Pembantu am sekolah nyaris maut diserang gajah tanpa gading – Sinar Harian


Pembantu am sekolah nyaris maut diserang gajah tanpa gading
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Julai 2012
BESUT – Seorang pekerja sekolah nyaris maut diserang seekor gajah liar ketika dia sedang memungut buah durian di dusunnya di kawasan Hutan Jil dekat Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Mokthar Abu Bakar, 51, Pembantu Am Sekolah Kebangsaan Oh, Kampung Oh, Jabi berkata dia terkejut apabila diterpa oleh seekor gajah yang muncul secara tiba-tiba dari dalam semak berhampiran.

“Walaupun terkejut, saya sempat melarikan diri ke arah kereta yang saya tinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian tanpa saya sempat mengambil buah durian yang gugur,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Payong di sini petang tadi.

Menurut Mokthar, dia memang menyedari kehadiran tiga ekor gajah berhampiran kebunnya sejak Ahad lalu, tetapi terpaksa memberanikan diri untuk mengutip durian etang semalam untuk dijual.

“Saya telah cuba mengusir dengan bunyi letupan senapang saya ketika menembak tupai beberapa hari lalu, tetapi nyata gajah tersebut langsung buat tidak kisah,” katanya.

Katanya, semasa kejadian itu dia berseorangan dan benar-benar terkejut apabila seekor gajah tanpa gading keluar secara tiba-tiba dari semak yang terletak bersebelahan kebunnya, yang jarak gajah itu kira-kira 25 meter darinya sebelum dia melarikan diri.

Difahamkan kumpulan gajah itu telah berada di kawasan tersebut sejak beberapa bulan lalu dan penduduk kampung serta para penoreh getah sering terserempak dengan kelibat binatang liar itu.

Ketua Perhilitan Besut dan Setiu, Edley A. Jiliun ketika dihubungi memberitahu Perhilitan akan menghantar segera kakitangan ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan sebelum tindakan lanjut dilakukan demi keselamatan penduduk setempat. – Bernama

Abang termenung – Metro


Abang termenung

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RISAU...Maderom (kiri) bersama Aznul ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.
RISAU…Maderom (kiri) bersama Aznul ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.

MIRI: “Peluru itu masih dalam kepala dan turut mengenai otaknya, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal.

“Kerana kecuaiannya (jiran) meletakkan senapang di tempat tidak sepatutnya, nyawa anak saya kini terancam,” rintih Maderom Matassan, 41, bapa kepada Nurul Afifah, 8, kanak-kanak perempuan yang cedera parah terkena tembakan di dahi dalam kejadian di kuarters pekerja kilang di Kampung Muhibah, Kuala Baram, dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dia mengharapkan nyawa anaknya dapat diselamatkan meskipun doktor belum dapat mengesahkan keadaan sebenar berikutan peluru dalam kepala anaknya masih belum dapat dikeluarkan.

 

“Setakat ini, doktor hanya memantau keadaan anak saya berikutan peluru itu turut mengenai otak, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri, semalam.
Meskipun kesal dengan kejadian itu, Maderom berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut supaya pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Katanya, dia kini turut khuatir melihat emosi abang mangsa, Mohd Nur Aznul berusia 10 tahun yang sering menangis kerana trauma dengan kejadian menimpa adiknya.

 

 

“Mereka sangat rapat dan sering bermain bersama-sama selain tidak pernah berpisah. Jadi apabila perkara ini berlaku, abangnya sering menangis teringatkan adiknya.
“Keadaan ini menyebabkan saya serta isteri terpaksa menenangkan Aznul sepanjang masa dan memberitahu kami tidak menyalahkannya,” katanya.

 

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Nurul Afifah parah selepas terkena tembakan di dahi yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh Aznul, ketika mereka bermain senapang buatan sendiri milik seorang jiran yang ditinggalkan berhampiran tangki air kuarters berkenaan. Difahamkan, senapang itu diletakkan jiran berusia 20-an di situ kerana menyangka ia tidak lagi dapat digunakan selepas gagal berfungsi ketika dia cuba menembak burung beberapa hari lalu.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini dua suspek yang disyaki pemilik senapang berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.