Semua pelajar mungkin wajib sertai PLKN – Bernama


Semua pelajar mungkin wajib sertai PLKN

24 Mei 2012
plkn tarik pukat
$entry.content.caption.value

KUANTAN – Semua pelajar lepasan sekolah menengah mungkin akan diwajib untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada masa akan datang.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe berkata perkara itu telah dibincangkan oleh MLKN dan akan dibawa kepada kerajaan bagi mendapat persetujuan.

“MLKN juga akan meminta pandangan daripada anggota masyarakat. Sekiranya dipersetujui sekurang-kurangnya 500,000 pelatih akan  terlibat untuk satu tahun.

“Dan kita akan mengkaji prasarana yang ada untuk menampung pelatih PLKN berkenaan jika perlu ditambah atau diperluas,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kem PLKN Hijrah, di sini hari  ini.

Katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program berkenaan cukup memberangsangkan.

Beliau berkata pandangan negatif yang dilempar sebelum ini telah bertukar baik, dengan permohonan pelatih baru secara sukarela tidak kurang daripada 3,000 bagi setiap pengambilan.

Selain itu katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, PLKN banyak memberi kesan positif kepada pelatih.

Sebagai contoh, berdasarkan laporan berhubung perhimpunan Bersih di ibu negara  baru-baru ini, tiada pelatih PLKN yang terlibat dengan perkara itu, katanya.

Beliau berkata program itu juga mungkin disertai ahli politik  dari seluruh negara untuk melihat sendiri bagaimana PLKN dapat membantu golongan muda, dan secara tidak langsung memberi gambaran jelas kepada mereka yang terlibat bagi menangkis dakwaan buruk terhadap PLKN.- Bernama