Semua sekolah dibuka semula – Sinar Harian


Semua sekolah dibuka semula

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Semua sekolah dibuka semula
Persekolahan di sekolah terlibat banjir berjalan lancar.

RANTAU PANJANG – Kesemua  tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah di Pasir Mas yang ditutup, setelah dinaiki air serta  jalan utama ke sekolah dinaiki air, telah pun dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, kesemua sekolah terlibat memulakan sesi pembelajaran semalam setelah air di sekolah terlibat mulai surut.

“Kesemua sekolah terlibat banjir memulakan sesi persekolahan setelah air surut dan jalan ke sekolah juga sudah boleh dilalui,” katanya.

Sebelum ini. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan (SABK) Kerajaan Diniah, Bonggor, SABK Al-Falah, Siram dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang terpaksa di tutup.

Penutupan sekolah ini menyebabkan 1998 pelajar daripada empat sekolah di Pasir Mas tidak dapat ke sekolah.

Hussain sebelum ini, memaklumkan sekolah ditutup akibat banjir perlu menggantikannya sebaik banjir pulih seperti sediakala. Tinjauan mendapati pekarangan sekolah terlibat masih berlumpur, sementara sesi persekolahan di sekolah terlibat berjalan lancar.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Asli Adam, 43, dari Kampung Lanchang berkata, hari ini merupakan hari pertama persekolahan anak sulungnya bagi sesi 2013.

Menurutnya, Nurul Zulaika Suhaida, 14, tidak dapat ke sekolah sejak pelajar lain memulakan persekolahan 1 Januari lalu memandangkan sekolah itu tidak dapat dihubungkan dengan kawasan sekitar.

“Saya gembira anak sulung dapat memulakan persekolahan setelah tidak dapat ke sekolah  akibat banjir sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.