SEREMBAN: “Biarpun mengalami kesukaran terutama ketika menaiki kenderaan atau mencari saiz seluar, saya reda dan menganggapnya anugerah Tuhan yang tiada pada remaja lain,” kata Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang itu mencatat sejarah tersendiri apabila namanya direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Remaja Lelaki Paling Tinggi di Malaysia dengan ketinggian 204 sentimeter. Lebih manis apabila pengiktirafan itu dikatakan diterima selepas seminggu kisah anak bongsu daripada tiga beradik itu dipaparkan dalam Harian Metro, November tahun lalu. Menurutnya yang mesra dengan gelaran ‘Adik’ dan ‘Panjang’, dia bersyukur kerana ahli keluarga serta rakan sentiasa memberi dorongan selain menerima keadaan dirinya sebagai insan ‘istimewa’.
“Tidak dinafikan saya berdepan kesulitan menjalani kehidupan seperti orang lain, namun semua itu dapat diharungi dengan bantuan keluarga yang sentiasa bersama saya. “Sebagai contoh, saya sukar menaiki Proton Iswara milik bapa selain kadangkala perlu membuat tempahan seluar kerana ketiadaan saiz.
“Selain itu, saya terpaksa tidur atas lantai atau sofa yang lebih selesa berbanding katil sedia ada,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seremban 2 di sini, semalam.
Katanya, dia bersyukur dengan anugerah Allah yang turut memberikannya badan yang sihat dan tidak menghadapi masalah menjalani sesi persekolahan bersama rakan lain.
Sementara itu, bapanya, Sheikh Imam Mohammed, 47, berkata ketinggian Akmal terus menunjukkan peningkatan tujuh sentimeter berbanding hanya 197 sentimeter tahun lalu.