Saran tayang Tanda Putera di sekolah – Sinar Harian


Saran tayang Tanda Putera di sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2013
  • Saran tayang Tanda Putera di sekolahZurihan (tiga, kanan) mengetuai Pemuda Umno Kuala Langat menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem Tanda Putera.
< 1 / 1 >

KLANG – Pemuda Umno Kuala Langat menyarankan filem patriotik Tanda Putera ditayangkan di sekolah bagi menyemarakkan kembali semangat cintakan negara dalam kalangan murid dan pelajar.

Ketuanya, Zurihan Yusop berkata, menonton dan menghayati setiap babak dalam filem tersebut akan menerap kesedaran dan kepekaan remaja terhadap rentetan sejarah Tanah Melayu yang sebenar.

“Kementerian Pendidikan, pertubuhan belia dan NGO boleh memainkan peranan menyokong Tanda Putera dengan memberi atau menaja tiket percuma kepada pelajar dan belia,” katanya ketika tayangan khas filem berkenaan kepada ahli Pemuda Umno di sini.

Turut hadir Pengerusi Belia 4B Kuala Langat, Hafez Shuriddin.

Beliau berkata, filem ini bukan sekadar hiburan tetapi ia lebih menjurus kepada fakta sejarah bercorak ilmiah.

“Menonton filem berunsurkan semangat patriotisme tinggi dapat membina semangat sayangkan negara dan menghargai jasa pemimpin terdahulu,” katanya.

Kurikulum Subjek Sejarah Sekolah Menengah Sedang Dirangka – mStar


Kurikulum Subjek Sejarah Sekolah Menengah Sedang Dirangka

Oleh RAHIMY RAHIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyiapkan draf kurikulum baru bagi subjek buku teks Sejarah berdasarkan cadangan yang dibuat Jawatankuasa Khas, terutamanya bagi peringkat sekolah menengah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah satu tugas yang besar dan laporannya juga telah dihantar kepada saya. Kami berharap dapat melaksanakan apa yang dirancang dalam kerangka ini dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya uang juga Menteri Pelajaran dalam ucapan perasmian masyuarat agung tahunan Persatuan Sejarah Malaysia di sini, Khamis.

Difahamkan jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti kandungan kurikulum Sejarah di sekolah menengah bagi memastikan bahawa ia boleh memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan pelajar.

Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme guru-guru Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi di kalangan pelajar untuk membolehkan mereka menghargai nilai-nilai murni yang terkandung dalam warisan sejarah negara.

“Zaman yang menganggap sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

“Kami mahu mata pelajaran Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam tentang ilmu Sejarah,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan dasar menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM dan pengajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah mulai 2014, semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Bagi tujuan yang sama, beliau turut berharap PSM serta badan-badan bukan kerajaan berkaitan dapat terus bergerak aktif melaksanakan program-program yang memartabatkan kedudukan sejarah dan warisan bangsa.

“Saya yakin selepas 59 tahun penubuhannya, ahli PSM memiliki banyak pengalaman untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Kerjasama dan peranan pertubuhan-pertubuhan yang mendokong aspirasi negara mengenai warisan sejarah budaya adalah penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap asal-usul negara kita dan pembentukan satu identiti nasional,” katanya.

Sementara itu, Omar ketika ditemui pemberita berkata Jawatankuasa Khas itu telah menyerahkan laporan perbincangan mereka kepada kementerian kira-kira dua bulan lepas, yang turut mengandungi cadangan penambahbaikan termasuk cara pengajaran dan kandungan mata pelajaran Sejarah.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Galeri Sejarah PSM, melancarkan buku-buku terbitan PSM tahun 2012 dan menyampaikan hadiah Pertandingan Mengarang Esei Sejarah Malaysia kepada pemenang.

Kandungan kurikulum Sejarah yang baharu sedang dirangka – Utusan


Kandungan kurikulum Sejarah yang baharu sedang dirangka

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kerajaan sedang merangka kandungan kurikulum Sejarah yang baharu khusus untuk pelajar sekolah menengah berpandukan perakuan dikemukakan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu bermatlamat melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme tinggi terutama di kalangan generasi muda. – UTUSAN

Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia – Bernama


Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia
11:25:10 AM Cetak Emel Kawan

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui pembabitan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini.

Senamrobik itu yang dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini.

Dalam perutusannya semasa melancarkan program itu, Muhyiddin berkata, dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah.
“Saya bersyukur kerana dasar 1Murid 1Sukan turut memperlihat hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

“Justeru, bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah,” katanya.

Tahun lalu, kementerian mencatat nama dalam MBR melalui program Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar dari 9,980 sekolah seluruh negara.

Sejurus menyampaikan ucapan, Muhyiddin bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan beberapa pegawai kanan kementerian yang lain menyertai kira-kira 2,500 murid yang bersiap-sedia di padang sekolah berkenaan untuk melakukan senamronik selama 45 minit.
Sebaik tamat, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan sijil MBR yang beliau tandatangani kepada Abd Ghafar daripada Presiden MBR, Datuk Danny Ooi.

Muhyiddin turut merasmikan perlawanan futsal antara murid dan melawat gerai pameran.

– BERNAMA