Seminar mengenai LGBT diperluas kepada pegawai kerajaan – Bernama


Seminar mengenai LGBT diperluas kepada pegawai kerajaan

26 Februari 2013
Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi

BUKIT MERTAJAM – Seminar penjelasan dan pemahaman mengenai gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad kini diperluas kepada penjawat awam khususnya daripada Jabatan Agama Islam.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, penyertaan pegawai kerajaan dalam seminar itu dapat meningkatkan kesedaran dan maklumat berhubung LGBT selain berkongsi maklumat dengan masyarakat.

“Oleh kerana banyak permintaan, maka kali ini kita libatkan juga pegawai-pegawai dari Jabatan Agama selain ibu bapa, PIBG (persatuan ibu bapa dan guru) dan guru-guru terutamanya guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar keibubapaan mengenai ‘Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT)’ di Universiti Teknologi Mara, di sini hari ini.

Beliau berkata seminar kali kedua diadakan di peringkat negeri Pulau Pinang itu merupakan yang ke-23 di seluruh negara, membabitkan penyertaan 20,500 orang yang terdiri daripada guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar, guru pendidikan kesihatan dan PIBG setakat ini.

Mohd Puad berkata seminar keibubapaan itu akan diteruskan di seluruh negara susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Usaha murni ini cukup berkesan, sebab itulah seminar ini sentiasa mendapat perhatian dan masih banyak lagi PIBG meminta kita mengadakan seminar ini di tempat mereka,” katanya.

Seminar sehari itu dihadiri lebih 1,000 peserta dan sebanyak dua kertas kerja dibentangkan oleh dua anggota panel iaitu Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya Datuk Shahlan Ismail serta perunding kaunseling dan motivasi Hushim Salleh.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terlibat dengan gejala LGBT yang dikendalikan oleh Hushim.  – Bernama