Bapa tekap senduk panas
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Selepas setahun menahan derita didera bapa, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun akhirnya tidak lagi mampu menanggung sengsara dan nekad lari dari rumah untuk membuat laporan polis.
Keputusan itu dibuat selepas mukanya ditekap dengan senduk panas kelmarin, selain kedua-dua kaki dan seluruh badan disebat menggunakan besi di rumah mereka di Taman Sri Segambut, di sini.
Remaja terbabit berjaya meloloskan diri melalui tingkap biarpun dikurung dalam bilik oleh bapanya berusia 46 tahun yang naik angin apabila mendapat tahu mangsa menceritakan kisah penderaan itu kepada bapa saudara.
Menurut sumber, suspek dipercayai sering memukul anak perempuannya itu biarpun mangsa tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Remaja terbabit kemudian mengadu kekejaman suspek kepada bapa saudaranya menyebabkan si bapa bertambah marah. “Mangsa ketika itu sedang tidur di bilik sebelum dikejutkan bapanya yang kemudian mengarahkan remaja itu menyerahkan telefon bimbitnya.
“Selepas merampas telefon bimbit anaknya, suspek menekap senduk panas pada pipi kiri mangsa sebelum merotannya menggunakan besi. “Bukan saja kedua-dua kaki mangsa, malah seluruh badannya turut disebat menyebabkan remaja berkenaan hanya mampu menangis meminta simpati,” katanya.
Difahamkan, remaja berkenaan tinggal bersama bapanya selepas kematian ibu, setahun lalu.
Sumber itu berkata, selepas memukul mangsa lebih 10 minit, suspek mengurung anaknya itu di bilik.
“Remaja terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri melalui tingkap sebelum membuat laporan di balai polis Jinjang jam 5 pagi,” katanya.
Sumber berkata, mangsa seterusnya dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan akibat melecur di muka dan berbirat di kaki dan badan. Difahamkan, remaja terbabit kini berlindung di rumah neneknya manakala suspek masih belum ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20