Selipar anak beri petunjuk – Sinar Harian


Selipar anak beri petunjuk
NUR SHARIEZA ISMAIL
9 Julai 2012

Anggota polis membawa mayat mangsa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
LINGGI – Sepasang selipar yang ditemui tepi sungai di belakang rumah menjadi petunjuk seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang disedari hilang, mungkin lemas dalam sungai.

Bagaimanapun, andaian itu akhirnya terjawab apabila mayat Mohd Afzan Haikal Mohd ditemui mati terapung di hilir sungai dalam keadaan berpakaian lengkap, semalam, selepas 18 jam usaha mencarinya dilakukan.

Kejadian berlaku di Pengkalan Kempas, dekat sini, apabila Mohd Afzan yang merupakan kanak-kanak lembam disedari hilang oleh ibu bapanya, kira-kira 5.30 petang kelmarin.

Menurut sumber saudara terdekat, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu bersama keluarga dari Pasir Gudang, Johor tiba di rumah arwah neneknya, kira-kira 4 petang untuk bercuti hujung minggu.

“Kehilangannya disedari ibu bapamangsa kira-kira 5.30 petang selepas seorang jiran memberitahu menemui kesan seseorang tergelincir di tepi sungai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa kemudian bertindak mencari di kawasan sekitar termasuk hutan, sebelum menemui sepasang selipar milik mangsa di tepi sungai berkenaan.

“Berikutan itu, keluarga terbabit melaporkan kejadian kepada polis sebelum usaha mencarinya dilakukan sejurus selepas itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, usaha mencari dijalankan bermula kira-kira 6.30 petang, kelmarin, sebelum mayat ditemui terapung di hilir Sungai Linggi, dua kilometer dari tempat mangsa terjatuh, kira-kira 1 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan
kejadian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bomba dengan bantuan anggota polis marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 18 jam selepas operasi mencari dijalankan,” katanya.

Menurutntya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga, semalam.

Menurutnya, jenazah kanak-kanak berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, di sini, semalam.