap bimbang mengenai tahap keselamatan anaknya itu.
“Lagipun, ada masanya saya kurang percaya dengan sikap pengguna kerana mereka masih sanggup memandu laju walaupun di hadapan sekolah.
“Walaupun di hadapan sekolah terdapat lampu isyarat sekali pun, mereka sanggup melanggar lampu merah kerana tidak sabar menunggu,” katanya.
Tidak ramai guna bas, van
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya, Roslin Mohd berkata, bagi pelajar di sekolah ini, tidak ramai yang menggunakan khidmat bas atau van sekolah.
Menurutnya, kebanyakannya dihantar dan dijemput ibu bapa kerana bagi mereka itu adalah terbaik untuk anak-anak mereka.
Katanya, bagi pelajar yang berbasikal pula, laluan khas disediakan pihak sekolah melalui jalan ladang yang jarak lebih kurang 100 meter ke kawasan perumahan berdekatan.
Ini adalah hasil perbincangan PIBG dengan pihak sekolah supaya membuka laluan di pintu belakang sekolah bagi memudahkan laluan pelajar berbasikal.
“Namun, sebenarnya walaupun berbasikal, ibu bapa masih mengiringi anak-anak mereka bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Roslin berkata, ada juga ibu bapa yang tidak sempat mengiringi anak mereka tetapi yakin dengan keselamatan anak apabila jiran boleh memantau.
Katanya, setakat ini, tiada kes yang dikaitkan mengenai keselamatan pelajar di sekolah ini malah berharap, keadaan ini terus kekal pada masa hadapan.